Rosmah Nafi Miliki Rantai Berlian Merah Jambu Bernilai AS$23 Juta
2022.03.25
Kuala Lumpur

Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, pada Jumaat menafikan beliau pernah menerima seutas rantai bertatahkan berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta). Beliau membuat penafian itu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya selepas invois pembelian barang kemas tersebut dikemukakan di sebuah mahkamah Amerika Syarikat pada perbicaraan Roger Ng, seorang pengurus bank dalam kes jenayah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut laporan agensi berita Bloomberg, pereka barang kemas itu berkata beliau telah menyerahkan rantai berlian tersebut kepada Rosmah di atas sebuah kapal layar ketika berada di perairan berhampiran Monaco. Lorraine Schwartz tidak tampil memberikan keterangan namun telah membuat kenyataan itu yang dimasukkan oleh pendakwa raya ke dalam rekod mahkamah.
Laporan Bloomberg menyebut ahli perniagaan dalam buruan Jho Low turut berada di atas kapal yang sama ketika rantai itu diserahkan kepada Rosmah. Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada kapal dimaksudkan ialah Equanimity yang dikaitkan dengan Low dan telah dirampas serta dilelong oleh kerajaan Malaysia pada 2018.
"Adalah penting untuk dinyatakan di sini bahawa anak guam kami tidak pernah menerima rantai berlian merah jambu itu, dan ini terbukti kerana rantai tersebut tidak pernah dijumpai dalam simpanan beliau walaupun selepas beberapa penggeledahan dilakukan oleh pihak berkuasa," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Geethan Ram Vincent, Rajivan Nambiar dan Reza Rahim.
Rosmah dan Najib turut mengulangi bahawa mereka tidak pernah meminta atau berhasrat membeli rantai berlian itu.Menurut peguam, mereka hanya mengetahui bahawa seorang putera Emiriah Arab Bersatu bernama Sheikh Mansour Zayed berhasrat memberikan rantai itu kepada Rosmah sebagai hadiah dan mereka juga tidak pernah dimaklumkan mengenai harganya.
"Anak guam kami juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai invois yang dikeluarkan dan ditunjukkan kepada barisan juri dalam perbicaraan Roger Ng. Dan dalam apa keadaan sekalipun, anak guam kami mengambil pendirian bahawa pengeluaran invois itu sendiri bukanlah satu bukti konklusif untuk mengaitkan anak guam kami dalam pembelian rantai berlian merah jambu itu," kata mereka.
Rosmah juga menyatakan bahawa isu rantai berlian itu disensasikan sebagai satu lagi cubaan untuk mengaibkan beliau dan Najib dalam politik.
Roger Ng kini berdepan pertuduhan terlibat dalam konspirasi menyeleweng berbilion dolar daripada 1MDB di Mahkamah Persekutuan AS.
Ketika sesi perbicaraan di Brooklyn pada Khamis, para juri telah dirujuk satu bukti kewujudan harta benda yang dibeli menggunakan wang yang digelapkan dalam skandal 1MDB, sebuah syarikat dana pelaburan negara Malaysia.
Menurut Bloomberg, juri bagaimanapun tidak melihat rantai berlian itu yang direka oleh Schwartz untuk Rosmah sebaliknya hanya ditunjukkan sekeping invois sebagai bukti pembelian.
Kenyataan bercanggah
Kenyataan peguam Rosmah pada Jumaat itu bagaimanapun bercanggah dengan hasil siasatan polis Malaysia berkaitan kes penyelewengan dana 1MDB dan beberapa serbuan pada 2018 yang menyaksikan pelbagai barangan mewah termasuk beg dan jam tangan dirampas.
Media tempatan melaporkan pada 2019, polis mengesahkan bahawa terdapat bukti transaksi kewangan membabitkan pembelian rantai berlian merah jambu bernilai AS$23 juta daripada seorang peniaga barang kemas di New York menggunakan wang 1MDB.
Perkara itu didedahkan oleh pegawai kanan polis Khalil Azlan Chik, yang mengetuai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, selepas Rosmah menafikan bahawa beliau telah membeli rantai tersebut. Isteri Najib itu mendakwa dirinya telah difitnah sebagai modal politik ketika Pilihan Raya Umum ke-14.
"Merujuk kepada penafian isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berhubung pembelian berlian merah jambu yang viral di media sosial, polis dapati terdapat bukti jejak kewangan transaksi barang kemas berkenaan.
"Ia dibeli menggunakan wang 1MDB daripada seorang peniaga dari New York," menurut Khalil dalam kenyataan media pada 13 April 2019 seperti yang dilaporkan akhbar tempatan Berita Harian.
Dalam kes yang disifatkan sebagai "skandal kleptokrasi terburuk masa kini," pihak pendakwaan Malaysia dan AS berkata sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB, dana yang ditubuh oleh Najib pada 2009 bagi membiayai program di Malaysia.
Najib hilang kuasa selepas kerajaan Barisan Nasional pimpinan beliau kalah pada Pilihan Raya Umum 2018, yang menyaksikan pembangkang menggunakan isu 1MDB sebagai subjek utama kempen mereka.
Kerajaan Pakatan Harapan, yang menggantikan Barisan Nasional, telah memfailkan 42 pertuduhan jenayah terhadap Najib dan beliau telah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan menyeleweng dana anak syarikat 1MDB iaitu SRC International serta dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada Julai 2020. Najib, yang kini bebas dengan jaminan sementara menunggu proses rayuan, turut berdepan pertuduhan lain yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.