SC Sahkan Azam Baki Tidak Langgar Undang-Undang Berkaitan Perdagangan Sekuriti
2022.01.19
Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Rabu membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki daripada kesalahan berkaitan undang-undang perdagangan sekuriti. Kenyataan itu dikeluarkan kurang 24 jam selepas ia menyatakan siasatan SC tidak menjumpai bukti konklusif bahawa pegawai tinggi agensi berkenaan telah melanggar undang-undang tersebut.
Justeru, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada lewat Rabu malam meminta semua pihak menerima keputusan SC yang dikeluarkan selepas selesai siasatan.
"SC ingin menjelaskan bahawa keterangan bebas yang diperoleh semasa melaksanakan inkuiri berhubung akaun dagangan saham Azam Baki menunjukkan bahawa beliau adalah penama akaun saham dan beliau mempunyai kuasa ke atas akaun saham tersebut, dan beliau telah mengendalikan akaun saham yang dibukanya dan telah menyampaikan arahan untuk jual, beli serta pemindahan saham daripada akaun tersebut.
"Oleh yang demikian, pihak SC telah membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran terhadap Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991," menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu petang.
Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 atau dikenali sebagai SICDA merupakan peruntukan mengenai pemilikan akaun sekuriti, di mana setiap akaun yang dibuka dengan depositori pusat hendaklah menggunakan nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan, atau menggunakan nama seorang wakil sah.
Bagaimanapun, pengumuman SC itu bercanggah dengan pengakuan Azam pada awal bulan ini bahawa akaun miliknya telah digunakan sebagai akaun proksi oleh adiknya bagi membeli saham pada 2015, yang dilihat sebagai satu perlakuan salah di sisi undang-undang.
Pihak berkuasa yang bertanggungjawab memantau dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan pelaburan itu telah menjalankan siasatan terhadap Azam kerana disyaki telah menyalahgunakan akaun dagangan sahamnya.
Azam, yang sebelum ini menerajui unit siasatan SPRM, telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya agensi itu sebaik sahaja kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu (UMNO) kembali berkuasa dan beliau mula menjadi tumpuan media sejak bulan lepas apabila dikaitkan dengan isu pemilikan jutaan unit saham dalam sebuah syarikat senaraian awam.
Susulan itu, beliau tampil memberi penjelasan pada 5 Jan lepas dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM.
"Saya ingin menegaskan bahawa dalam isu saham ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tuduhan terdapat konflik kepentingan di pihak saya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas.
"Saya telah jelaskan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah bahawa akaun saham saya digunakan oleh adik saya untuk membuat urus niaga beliau dan saya tiada kepentingan atau benefisial ke atas saham-saham yang dibeli itu. Saham-Saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.
"Semua saham tersebut telah dipindahkan kepada akaun saham beliau kemudiannya," kata Azam dalam sidang media itu.
'Terimalah keputusan SC'
Sementara itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemui pemberita pada Rabu malam menggesa semua pihak termasuk pembangkang menerima hasil siasatan SC.
Beliau berkata kerajaan telah menyerahkan perkara berkaitan pemilikan saham itu kepada SC sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab melakukan siasatan.
"SC sudah membuat keputusan. Hari ini SC juga sudah keluarkan kenyataan mengatakan tidak ada kes terhadapnya, jadi kita terimalah keputusan SC.
"Jangan kita minta dia disiasat, apabila dia disiasat, keputusan dibuat, kita masih tidak berpuas hati. Jangan kita fikir kita ikut kehendak kita.
"Kalau pembangkang rasa mesti ikut kehendak pembangkang, tidak boleh. Dia kena terimalah keputusan daripada badan profesional seperti SC," katanya selepas menghadiri Program Eksklusif Bersama Perdana Menteri dan melancarkan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Putrajaya.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 8 Jan telah meminta semua pihak bertenang sementara menunggu siasatan selesai.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemilikan saham Azam berjumlah sejuta unit hanya bernilai RM330,000 (AS$78,700) ketika itu dan saiz yang dipegangnya kini adalah hasil terkumpul sejak beberapa tahun lepas.
“Berdasarkan harga ketika itu, ia bukanlah saham yang mahal untuk dibeli. Saya percaya kebanyakan kita mampu memilikinya dan bagi mereka yang aktif dalam pembelian saham, ia adalah normal untuk menambah pegangan saham secara berperingkat dari semasa ke semasa terutaman apabila melihat potensi saham tersebut,” katanya.
Menurut Wan Junaidi, tiada undang-undang atau peraturan yang melarang penjawat awam memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.
“Di bawah Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam hanya dilarang berdagang dalam pasaran niaga hadapan di dalam atau luar negara, mereka yang memiliki saham dalam syarikat senaraian awam dikehendaki mengisytiharkan saham itu sebagai aset,” katanya.
Timbul persoalan lain
Seorang peguam memaklumkan BenarNews bahawa peruntukan SICDA yang melarang akaun dagangan digunakan oleh pihak lain dibuat bagi menghalang perbuatan keldai akaun.
Menurut Mohd Shukri Ahmad Mansor, walaupun SC menyatakan bahawa Azam tidak melakukan kesalahan dari segi undang-undang berkaitan dagangan sekuriti, ia bagaimanapun menimbulkan persoalan lain terutama dari segi percanggahan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya badan antirasuah itu sebelum ini.
"Jawapan SC itu akan menimbulkan persoalan lain kerana ia menunjukkan apa yang Azam Baki katakan iaitu akaun beliau diguna oleh adiknya adalah berbeza dengan dapatan SC. Maka dari segi SICDA atau Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, ia dikira tiada kaitan kerana didapati bahawa Azam Baki guna akaun sendiri.
"Cuma sekarang ini, ia menjadi isu mengenai versi cerita mana yang betul," katanya.
Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat Wong Chen turut mempersoal kenyataan SC yang membersihkan Azam daripada kesalahan berkaitan undang-undang perdagangan sekuriti.
Wong berkata Azam sendiri mengakui telah membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau dan meminta SC menjawab sama ada ia mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
"Akan tetapi dalam mengumpulkan bukti bebas, SC kelihatan seperti tidak mengambil kisah tentang kenyataan ini.
"Saya menggesa SC untuk memberikan lebih butiran mengenai hal ini dan menjawab soalan mudah, adakah SC telah mengambil keterangan Azam sebelum mereka mendapati beliau tidak melanggar Seksyen 25(4) SICDA?" menurutnya dalam satu kenyataan.