Ancaman Terbaru IS, Malaysia Berada Dalam Siap-sedia Pada Tahap Tinggi

Hata Wahari
2016.06.23
Kuala Lumpur
160623-my-philipines-is-620 Tentera Filipina menayangkan bendera kumpulan Negara Islam selepas berjaya membuat tangkapan semasa pertempuran di sebuah kem militan itu di Butig, di sebuah bandar di wilayah selatan Filipina, Lanao del Sur.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia diletakkan dalam keadaan bersiap sedia pada tahap tinggi selepas kumpulan militan Negara Islam mengeluarkan ancaman terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menyerang secara bertubi di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada BeritaBenar pada Jumaat.    

Namun, beliau secara optimis menegaskan bahawa Malaysia selamat daripada serangan militan IS kerana beberapa ancaman yang dibuat sebelum  ini telah berjaya dipatahkan oleh pihak polis.

“Tahap kesiapsiagaan polis di semua kawasan memang pada tahap tinggi dan kita juga telah berjaya menangani pelbagai ancaman yang dibuat oleh IS di dalam negara sebelum ini,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Khalid berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai video terbaru  IS yang menampilkan seorang rakyat Malaysia, Mohd Rafi Udin dari Negeri Sembilan yang menggesa mereka yang menyokong IS supaya bangkit menentang kerajaan Malaysia dan mengajak mereka yang tidak dapat ke Syria untuk mara ke Filipina.

Video sepanjang 21 minit itu turut  memaparkan Mohd Rafi bersama dua anggota IS iaitu dari Indonesia dan Filipina apa yang dilihat memenggal kepala tiga tawanan yang sedang berlutut di hadapan mereka dengan tangan diikat dan memakai ‘jumpsuits’ oren.

Jika benar mereka berbuat demikian, ia merupakan pemenggalan kepala pertama yang difilemkan oleh anggota IS dari Indonesia dan Malaysia.

Video yang turut ditonton oleh BeritaBenar itu dipercayai dimuat naik pada Selasa menggabungkan rakaman yang memaparkan suasana perang di Timur Tengah dan Asia Tenggara, dengan sebahagian daripadanya menunjukkan pejuang dari Malaysia, Filipina dan Indonesia mengisytiharkan Filipina sebagai wilayah khalifah Asia Tenggara.

Menurut agensi berita Reuters yang memetik seorang pegawai perisikan tentera Filipina sebagai berkata, video berkenaan berkemungkinan dimuat naik ke laman media sosial, minggu lalu.

Ancam serang Bukit Aman

Rafi yang juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA] dan pergi ke Syria sejak 2014, mengeluarkan ancaman terhadap PDRM, yang antara lain bertegas bahawa pejuang dari Malaysia yang telah meninggalkan negara itu untuk Syria akan kembali menyerang ibu pejabat pasukan itu tidak lama lagi.

"Orang-orang di Bukit Aman, anda tidak akan selamat. Kita akan menyembelih anda ... apabila kita kembali. Rakan-rakan kami pulang dan akan memburu anda, " katanya.

Dalam perutusannya kepada penyokong IS, Rafi meminta mereka untuk menggunakan apa cara sekalipun untuk "membunuh" orang bukan Islam dan mereka yang tidak beriman, termasuk melanggar dengan kereta

"Bunuh mereka di mana sahaja kamu bertemu dengan mereka ... Jika anda mempunyai kereta, langgar mereka, gunakan senjata dan pisau untuk menikam mereka di dada," katanya dalam video itu, sambil menambah bahawa dia dan rakan-rakannya di Syria akan memberi sokongan dari jauh.

Pakar mengenai  militan antarabangsa Rohan Gunaratna memberitahu BeritaBenar bahawa, walaupun selepas ISA dimansuhkan, Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas, Polis Bukit Aman telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi Malaysia

“Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman telah menganggu sembilan cubaam untuk melakukan serangan di Malaysia, ’’ kata Gunaratna, yang mengetuai Pusat Antarabangsa bagi keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura, kepada BeritaBenar.

