Mahkamah Malaysia Tolak Cabaran Akta Hasutan Kartunis Zunar
2016.04.14
Kuala Lumpur
Mahkamah Tinggi Malaysia pada Khamis menolak permohonan kartunis sindiran Zunar yang mencabar persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan, sekaligus membuka jalan kepada mahkamah yang lebih rendah untuk menetapkan tarikh perbicaraan kepada sembilan pertuduhan menghasut terhadap beliau.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, boleh menghadapi 43 tahun penjara jika disabit kesalahan menghasut di dalam akaun twitternya yang mengkritik penahanan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat tahun lepas.
Zunar, 53, dan pasukan peguamnya telah mencabar kesahihan undang-undang berusia 68 tahun itu, dengan alasan bahawa Akta Hasutan bercanggah dengan jaminan dalam perlembagaan negara mengenai kebebasan bersuara.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman, bagaimanapun, memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan telah menolak soalan yang sama dan menolak cabaran yang sama daripada seorang profesor undang-undang Malaysia, Azmi Sharom pada 6 Okt lepas.
Eric Paulsen, seorang daripada peguam Zunar, memberitahu BeritaBenar bahawa anak guamnya akan cuba menyakinkan Mahkamah Rayuan supaya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Zunar, yang sedang berada di London, bagaimanapun enggan mengulas.
Penolakan Mahkamah Tinggi itu sekaligus membenarkan Mahkamah Sesyen, yang lebih rendah, untuk menetapkan tarikh bagi perbicaraan kes Zunar. Panel Mahkamah Sesyen dijadualkan pada Jumaat untuk mengadakan "sebutan" - satu istilah undang-undang yang digunakan di Malaysia yang merujuk kepada kes yang dipanggil atau diuruskan – terhadap kes kartunis itu.
'Cubaan mengongkong rakyat'
Dalam satu artikel op-ed yang disiarkan di dalam The New York Times pada hari Khamis, bekas ketua pegawai eksekutif portal berita yang ditutup baru-baru ini, The Malaysian Insider (TMI), menyifatkan halangan undang-undang terhadap Zunar itu adalah sebahagian daripada kempen yang semakin hangat oleh kerajaan Perdana Menteri Najib Razak, yang menggunakan Akta Hasutan untuk menutup mulut pengkritiknya.
"Zunar menghadapi sehingga 43 tahun penjara diatas sembilan tuduhan hasutan – tuduhan terbanyak yang perrnah dihadapi oleh seseorang individu di Malaysia," Jahabar Sadiq menulis.
"Pentadbiran Najib, pernah berikrar untuk memansuhkan undang-undang kuno itu, kini menggunakannya untuk menutup mulut sesiapa sahaja yang mempersoalkan pentadbiran negara, atau status quo-politik. Ini adalah serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap kebebasan bersuara di Malaysia, dan satu percubaan untuk menutup mulut seluruh penduduk," katanya.
Tahun lepas, Jahabar dan empat editor TMI telah secara ringkas ditahan di bawah akta itu kerana satu laporan. Pada akhir Februari, pengawal selia internet Malaysia menyekat portal berita itu, selepas ia melaporkan bahawa sebuah panel bebas dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia "telah menemui bukti yang mencukupi bagi salah laku kewangan oleh Encik Najib," kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif TMI dalam tulisannya itu.
Oleh kerana hasil pengiklanan lenyap akibat sekatan dalam talian dan kekurangan tawaran daripada pembeli iklan, The Malaysian Insider ditutup bulan lepas.
'Bertentangan Perlembagaan Persekutuan'
Akta Hasutan telah digubal oleh kerajaan kolonial British pada tahun 1948 untuk memerangi komunis, dan telah dipinda oleh Malaysia berikutan rusuhan kaum pada tahun 1969.
Undang-undang mentakrifkan "hasutan" kini semakin meluas dan meletakkan banyak batasan terhadap kebebasan bersuara, terutamanya mengenai isu politik yang sensitif, menurut laporan Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia.
Pada tahun 2014 dan 2015, kira-kira 200 orang telah disiasat, ditangkap atau didakwa di bawah Akta Hasutan, Zunar memberitahu BeritaBenar dalam satu temubual di Washington pada November lepas.
"Kami mencabar undang-undang kerana pada pandangan kami, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan di mana dalam Perkara 10 menyatakan bahawa setiap rakyat mempunyai hak untuk memberi pandangan mereka secara bebas," kata Zunar sebelum ini.
Nota Pengarang: Zunar merupakan penyumbang BeritaBenar.