Pengerusi PAC Tolak Permintaan Buka Semula Siasatan 1MDB

Melati A. Jalil
2016.08.08
Kuala Lumpur
160808-my-walkout-620 Anggota Parlimen dari parti pembangkang membuat bantahan sambil duduk mengenai siasatan 1Malaysia Development Berhad di koridor bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 7 Julai 2015.
AFP

Pemintaan beberapa anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), sebuah badan yang berada di bawah Parlimen Malaysia yang mahu siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibuatnya dibuka semula telah ditolak Pengerusi Jawatankuasa itu.

Hasan Ariffin menolak usul seorang jawatankuasa berkenaan yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sehingga menyebabkan Pua bertindak meninggalkan mesyuarat PAC yang diadakan pada Isnin.

Menurut seorang lagi anggota PAC Takiyuddin Hasan, yang turut berada pada mesyuarat itu, Pua mencadangkan kepada Hasan supaya membuka semula siasatan ke atas 1MDB susulan saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Hari ini dalam jadual tiada perbincangan mengenai 1MDB tetapi Tony Pua meminta kepada pengerusi PAC supaya kes 1MDB dibuka semula berikutan perkembangan terbaru,” kata Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kepada BeritaBenar pada Isnin.

DOJ telah memfailkan 12 tindakan undang-undang bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih $1billion dalam aset-aset yand didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.

Usaha untuk merampas aset-aset itu adalah tindakan pertama oleh kerajaan AS berhubung dengan siasatan 1MDB bagi pengubahan wang haram yang melibatkan sekurang-kurangnya lima negara lain termasuk Singapura dan Switzerland.

Skandal itu membelenggui Najib sejak setahun lepas setelah Wall Street Journal (WSJ) melaporkan mengenainya pada Julai 2015 bahawa hampir $700 juta dimasukkan dalam akaun bank peribadinya.

Sejak itu, akhbar berkenaan melaporkan bahawa berjuta-juta dolar wang yang dikaitkan dengan 1MDB, sebuah syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, telah dibelanjakan oleh Najib untuk membiayai gaya hidup yang mewah.

Najib menerajui 1MDB yang dilancarkan pada 2009 sebagai satu instrumen pelaburan untuk memacu pembangunan di Malaysia. Beliau mempengerusikan lembaga penasihat dana itu sehinggalah pembubarannya pada dua bulan lalu.

Walaupun tindakan undang-undang AS itu tidak menamakan  Najib tetapi beliau menjadi fokus perhatian sejak setahun yang lalu berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan dana negara itu.

Takiyuddin berkata, cadangan Pua mendapat sokongan beberapa lagi ahli jawatankuasa itu yang berpendapat bahawa PAC perlu menunjukkan sikap ambil tahu mengenai perkembangan terbaru 1MDB serta tindakan yang diambil oleh pihak Amerika Syarikat itu.

"Walaupun kes berkenaan belum diputuskan lagi, tapi kami [pembangkang] berpandangan, bahawa PAC perlu menunjukkan kebimbangan terhadap perkara berkenaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bahru kepada BeritaBenar.

Syor siasatan jenayah

Pada April lepas, PAC yang merupakan sebuah jawatankuasa siasatan Parlimen mengeluarkan laporan 106 muka surat mengenai salah laku terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu tanpa menyebut nama Perdana Menteri.

PAC adalah panel siasatan pertama yang mendapati terdapat salah laku dalam pengurusan 1MDB dan mengesyorkan siasatan jenayah dilakukan terhadap pengurusan kanannya.

Hasan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu pada Isnin menegaskan bahawa, “Prosiding dan siasatan terhadap 1MDB tidak perlu diadakan semula memandangkan Jawatankuasa ini sudah membentangkan laporan yang komprehensif dan dipersetujui secara konsensus semua ahli jawatankuasa sebelum dibentangkan ke Parlimen.

“Rumusan PAC dalam laporan berkenaan jelas dan meminta agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan 1MDB yang bertanggungjawab,” kata Hasan yang merupakan ahli Parlimen Rompin dari parti pemerintah UMNO.

Takiyuddin mendakwa selepas Pua meninggalkan mesyuarat tersebut, barulah Hasan bersetuju untuk mendapatkan salinan saman DOJ apabila beliau menerima desakan dari ahli parlimen pembangkang yang masih berada didalam mesyuarat berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PAC Tan Seng Giaw berkata Pengerusi PAC perlu memberi perhatian kepada perkembangan terbaru mengenai siasatan terkini serta menjaga nama baik jawatankuasa Parlimen itu, sebagai sebuah institusi badan perundangan negara walapun telah membentangkan laporannya mengenai 1MDB.

Sebagai sebuah Jawatankuasa Parlimen yang dipercayai, PAC perlu mengikuti perkembangan terbaru yang melibatkan siasatannya dan pegerusi perlulah mengambil kira dalam menjaga dan melindungi integriti Parlimen,” kata Tan semasa dihubungi BeritaBenar.

Sementara itu, portal berita Free Malaysia Today memetik Pua sebagai berkata, “Saya amat malu menjadi sebahagian daripada ahli PAC, yang menjadi begitu lemah dan cuba sembunyikan kes 1MDB. Saya tidak boleh berada dalam mesyuarat itu dan berpura-pura melakukan kerja saya apabila skandal terbesar di Malaysia tidak dibincangkan.

“Biar kita panggil perdana menteri (untuk disoalsiasat), jika dia tidak bersalah, biar PAC menjaga nama baik perdana menteri,” Pua dipetik sebagai berkata oleh portal berita Free Malaysia Today pada Isnin.

Pua, bagaimanapun tidak menjawab pesanan dan panggilan daripada BeritaBenar untuk mengulas tindakan beliau keluar daripada mesyuarat berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.