Bot Dari Cox Bazar Bawa 25 Rohingya Tiba di Langkawi

Hadi Azmi dan Nisha David
2020.07.21
Kuala Lumpur
200721-MY-rohingya-620.jpg Wanita Rohingya di rumah transit yang dikawal sindiket pemerdagangan manusia di Langkawi, Malaysia. 21 Julai 2020.
Gambar ihsan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kedah

Kemas kini 11:05 a.m. ET pada 2020-07-22

Malaysia pada Selasa menahan 25 etnik Rohingya tidak berdokumen di sebuah rumah transit yang dikawal sindiket pemerdagangan manusia di Pulau Langkawi, beberapa jam selepas ketibaan mereka dengan menaiki bot yang belayar dari Cox Bazar, Bangladesh, demikian menurut pegawai penguatkuasa dan sumber.

Turut ditahan dua pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang cuba memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa sebanyak 25,000 ringgit (AS$5,866) untuk membebaskan mereka.

Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zubil Mat Som mengesahkan penangkapan itu namun enggan mengulas lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Shaharom Nizam Abd Manap berkata kedua-dua pemegang kad UNHCR yang ditahan adalah etnik Rohingya berusia 29 dan 35 tahun, dipercayai merupakan sebahagian daripada sindiket yang beroperasi dari Langkawi.

“Mereka ditahan pada pukul 3.35 pagi setelah terperangkap ketika menawarkan suapan kepada pegawai penguatkuasa untuk membebaskan 25 pendatang Rohingya yang telah mendarat dan ditahan di Langkawi.

“Kedua-duanya didapati telah lama berada di Malaysia dan fasih berbahasa Melayu,” katanya kepada BeritaBenar.

Beliau berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM dan kedua-dua suspek telah dibawa ke mahkamah untuk direman dan setelah siasatan ke atas mereka selesai, agensi antirasuah tersebut akan menyerahkan mereka kepada polis untuk tindakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Katanya majoriti yang ditahan adalah wanita dan enam kanak-kanak. Pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti usia kerana masalah bahasa. Usaha telah dilakukan untuk mendapatkan khidmat penterjemah bagi membantu penguatkuasa mendapatkan lebih banyak maklumat daripada etnik Rohingya yang ditahan.

Shaharom berkata kedua-dua pemegang kad UNHCR ditahan oleh SPRM manakala 25 etnik Rohingya terbabit telah diserahkan kepada APMM untuk tindakan selanjutnya.

Pada 27 Jun, Mahkamah Majistret Langkawi menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan ke atas 40 pendatang Rohingya dengan tiga sebatan kerana memasuki Malaysia secara haram.

Dalam laporan akhbar tempatan Sinar Harian, Majistret Mohd Ridzuan Salleh menjatuhkan hukuman itu setelah mereka mengaku bersalah. Bagaimanapun, hanya 31 orang daripada mereka yang terdiri daripada lelaki akan dikenakan hukuman sebat kerana wanita dikecualikan daripada menjalani hukuman itu.

Keputusan mahkamah itu bagaimanapun mengundang kritikan kumpulan penyokong hak asasi manusia Amnesty International yang menuntut pihak berkuasa Malaysia membatalkan niat untuk menyebat kesemua 31 lelaki etnik Rohingya tersebut.

“Pihak berkuasa Malaysia harus segera membatalkan niat untuk menyebat 31 lelaki Rohingya yang dihukum hanya kerana berusaha mencari perlindungan. Kerajaan harus membebaskan semua pelarian Rohingya yang dipenjara, termasuk wanita dan kanak-kanak yang telah ditahan secara tidak sah, disabitkan dan dipenjarakan atas tuduhan kesalahan imigresen yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Menyifatkan hukuman itu sebagai kejam serta tidak berperikemanusiaan, kumpulan itu berkata ia juga melanggar undang-undang antarabangsa.

“Mereka yang menghadapi hukuman berat dipenjara ketika cuba melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar. Mereka juga terselamat dari perjalanan berbahaya di laut dalam usaha ke Malaysia untuk mencari perlindungan. Pendekatan ini adalah tidak berperikemanusiaan dan sangat mengerikan,” kata Rachel Chhoa-Howard, Penyelidik Malaysia di Amnesty International pada Isnin.

Malaysia tidak menjadi ahli dalam Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokolnya dan pada masa ini, tidak ada kerangka perundangan atau pentadbiran untuk menangani pelarian.

Sebaliknya, setiap orang yang memasuki negara ini secara haram diklasifikasikan sebagai pendatang tanpa izin berdasarkan undang-undang Malaysia.

Kali terakhir etnik Rohingya berjaya memasuki perairan negara ialah pada 8 Jun apabila APMM menunda sebuah bot rosak yang membawa 269 pelarian ke pantai di Pulau Langkawi dan sejak itu telah menahan mereka di Malaysia.

Bot itu adalah antara dua yang belayar dari Cox Bazar di Bangladesh pada Februari hasil maklumat yang diperoleh daripada pelarian Rohingya yang ditahan.

Penahanan kanak-kanak Rohingya membimbangkan

Sementara itu, Pengarah Advokasi Wilayah Asia, Save the Children, Shaheen Chughtai berkata penahanan kanak-kanak pelarian Rohingya di Malaysia sangat membimbangkan.

“Anak-anak Rohingya telah berdepan pelanggaran hak dan diskriminasi di wilayah Rakhine, keganasan yang melampau ketika mereka melarikan diri dari negara mereka dan mereka turut berdepan keadaan sukar serta ketidakpastian di kem pelarian di Cox Bazar.

“Sekarang, ketika anak-anak dan keluarga mereka mencari masa depan yang lebih baik tanpa rasa takut dan bahaya, mereka diperlakukan seperti penjenayah pula,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata kanak-kanak yang melakukan perjalanan dengan kapal cenderung menyaksikan dan mengalami situasi menyedihkan serta yang tidak patut dilihat malah mereka juga berpotensi menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

“Anak-anak yang diselamatkan dari perahu di pantai Bangladesh bercerita mengenai adegan anggota keluarga dilemparkan ke laut, dipukul serta belayar tanpa makanan dan air yang mencukupi selama berminggu-minggu, jika tidak berbulan-bulan, pada satu-satu masa.

“Sangat mengerikan bahawa anak-anak pelarian kini menjalani hukuman penjara di Malaysia ketika satu-satunya “kesalahan” mereka ialah berusaha untuk menghindari penganiayaan.

“Semua anak-anak pelarian berhak diselamatkan, mendapat pendidikan dan dilindungi namun mereka sekarang dinafikan hak-hak ini. Penahanan kanak-kanak pelarian Rohingya merupakan penolakan hak mereka dan pelanggaran undang-undang antarabangsa. Sehubungan itu, kami mendesak pemerintah Malaysia untuk mencari alternatif segera bagi penahanan kanak-kanak Rohingya dan berhenti memperlakukan pelarian seperti penjenayah,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.