Bernard Dompok Duta Pertama Ke Vatican

Razlan Rashid
2016.03.17
Kuala Lumpur
160317-my-vatican620 Pope Francis semasa berucap dari tingkap Istana Hawariun yang menghadap dataran St Peter, semasa majlis mingguan bertemu penganut Kristian, di Vatican, 7 Februari 2016.
AFP

Malaysia pada Khamis secara rasmi telah melantik bekas Ketua Menteri Sabah, Bernard Giluk Dompok sebagai duta pertama ke Vatican, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri.

Dompok menerima surat watikah pelantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, bersama-sama enam lagi Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara.

Menurut kenyataan Wisma Putra, bekas ketua menteri Sabah dari tahun 1998 hingga 1999 itu pernah memegang beberapa portfolio Menteri Kabinet di peringkat Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Holy See (Vatican).

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vatican telah diformalkan oleh Perdana Menteri Najib Razak, ketika beliau mengunjungi Pope Benedict XVI, di Castel Gandolfo pada tahun 2011.

Hubungan itu telah dimulakan oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang membuat kunjungan negara ke Vatican dan bertemu Pope John Paul II pada tahun 2002.

Malaysia yang merupakan sebuah negara yang majoritinya beragama Islam adalah antara 20 negara yang tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Vatican sehingga 2011.

Menurut Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, Malaysia mempunyai 30 juta orang penduduk, dan daripada jumlah tersebut, terdapat seramai 2 juta orang penganut agama Kristian.

Bernard sebelum ini pernah menerajui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi selama enam tahun bermula tahun 2008, dan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari tahun 1994 hingga 1995 dan sekali lagi pada 1999 hingga 2008.

Pada Oktober lepas, Menteri Luar Negara Anifah Aman telah mengumumkan mengenai perlantikan Dompok sebagai duta pertama Malaysia ke Vatican yang berpangkalan di Rom.

"Kami merasakan pemilihan Dompok adalah tepat terutamanya pengalaman beliau dalam pentadbiran negara. Beliau juga pernah mengadakan lawatan rasmi ke Vatican bersama delegasi Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri Najib Razak,” katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan.

Selain itu, Dompok juga akan bertindak sebagai Duta Malaysia ke Malta dan Albania.

Sementara itu, akhbar The Malay Mail melaporkan, pemimpin-pemimpin Kristian Malaysia menyambut baik pelantikan Dompok yang dilihat dapat mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vatican.

“Hakikat bahawa kerajaan telah melantik beliau menunjukkan keyakinan bahawa beliau dapat menjalinkan hubungan diplomatik lebih dekat pada tahun akan datang.

"Kami yakin bahawa tanggungjawab baru Dompok akan membina jambatan persefahaman dan persahabatan, serta menunjukkan komitmen Malaysia untuk membina hubungan antara agama yang lebih baik dan kesederhanaan di negara ini dan di dunia," kata Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Dr Hermen Shastri seperti dilaporkan akhbar berkenaan pada Oktober lepas.

Dompok yang berasal dari suku Kadazan Dusun di Sabah turut melahirkan rasa terima kasihnya terhadap kerajaan yang memberi kepercayaan dalam perlantikan beliau sebagai duta pertama ke Vatican.

"Saya teringat tahun-tahun awal apabila cadangan mengadakan hubungan diplomatik dengan Vatican ini dibangkitkan pertama kali semasa Dr Mahathir masih Perdana Menteri. Ia dibincangkan semasa lawatan beliau ke Vatican bertemu Pope John Paul II.

"Perbincangan turut diadakan semasa pentadbiran perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi. Delegasi Vatican telah terbang ke Malaysia dari Bangkok untuk bertemu Perdana Menteri dan hubungan diplomatik telah dibincang," katanya dalam satu kenyataan pada Oktober lepas.

"Hanya semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Anifah sebagai Menteri Luar perkara ini diberi perhatian serius dan dipersetujui kabinet ,” jelas beliau.

Indonesia, negara jiran terdekat Malaysia serta negara paling ramai penduduk Islam di dunia, telah menjalin hubungan dengan Vatican sejak sedekad lalu. Pope Paul VI dan Pope John Paul II pernah melawat negara itu, pada tahun 1970 dan 1989 iaitu semasa zaman pemerintahan Suharto.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.