Pemimpin Parti PKR Bertemu, Cuba Selesaikan Kemelut

Lex Radz & Ali Nufael
2019.12.04
Kuala Lumpur, Malaysia
191204-MY-Amwar-Azmin1000.jpg Pemimpin politik Malaysia, Anwar Ibrahim, yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (kanan) bercakap dengan timbalannya, Azmin Ali, di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 4 Disember 2019.
[Ihsan Mohamed Azmin Ali]

Parti dominan dalam kerajaan Malaysia memulakan kongres tahunannya pada Khamis selepas dua pemimpin tertingginya kelihatan telah menyelesaikan kemelut yang berpanjangan di antara mereka.

Gambar Anwar Ibrahim dan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, dirakam ketika mereka berdua duduk sambil berbual di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada lewat Rabu, yang buat pertama kalinya menampilkan kemesraan antara mereka sejak Anwar memenangi jawatan presiden PKR pada 2018.

Azmin rapat dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang telah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas dua tahun menyandang jawatan tertinggi kerajaan itu. Pelbagai persoalan telah dibangkitkan berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri itu berikutan perseteruan Anwar dan Azmin.

Awal minggu ini, laporan tempatan menggambarkan PKR sedang dibebani dengan krisis dalaman apabila para penyokong dua pemimpin tertinggi parti itu dijangka mengadakan kongres tahunan parti secara berasingan - satu di negeri selatan Melaka dan satu lagi di ibu negara – bermula pada Khamis.

Pada Rabu, senyuman melakari wajah Azmin apabila beliau memberitahu pemberita bahawa beliau akan bertemu dengan Anwar.

"Kami akan berbincang tentang pendirian parti dan persiapan kongres yang akan bermula esok [dan berlangsung] sehingga Ahad," kata Azmin, 55, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi. "Kami juga akan membincangkan beberapa perkara penting dan saya ingin menyatakan bahawa saya akan menghadiri kongres itu minggu ini."

Anwar juga kelihatan tersenyum selepas pertemuan selama dua jam dengan Azmin - yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulit beliau pada 1995.

"Mesyuarat yang baik. Kongres yang baik," kata ahli parlimen berusia 72 tahun itu dan presiden PKR, yang kedengaran hampir menjerit tanpa berhenti untuk menjawab pertanyaan daripada wartawan yang menunggunya, ketika beliau memasuki keretanya.

Sehari sebelum itu, Anwar memberitahu satu mesyuarat PKR di Perak bahawa beliau sentiasa terbuka untuk menerima teguran namun kesabarannya ada batasan.

"[Saya] percaya setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka," katanya dalam laporan Bernama, agensi berita nasional.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh [sabar] apabila ada orang yang memberi gambarana bahawa parti (PKR) berpecah, lemah ... sebab menjadi tanggungjawab saya untuk membina kekuatan parti," kata Anwar dalam ucapannya itu di mana beliau turut mengulangi sokongannya kepada Perdana Menteri Mahathir.

Selepas Anwar bertemu dengan Azmin pada malam Rabu, nada para penyokong kedua-dua pemimpin itu di media sosial kelihatan berubah daripada antagonis terhadap satu sama lain kepada usaha untuk berdamai.

Kongres bayangan

Rancangan untuk melancarkan kongres secara serentak di Renaissance Hotel di Kuala Lumpur berjalan dengan baik sehinggalah kira-kira 2 petang Rabu apabila persiapannya tiba-tiba dihentikan, kata sumber dalaman pihak Azmin kepada BeritaBenar.

"Azmin mahu bertemu para pemimpin di Parlimen selepas beberapa orang daripada mereka tidak mahu mengadakan kongres alternatif," kata sumber itu, yang enggan namanya disiarkan berikutan sensitiviti isu itu. "Kami diberitahu untuk menghentikan persiapan di Kuala Lumpur dan menunggu keputusan pemimpin."

Penganalisis memberitahu BeritaBenar bahawa pertemuan antara Anwar dan Azmin adalah penting kerana pertelingkahan dalaman PKR boleh menjejaskan imej gabungan Pakatan Harapan. Parti itu, yang diasaskan oleh Anwar, 72, mempunyai jumlah kerusi terbanyak  di Parlimen.

"Orang ramai akan berkata, 'Bagaimana anda mahu menguruskan negara apabila parti anda sendiri  bercelaru?' Ia mencerminkan kerajaan dan ini tidak baik untuk [Pakatan Harapan]," kata Ahmad Marthada Mohamed, dekan kajian hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM), kepada BeritaBenar.

"Pakatan Harapan tidak dapat mencari asas yang kukuh di kalangan semua parti komponennya kerana hubungan dua nama besar dalam parti itu... tidak baik," katanya.

Menurut Awang Azman Awang Pawi, profesor di Universiti Malaya, pertemuan antara kedua-dua pemimpin parti itu menunjukkan bahawa mereka sedang berusaha menuju ke arah yang lebih jelas.

"Pemimpin masa depan Pakatan Harapan akan menghadapi masalah besar jika pemimpin PKR terus bergaduh," katanya kepada BeritaBenar. "Orang akan bosan jika kamu bergaduh merebut kuasa."

PKR, parti politik pelbagai kaum yang ditubuhkan pada 2003, memegang 50 daripada 129 kerusi Parlimen yang dikuasai oleh kerajaan memerintah.

Bagi Anwar, yang merupakan penggerak reformasi Malaysia sejak 20 tahun lalu, memulihkan hubungan dengan para pemimpin PKR lain akan membawa beliau lebih dekat kepada jawatan perdana menteri yang dijanjikan oleh Mahathir, bekas musuhnya yang mengetuai parti lain dalam Pakatan Harapan, kata para penganalisis. Mereka telah pun mengatasi kemelut perbezaan mereka dan menjadi sekutu politik apabila Mahathir mengetuai tentangan terhadap gabungan parti yang pernah diterajui beliau sebelum ini.

Anwar menerima pengampunan penuh dan dibebaskan daripada hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan meliwat selepas Pakatan Harapan memperoleh kemenangan yang menakjubkan dalam pilihan raya Mei 2018 dan menamatkan penguasaan gabungan Barisan Nasional.

Anwar memenangi jawatan Presiden PKR tanpa bertanding pada Ogos tahun lepas, bagi menggantikan isterinya Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri.

Apabila beliau membuat janji luar biasa kepada Anwar beberapa bulan menjelang pilihan raya umum, Mahathir, kini berusia 94 tahun, berkata beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bekas seterunya itu selepas dua tahun beliau memegang tampuk kuasa. Beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas  beberapa hari selepas memenangi pilihan raya itu.

Tetapi, persoalan sama ada Mahathir akan melepaskan jawatannya itu semakin berleluasa sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Selepas pertemuan mereka lewat bulan lalu, Anwar memberitahu pemberita bahawa beliau telah bersetuju dengan Mahathir bahawa mereka akan memberi tumpuan kepada persiapan  Sidang Kemuncak APEC yang dijadualkan pada November 2020 di Kuala Lumpur, yang menunjukkan tempoh peralihan kuasa itu berkemungkinan dilanjutkan.

Anwar memberitahu Mahathir bahawa beliau boleh menyerahkan jawatan perdana menteri itu kepadanya "dalam masa tempoh yang munasabah."

"Saya memberitahu beliau bahawa peralihan kuasa perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta dengan persefahaman," kata Anwar kepada wartawan pada masa itu, bagi menjelaskan tentang apa yang dibincangkannya dalam petemuan  selama 30 minit dengan Mahathir.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.