Istana Selangor Terima Pemulangan Darjah Dan Bintang Mahathir Dan Isteri
2017.12.12
Kuala Lumpur

Dewan Di-Raja Selangor pada Selasa mengesahkan bahawa Sultan Selangor telah berkenan menerima kembali pingat kebesaran yang dipulangkan bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan isterinya yang diserah kepada istana minggu lepas.
Setiausaha Dewan Di-Raja Selangor, Hanafisah Jais berkata tindakan mewartakan pembatalan kurniaan Darjah-darjah dan Bintang-bintang Kebesaran Negeri Selangor akan dilakukan mengikut proses ditetapkan susulan pemulangan itu.
"Adalah dimaklumkan bahawa Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali telah memulangkan dan menyerahkan kembali Darjah-darjah dan Bintang-bintang Kebesaran Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 7 Disember 2017,” Hanafisah berkata dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Selasa.
Hanafisah berkata tindakan pembatalan kurniaan pingat kebesaran negeri tersebut “akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan” tanpa menyebut nama Darjah-darjah dan Bintang-bintang Kebesaran Selangor yang dimaksudkan.
"Dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan menerima pemulangan kembali Darjah-darjah dan Bintang-bintang Kebesaran Selangor tersebut oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tanpa halangan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Istana Alam Shah, Klang.
BeritaBenar difahamkan bahawa empat anugerah, dua daripada Mahathir dan dua daripada Siti Hasmah telah dipulangkan pada Khamis lalu.
Dalam sistem Di-Raja di Malaysia, pemimpin-pemimpin kerajaan dan orang yang dilihat sebagai membawa jasa kepada rakyat oleh pihak istana negeri dikurniakan pingat dan bintang kebesaran, termasuk yang turut membawa gelaran seperti Dato' dan Dato' Seri.
Mahathir ada ‘inferiority complex’
Pemulangan pingat-pingat dikurniakan Sultan Selangor kepada Mahathir, yang dibuat beberapa hari sebelum sambutan Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-72 pada 11 Disember, dipercayai susulan dari kenyataan-kenyataan pihak istana dan Sultan Sharafuddin mutakhir ini yang tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk bekas perdana menteri itu termasuk kenyataan Mahathir mengenai bangsa Bugis.
“Untuk membina nama baik sangat sukar, untuk menghancurkannya sangat mudah. Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun, bukan dengan usaha sendiri sahaja. Parti (Umno) yang letak beliau di situ dan sekarang dia mahu hancurkan parti itu.
“Beliau fikir 22 tahun pentabirannya sangat hebat. Beliau tak mahu mana-mana perdana menteri lain jadi lebih baik daripada beliau dan cuba jatuhkan mereka. Sebab itu saya kata beliau ada ‘inferiority complex’,” kata Sultan Sharafuddin dalam satu wawancara yang disiarkan The Star pada Ahad.
Dalam laporan 5 Disember, The Star juga melaporkan Sultan Sharafuddin sebagai berkata, kemarahan Mahathir akan membakar seluruh negara.
Mahathir dalam ucapan beliau ketika himpunan 'Sayangi Malaysia, Hentikan Kleptokrasi' pada Oktober 14 telah mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dengan mengatakan bahawa Najib adalah keturunan "lanun Bugis".
Kenyataan Mahathir itu telah membangkitkan kemurkaan Sultan Sharafuddin, di mana Dewan Di-Raja Selangor pada November 2 telah mengeluarkan kenyataan bahawa Sultan Selangor murka dan dukacita dengan kenyataan terbabit, serta menggesa satu siasatan polis dijalankan terhadap pengerusi Pakatan Harapan itu.
Beberapa laporan polis telah dibuat oleh persatuan dan individu terhadap Mahathir dan polis Malaysia berkata ia akan memanggil bekas perdana menteri itu untuk memberi keterangan.
"Ia bergantung kepada pegawai penyiasat tetapi kita pasti akan memanggil beliau. Berikan kami masa," Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata di Seberang Jaya di Pulau Pinang pada Selasa.
Mahathir: Saya tidak layak
Mahathir dalam maklumbalas pula memberitahu tindakan memulangkan semula Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama dan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) Selangor adalah kerana beliau merasakan tidak layak untuk menerima kedua-dua darjah kebesaran tersebut.
``Saya tidak fikir saya layak untuk memegang kedua-dua darjah kebesaran tersebut, Saya dianugerahkan darjah kebesaran itu pada masa itu kerana baginda (Sultan Selangor) fikir saya berhak,`` katanya pada Selasa kepada pemberita di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kuala Lumpur.
Mahathir, Perdana Menteri Malaysia paling lama menerima darjah kebesaran SPMS pada tahun 1978 dan DK sebulan sebelum melepaskan jawatan secara rasmi sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2013.
Beliau bagaimanapun tidak menjawab soalan sama ada tindakan memulangkan darjah kebesaran itu sebagai tindakan bantahan atau akibat kenyataan keras dari Istana Selangor.
“Saya tidak tahu,- saya rasa itu adalah pandangan anda,” ujar beliau.
Mahathir bagaimanapun secara sinis menjelaskan mengapa beliau memulangkan pingat tersebut.
"Kenapa saya pulangkan pingat itu? Saya tidak rasa Baginda (Sultan) fikir saya layak memakai gelaran pingat kurniaan itu.
"Begini, saya dikurniakan pingat itu kerana Baginda fikir saya layak menerimanya, tetapi sekarang saya sedang membakar seluruh negara, jadi saya fikir saya tidak lagi layak menggunakannya," kata beliau lagi.
Pingat Siti Hasmah yang dikembalikan pula adalah Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor yang diterimanya pada 1983 dan 1994.
Mohamed Haniff Khatri Abdullah, peguam Mahathir, ketika dihubungi memberitahu BeritaBenar bahawa bekas Perdana Menteri itu memulangkan darjah kebesaran tersebut kerana ia merupakan "satu-satunya langkah terhormat" yang Mahathir boleh lakukan.
“Langkah tersebut hadir setelah pihak istana Selangor mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menunjukkan tidak puas hati dengan apa yang beliau lakukan,” katanya ringkas.
Mahathir merupakan pengkritik paling lantang kerajaan Najib berikutan pendedahan yang dibuat berkaitan dengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana sebanyak RM2.6 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, serta hutang 1MDB berjumlah kira-kira RM42 bilion ringgit.
1MDB yang sarat dengan hutang itu menjadi sasaran penyiasat pengubahan wang haram di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura, tetapi tidak ada tindakan undang-undang diambil di Malaysia. Najib menubuhkan dana berkenaan pada 2009 untuk menggalakkan pembangunan ekonomi di Malaysia.
Mahathir, pengerusi gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang terdiri daripada empat parti pembangkang utama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Pertembungan sengit dijangka berlaku antara Pakatan Harapan dan UMNO dan Barisan Nasional yang dipimpin Najib di dalam pilihanraya umum ke-14 negara itu, yang perlu diadakan pertengahan tahun hadapan.
Fairuz Mazlan turut membantu dalam laporan ini.