TPM: Serangan ‘Drone’ Bunuh Muhammad Wanndy

Hata Wahari & Colin Forsythe
2017.05.09
Kuala Lumpur
170509-my-Wanndy-family-screengrab.jpeg Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, militan Negara Islam (IS) rakyat Malaysia, bergambar bersama keluarganya yang disiarkan di laman Facebook isterinya pada 26 Sept 2015.
[Fail foto BeritaBenar]

Kerajaan Malaysia mengesahkan pada Selasa bahawa seorang rakyatnya yang merupakan perekrut utama kumpulan militan Negara Islam (IS) maut dalam satu serangan ‘drone’ di Syria manakala penganalisis memberi amaran bahawa orang lain mungkin menggantikan beliau, termasuk membantu IS membina keahlian di selatan Filipina.

Malaysia dapat mengesahkan kematian pejuang IS itu, Muhammad Wanndy Mohamadd Jedi, selepas dimaklumkan oleh sumber risikan asing, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita pada Selasa.

"Kerajaan Malaysia telah dimaklumkan oleh perisikan antarabangsa tentang kematian Muhammad Wanndy dalam satu serangan drone," agensi berita Bernama memetik Ahmad Zahid sebagai berkata di Sydney, Australia.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran mengenai negara yang menyalurkan maklumat berkenaan atau yang melakukan serangan udara yang mengorbankan Muhammad Wanndy di Raqqa, Syria pada 29 April.

Ahmad Zahid berkata Malaysia "tidak berhasrat melakukan persiapan untuk membawa pulang jenazah. Keluarga Muhammad Wanndy boleh menguruskan perkara itu dengan pihak berkuasa Syria jika mahu berbuat demikian."

Selepas laporan mengenai kematian Wanndy pertama kali timbul minggu lalu, Ketua Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan rakan-rakan sejawatan di peringkat antarabangsa untuk mengetahui apa yang terjadi kepada militan IS itu, sama ada beliau terbunuh di Ma'dan, Syria, yang tidak jauh dari Raqqa.

"Terdapat serangan ke atas beliau menggunakan drone di Syria dan kami cuba untuk mengesahkan keadaannya," kata Fuzi seperti yang dilaporkan media tempatan Malay Mail Online pada 2 Mei lepas.

Pada Isnin, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pejuang IS paling aktif di negara itu telah terbunuh di kawasan Raqqa pada 29 April namun beliau tidak menyatakan cara kematian Wanndy.

Sekurang-kurangnya 31 pejuang IS dari Malaysia, termasuk Wanndy, telah terbunuh di Syria atau Iraq sejak 2014, demikian menurut angka yang diperoleh BeritaBenar daripada kerajaan Malaysia.

‘Seorang pengganas paling dedikasi’


Wanndy dikatakan antara perekrut utama IS bagi pejuang dari Asia Tenggara.

Daripada lebih 250 orang yang ditahan di Malaysia kerana disyaki mempunyai hubungan dengan IS antara tahun 2013 dan 2016, sekurang-kurangnya satu pertiga telah direkrut oleh atau dikaitkan dengan Wanndy, mengikut statistik polis yang dipetik oleh Reuters.

"Saya tidak fikir kita boleh katakan dengan pasti berapa ramai yang telah direkrut oleh Wanndy, tetapi yang pasti tempatnya boleh diambil alih oleh orang lain, sama seperti orang lain boleh membantu merekrut pejuang untuk Syria atau Mindanao," kata Sidney Jones, Pengarah Institut Analisis Dasar Konflik, sebuah badan pemikir yang berpusat di Jakarta, kepada BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada kepulauan Mindanao di selatan Filipina, di mana kumpulan-kumpulan militan Islam, termasuk Abu Sayyaf, telah mengisytiharkan kesetiaan kepada IS. Rantau itu juga menyaksikan perkembangan aktiviti IS ketika kubu kuat tradisional kumpulan militan itu di Iraq dan Syria, seperti Raqqa, telah dikepung oleh pasukan keselamatan anti-IS.

"Wanddy dilihat mencari rekrut baharu melalui Facebook yang tidak semestinya beliau kenali secara peribadi, dan sesiapa sahaja boleh melakukannya jika mempunyai sambungan Internet yang bagus," kata Jones.

Rohan Gunaratna, seorang pakar kumpulan pelampau Asia Tenggara berpangkalan di Singapura yang juga kolumnis BeritaBenar, menyifatkan Wanndy sebagai "antara pengganas paling berdedikasi."

"Wanndy berkhidmat dengan sayap operasi luar IS. Beliau menguasai seni merekrut rakyat Malaysia untuk melancarkan serangan terhadap Malaysia," Gunaratna memberitahu BeritaBenar.

"Walaupun beliau mungkin digantikan, kematian Wanndy mengurangkan ancaman kepada Malaysia kerana beliau adalah seorang pejuang yang mempunyai motivasi tinggi dengan rangkaian yang luas," katanya.

‘Saya tidak akan berpaling daripada tugas saya’

Pihak berkuasa Malaysia telah menuduh Wanndy mendalangi serangan pertama di tanah air sendiri – serangan bom tangan yang menyebabkan lapan orang cedera di sebuah kelab malam di luar Kuala Lumpur pada Jun 2016.

Dua bulan lepas, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah mengisytiharkan Wanndy sebagai Pengganas Global Tentuan Khas dan mendakwa pejuang IS yang berpangkalan di Syria dan Iraq itu menyelaras plot serangan pengganas serta memudahkan perjalanan ke Timur Tengah dari Asia Tenggara untuk para rekrut muda IS.

Ketika BeritaBenar melaporkan buat pertama kalinya mengenai julukan yang diberikan AS itu, Wanndy mencatatkan pautan kepada artikel itu ke laman Facebooknya.

Sementara itu, pegawai dari pejabat akhbar di Jabatan Perbendaharaan AS di Washington tidak memberikan maklum balas kepada e-mel BeritaBenar yang meminta komen mengenai kematian Wanndy.

Wanndy meninggalkan Malaysia untuk ke Syria pada Januari 2015 dengan membawa bersama keluarganya. (gambar)

Pada bulan berikutnya, Wanndy menjadi tajuk utama akhbar di tanah air apabila pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti beliau sebagai seorang daripada dua rakyat Malaysia yang telah terlibat dalam pembikinan rakaman video pemenggalan kepala seorang banduan perang Syria.

Wanndy kemudian memuat naik video pembunuhan berdurasi 30 saat itu di laman Facebooknya pada 22 Feb 2015 manakala rakan yang membantu beliau membuat rakaman itu, Mohd Faris Anuar, telah terbunuh di Iraq pada Disember tahun yang sama.

"Buat masa ini saya berada di Raqqa, Syria dan saya tidak akan berpaling daripada tugas saya untuk berjuang demi menegakkan Bumi Khalifah Daulah Islamiyah Negara Islam dalam menyiapkan pemerintahan dan peraturan Al-Mahdi," Wanndy memberitahu BeritaBenar dalam satu temu bual melalui Facebook .

Beliau turut menggunakan perkataan Arab yang membawa maksud "berpandukan satu ilahi" yang didakwa akan muncul untuk mengembalikan kesucian agama Islam dan membawa umatnya kepada kemenangan terhadap musuh sebelum Hari Kiamat.

"Negara Islam (IS) adalah pergerakan yang membuat persiapan untuk peraturan al-Mahdi pada akhir zaman," tambah Wanndy.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.