Seorang Rakyat Malaysia, 2 warganegara Indonesia Ditangkap di Sabah, Cuba Sertai Pertempuran Marawi - Pegawai

N. Natha
2017.06.16
Kuala Lumpur
170616-MY-sabah-620.jpg Pihak berkuasa menahan tiga lelaki itu di Sandakan, bandar tepi pantai yang mempunyai perkhidmatan feri ke selatan Filipina.
BeritaBenar

Pihak berkuasa Malaysia menahan dua warganegara Indonesia dan seorang rakyat Malaysia yang didakwa merancang untuk menyertai ekstremis berkaitan Negara Islam dalam pertempuran menentang tentera kerajaan Filipina di Marawi, kata ketua polis negara itu pada Jumaat.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, para pegawai memerangi keganasan telah menahan tiga lelaki itu pada Khamis di Sandakan, sebuah bandar tepi pantai di negeri timur Sabah, yang mempunyai perkhidmatan feri ke selatan Filipina.

"Kami percaya mereka bertiga cuba mendapatkan laluan selamat ke bandar Marawi di selatan Filipina," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Tangkapan itu dibuat seminggu selepas Menteri Pertahanan Malaysia mencadangkan supaya satu mesyuarat khas diadakan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand bagi membincangkan apa yang disifatkannya sebagai ancaman kepada semua lima negara oleh kumpulan ekstremis Negara Islam (IS).

Menteri berkenaan, Hishammuddin Hussein, membuat kenyataan itu semasa lawatannya ke bandar Cotabato yang terletak di pulau selatan Filipina yang luas, Mindanao, di mana kumpulan-kumpulan militan Filipina yang mempunyai kaitan dengan IS, dan disokong oleh para pejuang asing, terikat dalam pertempuran  ganas dengan pasukan keselamatan kerajaan di bandar berdekatan, Marawi.

Pertempuran itu, yang tercetus pada 23 Mei lalu, mencemaskan kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara, dengan para pegawai menyuarakan kebimbangan bahawa militan IS mungkin cuba bertapak di rantau ini.

Para pegawai tentera Filipina berkata, pertempuran empat minggu dengan  200 pejuang tempatan – yang dibantu oleh sejumlah pejuang asing dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan negara-negara lain - telah mengorbankan kira-kira 300 orang, termasuk berpuluh-puluh anggota tentera dan sekurang-kurangnya 200 militan.

Semasa tangkapan di Sabah, para pegawai memerangi keganasan turut merampas tiga bilah pisau ‘Rambo’ daripada suspek, kata Khalid.

"Mereka mahu menggunakan senjata itu terhadap polis jika mereka ditangkap. Nasib baik, mereka gagal menggunakannya," katanya.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan semasa waktu perniagaan berhampiran sebuah masjid di Sandakan, menyebabkan aktiviti di pusat bandar itu terhenti seketika dengan para penduduk merakamkan operasi polis berkenaan menggunakan telefon bimbit mereka.

"Saya gembira pihak polis bertindak proaktif dan dapat mengambil tindakan sebelum berlakunya sebarang kejadian buruk," kata Chan Tzun Hei, seorang pegawai pembangunan masyarakat di Sandakan, kepada BeritaBenar.

Tangkapan berasingan

Dalam kejadian berasingan pada Isnin, Khalid berkata, para pegawai memerangi keganasan juga menggagalkan cubaan melakukan serangan terhadap pihak berkuasa dengan menahan seorang lelaki warganegara Indonesia di Slim River, di negeri Perak, yang terletak kira-kira 100 kilometer (62.5 batu) dari utara ibu negara, Kuala Lumpur.

"Suspek itu, yang datang ke negara ini dengan pas perjalanan yang sah, mahu melancarkan serangan terhadap anggota-anggota Polis DiRaja Malaysia," katanya kepada pemberita tanpa memberikan butiran lanjut.

Beliau berkata, kesemua empat suspek itu, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, berusia di antara 30 dan 48 tahun.

Lelaki Indonesia itu memegang kesemua pasport mereka, kata Khalid.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dengan 66 orang daripada mereka telah pun dibebaskan, menurut perangkaan kerajaan yang disusun oleh BeritaBenar.

Khalid berkata, pihak berkuasa sentiasa berwaspada dalam usaha mereka  memburu  militan IS yang lain.

"Pihak polis akan terus memperhebatkan operasi menentang unsur-unsur keganasan," katanya.

Sukan Asia Tenggara

Khalid berkata, pihak berkuasa juga bersiap siaga dalam mendepani kemungkinan ancaman keganasan semasa Sukan Asia Tenggara (SEA) Ke-29, iaitu temasya pelbagai acara sukan yang melibatkan 11 negara. Ia dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 19 hingga 31 Ogos.

"Kami bukan sahaja bercakap mengenai ancaman daripada Daesh, tetapi juga sebarang bentuk ancaman daripada mana-mana entiti yang boleh menjejaskan negara kita dan Sukan SEA," katanya, yang menggunakan nama lain bagi IS.

Colin Forsythe menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.