Agensi Pencegahan Rasuah Malaysia Tahan Bekas Timbalan Perdana Menteri

Hadi Azmi & Ali Nufael
2018.10.18
Putrajaya, Malaysia
181018-MY-Zahid-1000.jpg Ahmad Zahid Hamidi melambai kepada para penyokongnya setibanya beliau di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 18 Okt, 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi ditahan agensi pencegahan rasuah pada Khamis berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan, dan akan dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Zahid, 65, yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO], parti utama dalam gabungan Barisan Nasional, ditahan di ibu pejabat SPRM yang terletak di pusat pentadbiran negara di Putrajaya pada 3.15 petang selepas 15 minit tiba di pejabat berkenaan.

“SPRM telah menahan bekas timbalan perdana menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada pejabat Peguam Negara,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi pencegahan rasuah itu pada Khamis.

Menurut SPRM, Ahmad Zahid akan didakwa bagi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasua Malaysia [ASPRM] 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram [AMLA] 2001.

“Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2018, jam 8 pagi untuk pertuduhan tersebut,” demikian menurut kenyataan empat perenggan SPRM itu.

Ahmad Zahid, yang memakai baju batik, tiba di ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira 3 petang dengan menaiki kenderaan jenis Lexus berwarna putih. Beliau dilihat sentiasa tersenyum sambil  melambai kepada para penyokongnya serta pihak media yang sanggup berasak-asak untuk merakamkan kelibat Anggota Parlimen Bagan Datuk itu.

Ini adalah penahanan pertama bagi Presiden UMNO dalam sejarah 72 tahun parti itu, dan merupakan pemimpin tertinggi kedua parti yang ditangkap selepas bekas presiden Najib Razak, setelah parti itu kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Dalam satu pesanan ringkas kepada BeritaBenar, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid berkata, anak guamnya ditahan pada 3.42 petang selepas dibawa ke bilik siasatan agensi berkenaan.

"Tidak seperti biasa, kali ini peguam tidak dibenarkan untuk bersama-sama beliau. Tiada siapa yang dibenarkan mengikut beliau selepas jam 3 petang," kata Hamidi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap beliau adalah bermotifkan politik.

"Pertuduhan yang akan dikemukakan terhadap saya adalah bermotifkan politik,” kata Ahmad Zahid kepada BeritaBenar pada Rabu.

Pada Rabu, satu notis telah dihantar kepada Presiden UMNO itu supaya menghadirkan diri di pejabat SPRM. Minggu lalu, beliau dipanggil ke pejabat agensi pencegahan rasuah itu untuk diambil keterangan selama empat hari berturut-turut sejak 10 Okt lepas.

Keterangan terhadap beliau diambil berhubung dengan penyiasatan melibatkan penyelewengan dana milik Yayasan Akal Budi, sebuah pertubuhan milik keluarga Ahmad Zahid, yang ditubuhkan untuk melaksanakan kerja-kerja amal.

Pada Julai lalu, Zahid diminta menghadirkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebanyak dua kali bagi dirakam percakapan berhubung yayasan yang sama selain membantu siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad.

Semasa  sidang media selepas dipanggil SPRM buat kali pertama itu, Ahmad Zahid mengakui bahawa dana Yayasan Akal Budi telah digunakan untuk melunaskan bayaran kad kreditnya tetapi berkata ia adalah kesilapan yang dilakukan oleh seorang pegawainya.

Menurut presiden UMNO itu, bil kad kredit tersebut telah diserahkan kepada pegawai berkenaan dan berlaku kekeliruan sehingga bayaran itu dibuat menggunakan duit yayasan berkenaan.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.