Pengarah Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan (SASSREC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Zaini Othman pula berpendapat, secara sosiologi dan taktikal, Malaysia tidak boleh memandang ringan ancaman video tersebut.

“Kelakuan  pergerakan IS perlu ditangani  dengan serius termasuk analisis yang menyeluruh serta berhati-hati,” kata Zaini kepada BeritaBenar.

Isnilon Hapilon dilantik Emir IS

Dalam pada itu, video berkenaan turut memperkenalkan Abdalah al-Filipina atau dikenali sebagai Isnilon Hapilon, bekas anggota Abu Sayyaf dari Filipina sebagai pemimpin mereka dari Khatibah Nusantara yang bertanggungjawab kepada rantau Asia Tenggara iaitu  Filipina, Malaysia dan Indonesia.

Mengulas mengenai video terbaru dan perlantikan, Pengarah Institute of Policy Analysis of Conflict (IPAC) Sidney Jones yang berpangkalan di Indonesia berkata, video itu adalah satu lagi video propaganda IS, tetapi ancamannya perlu diberi perhatian.

“Buat pertama kali dan penting sekali di sini ialah, gerakan IS Indonesia dan Malaysia telah menunjukkan mereka menerima emir dari Filipina (Isnilon Hapilon, bekas Abu Sayyaf) dan ini secara tidak langsung dilihat bakal membawa kepada pengisytiharan Asia Tenggara sebagai wilayah IS,’’ katanya kepada BeritaBenar dari Jakarta semasa dihubungi pada Jumaat.

Isnilon Totoni Hapilon yang berpangkalan di Basilan, sebuah wilayah pulau yang terletak di luar Mindanao, sebelum ini merupakan ketua cawangan IS di Filipina, menurut laporan.

Mengulas mengenai perlantikan emir itu, Gunaratna berkata, rancangan IS untuk mengisytiharkan Selatan Filipina sebagai wilayat, Kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu berkerjasama untuk membantu kerjaaan Filipina untuk menentang ancaman ini,’’ katanya kepada BeritaBenar.

Gunaratna pula berkata, kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu membantu Filipina dalam menentang ancaman IS untuk mengisytiharkan Selatan Filipina sebagai wilayah IS.

Beliau menambah, Selatan Filipina akan menjadi tempat untuk melatih militan tempatan dan antarabangsa serta platform dalam merancang, menyediakan dan mengarahkan serangan di rantau Asia Tenggara.

“Perjanjian antara kumpulan jihad untuk melantik Isnilon Hapilon sebagai emir dengan semua persedian seperti baiyah kepada Abu Bakr al Baghdadi dan Hapilon penyatuan kumpulan lain, penerbitan majalah dalam Bahasa Malaysia dan rekacetak yang menggunakan lambang IS di dalam kaligragrafi Bahasa Arab maka pengisytiharan Wilayah IS di Filipina akan terjadi,” katanya sambil menambah bahawa rakyat Malaysia, Indonesia dan juga Arab sanggup membunuh dan menggadai nyawa sendiri untuk memajukan wilayah itu.

Beliau melihat yang ancaman terhadap rantau Asia Tenggara akan berkembang secara mendadak memandangkan ramai dari Asia Tenggara akan ke Filipina untuk mendapatkan latihan apabila menghadapi kesukaran ke Syria dan Iraq, kecuali kerajaan Manila meneutralkan nukleus IS di Mindanao.

Rohan menambah ramai militan dari Malaysia merujuk Filipina sebagai tanah Khalifah dan serta medan pertempuran perang suci (jihad) di mana akan menerima ganjaran kemudiannya.

Sementara itu, Zaini berpendapat pengisytiharan sebuah Wilayat di selatan Filipina akan menyaksikan lebih banyak peraturan, kod dan amalan IS.

Dalam pada itu, pegawai tentera Filipina, menolak ancaman berkenaan, menurut agensi berita Reuters.

"Orang ramai tidak sepatutnya terganggu dengan ancaman itu," agensi berita berkenaan memetik jurucakap tentera Filipina Restituto Padilla sebagai berkata. "Pihak berkuasa sedang menguruskan perkara ini. Mereka boleh dikenal pasti, dan mereka boleh diburu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.