Malaysia Sahkan Penemuan Sejumlah Wang Milik Kim Jong Nam

Hata Wahari
2017.06.14
Kuala Lumpur
170412-my-igp-khalid-620.jpg Ketua Polis DiRaja Malaysia Khalid Abu Bakar semasa bercakap kepada pihak media di Putrajaya, 16 Mac 2017.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu mengesahkan penemuan sejumlah wang milik abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong-nam ketika pembunuhannya tetapi menafikan jumlahnya iaitu sebanyak US$120,000 (RM511, 500) seperti laporan sebuah akhbar Jepun.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan itu tetapi enggan mengesahkan jumlah sebenar wang yang ditemui seperti dilaporkan akhbar The Asahi Shimbun.

"Ada sejumlah wang ditemukan daripada mangsa cuma saya tidak mahu sahkan jumlahnya, jangan percaya apa yang ditulis media asing," katanya pada satu sidang media selepas melancarkan Op Selamat 2017 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Tambahnya, laporan The Asahi Shimbun yang memetik seorang pegawai Malaysia bahawa lebih setengah juta ringgit Malaysia itu adalah tidak benar.

“Media-media asing ini buat cerita, dia tokok tambah. Kamu orang percaya sangat media asing. Kamu petiklah laporan itu,” katanya dengan nada sindir.

Menurut laporan Asahi Shimbun itu, sejumlah US$120,000 (RM511, 500) telah ditemui selepas Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu.

Setakat ini dua warga Asia Tenggara Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28 berasal dari Vietnam telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 1 Mac lalu di Sepang atas tuduhan membunuh Jong-nam, 45. Kedua tertuduh dipercayai bekerjasama dengan empat lagi individu yang masih bebas.

Kedua-dua wanita itu didakwa melakukan pembunuhan tersebut di Balai Pelepasan KLIA 2, pada 13 Februari lalu dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Jong-nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada hari beliau diserang dengan agen saraf yang diharamkan di peringkat antarabangsa dan kes pembunuhan berprofail tinggi itu telah menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang.

Berjumpa seorang warga AS

Laporan itu  juga menyebut yang Jong-nam dipercayai telah menemui seorang warga Amerika Syarikat yang mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Amerika Syarikat, empat  hari sebelum kematiannya.

Jong-Nam dipercayai bertemu dengan warga AS itu selama 2 jam di sebuah hotel di Malaysia dan mengambil wang itu semasa berada di negara itu, menurut laporan akhbar berkenaan yang memetik seorang pegawai pihak berkuasa penyiasatan Malaysia yang enggan dinamakan.

Asahi dalam laporannya berkata pihak berkuasa Malaysia percaya beliau dibayar untuk maklumat, dan tiada rekod pengeluaran seperti itu dari bank di negara berkenaan.

Pihak berkuasa Malaysia telah menemui 300 nota baharu AS$100 yang diikat dalam empat bekas di dalam begnya, menurut akhbar itu.

Jong-nam adalah pemegang pasport diplomatik dan barangannya tidak akan dikenakan pemeriksaan terperinci semasa masuk dan keluar dari  Malaysia, kata Asahi.

Pengurusan kes di Penjara

Sementara itu, pengurusan kes kedua-dua tertuduh pada 16 Jun ini akan dipindahkan ke Penjara Wanita Kajang atas faktor-faktor keselamatan.

Pengurusan kes yang sepatutnya diadakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam diubah setelah dimaklumkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohamad Nasrudin Mohamed dalam satu surat yang ditandatanganinya.

Kes itu sepatutnya diperdengarkan di Mahkamah Tinggi itu pada Jumaat ini, iaitu satu-satunya mahkamah tinggi di negeri itu yang boleh mendengar kes tersebut.

Siti Aisyah, dan Thi Huong sebelum ini dihadapkan di Kompleks Mahkamah Sepang untuk mendengar tuduhan serta perintah reman, dengan dikawal ketat oleh polis Malaysia.

Dalam prosiding tersebut, mereka diiringi konvoi pacuan empat roda pasukan petugas khas jenayah terancang (STAFOC) yang lengkap memakai topeng muka, berpakaian gelap serta dibantu oleh pasukan polis trafik.

Kedua-dua suspek dilihat turut memakai baju kalis peluru.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.