Malaysia Sedia Bantu India Berhubung Siasatan Terhadap Zakir Naik
2017.04.18
Kuala Lumpur

Malaysia menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada India berhubung siasatan terhadap pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik yang didakwa terlibat dengan keganasan dan menganjurkan permusuhan antara masyarakat berasaskan kaum dan agama.
Timbalan Perdana Menteri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan demikian berikutan tindakan sebuah mahkamah di Mumbai, India mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan [non-bailable arrest warrant – NBW] terhadap pendakwah tersebut minggu lepas.
Dr Zakir berada di bawah radar kerajaan India selepas laporan media Bangladesh mendakwa sekurang-kurangnya dua pengganas, yang menyerang restaurant Holey Artisan Bakery di Dhaka yang mengakibatkan 20 orang tebusan terbunuh pada Julai 2016, telah dipengaruhi oleh khutbah penceramah itu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri pada Selasa berkata “Kerjasama itu boleh dilakukan melalui hubungan diplomatik, dan mengikut sistem perundangan, disertai dengan permintaan dari kerajaan India,”
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama itu bukan hanya melibatkan penyerahan Dr Zakir tetapi diikuti dengan siasatan mengikut sistem perundangan yang berdasarkan kepada perjanjian bantuan undang-undang bersama (MLA)
"Kita ikut sistem undang-undang negara kita dan ikut kerangka diplomatik yang ada, kalau ada permohonan bagi MLA, kita akan beri kerjasama penuh," tambahnya lagi.
Naik, seorang warganegara India berusia 51 tahun dan pengasas Islamic Research Foundation (IRF) yang berpangkalan di Mumbai, telah berulang kali mengabaikan saman yang dikeluarkan oleh Direktorat Penguatkuasaan India (India Enforcement Directorate) meminta beliau hadir di hadapan mahkamah khas bagi mendengar pendakwaan terhadap IRF kendalian beliau, Hiten Venegaonkar, peguam yang mewakili kerajaan, memberitahu BeritaBenar minggu lalu.
IED mendakwa IRF secara haram telah mengumpul berjuta-juta rupee (jumlah tepat tidak didedahkan) sumbangan daripada negara-negara asing yang tidak dishtiharkan kepada kerajaan India. IED juga menuduh Zakir menjalankan kegiatan pengubahan wang haram melalui IRF.
Pihak berkuasa India berkata, Zakir meninggalkan India pada Jun tahun lepas dan sejak itu tinggal di Timur Tengah.
India juga telah mengenakan larangan lima tahun di atas kesemua penyelidikan yang dibuat oleh Zakir pada November lalu, dengan berkata, badan bukan kerajaan itu telah melanggar undang-undang di bawah Akta Peraturan Sumbangan Asing (FCRA) dan turut menyalahi undang-undang di bawah Akta Pencegahan Aktiviti (UAPA).
IED juga menuduh penceramah berkenaan kerana mengeluarkan kata-kata yang membangkitkan kemarahan orang awam seperti memuji bekas pemimpin al-Qaeda Osama Bin Laden, menyokong serangan berani mati dan mengecam tuhan-tuhan Hindu semasa ceramah yang disampaikannya menerusi rancangan yang diterbitkan oleh Peace TV, iaitu saluran yang sebahagiannya dibiayai oleh IRF.
Peguam Zakir, Tarak Sayyad memberitahu BeritaBenar pada Khamis lepas, yang beliau akan mencabar waran tangkap yang dikeluarkan ke atas Zakir di Mahkamah Tinggi Mumbai minggu ini, sambil menambah, "pengeluaran waran tangkap tanpa jaminan NBW adalah di luar bidang kuasa mahkamah kerana tidak ada aduan rasmi terhadap Dr. Naik."
Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, polis Malaysia masih belum menerima sebarang permintaan dari Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) untuk mendapatkan sebarang bantuan daripada PDRM selepas Zakir berulang kali ingkar memberi kerjasama terhadap siasatan ke atasnya.
"Kami dimaklumkan bahawa NIA telah memohon 'red alert', tetapi biarlah dia mohon dahulu. Saya tidak mahu terlalu awal membuat keputusan," katanya.
Semasa mengulas lanjut mengenai status kewarganegaraan Zakir, Ketua Polis Negara itu berkata “Penduduk tetap atau warga asing yang masuk ke negara kita perlu mematuhi peraturan dan undang-undang Malaysia,”
Status
Timbalan Perdana Menteri pada Selasa turut mengesahkan status pendakwah kontroversi dari India itu yang beliau mempunyai status penduduk tetap Malaysia sejak lima tahun lepas dan bukannya sebagai warganegara.
"Beliau (Zakir) mendapat status penduduk tetap pada lima tahun lepas tetapi beliau bukan warganegara Malaysia,” tambah Ahmad Zahid.
Zakir pada Ahad seperti yang dilaporkan oleh portal MalayMailOnline meminta kerajaan India mencarinya di Malaysia sekiranya ingin menyoalsiasatnya ketika menghadiri program "Ijtemak dengan 150 Cendekiawan Islam Malaysia dengan Dr. Zakir Naik"` anjuran Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa).
Zakir dilaporkan berkata, sekiranya pihak berkuasa India mahu bertemu beliau untuk di soalsiasat, mereka boleh berbuat demikian dengan datang mencarinya di Malaysia, sambil menegaskan yang beliau tidak bersedia untuk menyerah diri kepada NIA kerana agensi itu menyalahguna kuasa terhadap aktivis Islam.
“Saya memberitahu NIA bahawa, saya bersedia ditemuramah melalui Skype, telefon dan persidangan video. Jika saya pergi ke sana, mereka akan menyeksa saya, jadi mengapa saya perlu pergi ke sana, mereka telah melakukannya kepada orang Islam lain dan saya mempunyai bukti,”` tegasnya dalam laporan itu.
Minggu lepas, NIA turut memfailkan kertas pertuduhan terhadap Aamir Gazdar, orang kepercayaan Zakir, dan syarikat beliau, Harmony Media Ltd, kerana didakwa melakukan pengubahan wang haram bagi pihaknya.
Seribu muka surat kertas pertuduhan menyenaraikan Zakir yang merupakan Presiden IRF sebagai tertuduh dalam kes itu.
Zakir juga tidak terlepas daripada kontroversi di Malaysia apabila pada tahun lepas kerajaan Malaysia telah melarang beliau daripada berceramah dengan judul “Persamaan Antara Hindu dan Islam” di sebuah universiti setelah menerima bantahan daripada kumpulan penganut Hindu di Malaysia.
Beliau kemudiannya bersetuju menukar tajuk perbincangan beliau itu kepada ‘Hak Wanita Didalam Islam”.
N. Natha di Kuala Lumpur dan Prabhat Sharan di Mumbai, India turut menyumbang kepada laporan ini.