Pegawai Thailand: Malaysia Tahan Bekas Pemimpin PULO Disyaki Terlibat Dalam Aktiviti Penyeludupan Dadah, Senjata Api

Fairuz Mazlan dan Mariyam Ahmad
2017.06.21
Kedah dan Pattani, Thailand
170621-TH-PULO-620.jpg Ma-ae Sa-a (atau Haji Ismail Thanam), bekas pemimpin kumpulan pemberontak PULO, menerima kad pengenalan Thailandnya di daerah Panare dalam wilayah Pattani, 20 Julai 2015.
BeritaBenar

Para pegawai Thailand berkata Polis Malaysia telah menahan bekas pemimpin kumpulan pemberontak Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) dan seorang sekutu Thailandnya kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah serta senjata api ke Malaysia.

Seorang pegawai keselamatan di pedalaman Selatan Thailand, yang mahu identitinya dirahsiakan, memberitahu BeritaBenar bahawa Ma-ae Sa-a (atau Haji Ismail Thanam) dan Yusof Navic ditahan secara berasingan selepas polis di bahagian barat laut Malaysia mengesan perhubungan telefon antara kedua-duanya dengan seorang lelaki rakyat Thailand yang telah ditembak mati oleh polis Malaysia pada Sabtu.

Pegawai Thailand telah mengenal pasti identiti lelaki itu sebagai Doloh, 41.

Menurut para pegawai Thailand, polis Malaysia tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki namun mereka kekal dalam tahanan.

Berdasarkan maklumat tidak rasmi beberapa pegawai Malaysia, difahamkan Yusof Navic telah ditahan pada Sabtu di Kota Bahru, ibu negeri Kelantan yang terletak di pantai timur Malaysia.

Pada hari berikutnya, polis telah menahan Ma-ae Sa-a di restorannya di Perak, sebuah destinasi pelancongan yang popular di pantai barat Malaysia.

“Kami memang terkejut.Kami keliru tetapi kami akan berjuang untuk keadilan,” kata seorang anggota keluarganya yang tidak ingin dikenali kepada BeritaBenar.

Seorang lagi pegawai Thailand berkata pihak berkuasa negara itu kini bertukar-tukar maklumat dengan pegawai Malaysia berhubung status kedua-dua suspek.

“Malaysia masih belum mendakwa mereka selepas empat hari ditahan tetapi ia mungkin mengambil masa seminggu sebelum mereka boleh memaklumkan kepada kami bagaimana siasatan kes itu berjalan,” kata seorang lagi pegawai Thailand yang tidak ingin dikenali kerana tidak mempunyai kuasa untuk memberikan sebarang kenyataan.

“Penahanan itu adalah susulan insiden tembak-menembak antara seorang lelaki rakyat Thailand dengan polis Malaysia, yang berakhir dengan kematian lelaki terbabit. Polis telah mengesan hubungan antara lelaki itu dengan Ma-ae Sa-a. Kedua, pegawai Malaysia telah menahan seorang wanita rakyat Thailand berhampiran Pusat Pemeriksaan Betong dan mengesan hubungannya dengan Ma-ae Sa-a,” katanya.

PULO merupakan satu daripada gerakan puak pemisah yang menggesa agar kemerdekaan diberikan kepada wilayah di selatan Thailand yang majoriti penduduknya adalah Melayu Islam.

Kaitan dengan senjata api dan dadah

Pada Isnin, Ketua Polis Kedah Asri Yusof berkata Doloh ditembak mati kerana dia terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah polis.

“Anggota polis telah menghampiri sebuah kereta dan mereka nampak seorang lelaki di tempat pemandu. Polis telah meminta suspek keluar dari kereta itu. Lelaki itu secara tiba-tiba telah melepaskan tembakan dari dalam kereta dan terus menembak ke arah anggota polis meskipun selepas dia keluar dari kereta,” kata Yusof.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan balas dan terkena suspek dua kali iaitu di bahagian dada dan kepala,” katanya.

Polis telah menemui sepucuk pistol semi automatik dengan satu magazin peluru, lapan bungkusan yang dipercayai mengandungi heroin dan dua set plat lesen palsu.

“Susulan insiden itu, sepasukan polis dari negeri jiran Perak telah menggeledah rumah lelaki itu di Pengkalan Hulu, Perak pada 17 Jun dan merampas sebutir bom paip buatan sendiri, beberapa jenis peluru dan dadah jenis metamfetamin.

Menurut pangkalan jenayah, Doloh mempunyai rekod tiga kes membabitkan pecah rumah dan ugutan jenayah pada 1992 dan 1995.

Isterinya, seorang rakyat Thailand berusia lingkungan 30-an, telah ditahan di rumah mereka dan direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.