Malaysia Rancang Keluarkan Sendiri Kad Perakuan Pelarian
2022.04.29
Kuala Lumpur

Malaysia, sebuah negara yang tidak menandatangani konvensyen antarabangsa mengenai hak pelarian, bercadang mengeluarkan sendiri kad perakuan untuk pelarian, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pada Jumaat.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas lebih 500 pelarian etnik Rohingya yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah melarikan diri dari depot tahanan imigresen di utara Malaysia.
Hamzah berkata walaupun lebih 100,000 pelarian etnik Rohingya di Malaysia mungkin memegang kad yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), dokumen tersebut tidak diiktiraf kerana hanya Jabatan Pendaftaran Negara diberi kuasa untuk melakukan pendaftaran individu di negara itu.
“Ia adalah satu jabatan yang sah. Mengapa sekarang ini tiba-tiba ada (agensi) lain sebagai pendaftar? Jadi sekarang kita sedang mencari jalan untuk hanya menerima pengesahan kad yang dikeluarkan oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan bukan mana-mana pihak yang mengaku bahawa sesuatu kad itu sebagai kad yang sah daripada UNHCR.
“Malaysia sebagai negara yang patut memastikan siapa yang sah boleh tinggal di negara ini, dengan kad yang kita akan berikan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.
Hamzah mengeluarkan kenyataan itu ketika ditanya mengenai status pelarian etnik Rohingya di Malaysia. Menurut media tempatan, beliau sebelum ini pernah memaklumkan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf status etnik Rohingya sebagai pelarian sebaliknya melihat mereka sebagai pendatang tanpa izin yang memegang kad UNHCR.
Berdasarkan data yang diterbitkan oleh UNHCR di laman sesawangnya, terdapat lebih 181,000 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia setakat ini. Daripada jumlah itu, 85 peratus terdiri daripada mereka yang melarikan diri dari Myanmar termasuk 103,000 orang Rohingya. Bakinya iaitu kira-kira 27,000 orang lagi berasal dari 50 negara lain termasuk Pakistan, Yaman, Syria dan Somalia.
Walaupun memiliki bilangan pelarian yang agak ramai, Malaysia tidak pernah menandatangani Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, yang menyenaraikan hak-hak pelarian serta tanggungjawab negara penandatangan untuk memberikan perlindungan kepada mereka.
Pada sidang media itu, Hamzah turut mempertahan tindakan pihak berkuasa menahan individu yang memasuki Malaysia tanpa sebarang dokumen sah.
Beliau berkata terdapat juga ramai pelarian dari negara bergolak seperti Syria dan Afghanistan tetapi tidak ditahan oleh pihak berkuasa kerana mereka memiliki pasport serta memasuki Malaysia secara sah.
“Mereka yang masuk ke negara kita kena masuk secara sah. Jika masuk tanpa dokumen, itu melakukan kesalahan melanggar undang-undang imigresen,” katanya.
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Mengenai Polisi Pelarian pada Jumaat pula berkata mereka berhasrat melakukan lawatan ke Depot Tahanan Imigresen Sementara di Bandar Baharu, Kedah iaitu lokasi insiden rusuhan pada awal pagi 20 April lepas yang menyaksikan 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri.
Insiden itu turut menyebabkan tujuh pelarian maut dengan enam daripada mereka meninggal dunia akibat dirempuh kenderaan semasa melarikan diri.
Seorang lagi meninggal dunia beberapa jam sebelum rusuhan berlaku dan hasil bedah siasat menunjukkan pelarian itu maut akibat jangkitan kuman dan COVID-19.
Dalam satu kenyataan, kumpulan yang terdiri daripada sembilan Ahli Dewan Rakyat pelbagai parti kerajaan dan pembangkang itu memaklumkan surat rasmi telah dihantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk mendapatkan kebenaran bagi melawat fasiliti itu.
“Insiden rusuhan dan kematian tersebut sangat dikesali dan siasatan bebas dan telus harus dilaksanakan sesegera mungkin untuk menentukan punca kejadian tersebut.
“KRPPM Polisi Pelarian telah meminta Menteri Dalam Negeri untuk mengizinkan delegasi KRPPM melawat ke Depot Tahanan Sementara Kem Sri Impian dalam waktu terdekat untuk menilai sama ada kondisi depot memenuhi piawaian yang sewajarnya. Pengerusi KRPPM
Polisi Pelarian Tarmizi Sulaiman telah mengirim surat kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin untuk menyampaikan permintaan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Insiden rusuhan pada awal 20 April itu menyaksikan sejumlah 528 tahanan termasuk kanak-kanak telah melarikan diri dari depot tahanan imigresen berkenaan.
Sebelum itu, terdapat sejumlah 664 tahanan ditempatkan di depot tersebut yang terdiri daripada 430 lelaki, 97 wanita dan 137 kanak-kanak.
Susulan insiden itu, pihak berkuasa Malaysia telah melancarkan operasi besar-besaran untuk mengesan kesemua tahanan yang melarikan diri termasuk menggunakan helikopter.
Sehingga kini, sebahagian besar daripada mereka sudah berjaya ditahan semula manakala 61 lagi masih bebas.