Pembentangan Laporan Tahunan Pencapaian Besar Suhakam Selepas 20 Tahun Ditubuhkan
2019.12.10
Kuala Lumpur

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya pada Selasa setelah melakar sejarah apabila buat julung kalinya, laporan tahunan suruhanjaya itu telah dibentang dan dibahaskan di Parlimen minggu lepas.
Pengerusi Suhakam, Othman Hashim, berkata ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan buat suruhanjaya itu.
“Interaksi kami dengan ahli Parlimen telah berlangsung sekian lama dan hari yang ditunggu-tunggu oleh Suhakam serta mereka di luar sana tiba pada Khamis 5 Dis apabila buat pertama kalinya sejak penubuhan Suhakam pada 1999, laporan tahunan Suhakam dibahaskan di Parlimen. Ia satu sejarah dan ini menunjukkan langkah positif yang diambil kerajaan dalam menunjukkan komitmen untuk menambah baik hak asasi manusia di Malaysia,” kata Othman dalam ucaptama beliau di Kuala Lumpur.
Laporan tahunan 2018 itu mengandungi pelbagai isu berkaitan hak asasi manusia, termasuk golongan minoriti seperti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), hak wanita, hak individu tanpa kewarganegaraan, hak orang asli dan sebagainya.
Ia turut menyenaraikan bentuk-bentuk aktiviti dan program yang dilakukan oleh Suhakam dalam mendidik rakyat Malaysia berkaitan isu hak asasi manusia dan memenuhi mandat yang diberikan.
Menurut Othman, dari semasa ke semasa pejuang hak asasi manusia akan menghadapi rintangan yang tampak secara lahir sebagai halangan dan tentangan.
“Semangat yang membara dalam mempromosikan serta membela hak asasi walaupun penuh cabaran dan kesukaran dalam melaksanakan tugas, saya pastikan akan membawa perubahan, bermaruah dan adil demi masa depan negara yang lebih baik ,” katanya.
Menceritakan aktiviti terbaru Suhakam, Othman berkata dalam usaha menjadikan hak asasi sebagai realiti harian, pihaknya menjalin kerjasama yang baik dengan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan program “Atham: Amalan terbaik hak asasi manusia “ untuk pelajar di 468 sekolah.
Selari dengan fokus yang diberikan kepada belia, Othman turut memperkenal Modul Hak Asasi Manusia Sekolah yang dibangunkan dengan kerjasama Suhakam dan Kementerian
Pendidikan.
“Modul Hak Asasi Manusia Pasca PT3 dan Modul Hak Asasi Manusia Pasca UPSR telah dibangunkan bagi memperkenal prinsip-prinsip hak asasi manusia serta istilah-istilah
seperti ‘kesaksamaan’ dan ‘antidiskriminasi’ kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan
menengah.
“Modul-modul tersebut menekankan konsep-konsep kesejagatan, hak asasi manusia yang tidak boleh dipisahkan dan dibahagikan serta yang saling berkait. Modul-modul tersebut
mengandungi aktiviti-aktiviti praktikal yang bertujuan mengajar pelajar-pelajar sekolah
tentang hak asasi manusia dengan mengambil kira konteks sosial dan kebudayaan di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Hal Ehwal Parlimen), Liew Vui Keong berkata perbahasan Laporan Tahunan Suhakam menyediakan ruang untuk wacana intelektual dalam kalangan ahli parlimen berhubung isu hak asasi manusia.
“Kerajaan juga akan mengguna pakai cadangan dalam laporan itu. Ini adalah mesej kuat daripada kerajaan Pakatan Harapan bahawa kami komited untuk meningkatkan perlindungan dan kesedaran hak asasi manusia di Malaysia.
“Secara domestik, kita sudah melalui perjalanan jauh, Malaysia sudah berhadapan dengan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia dan pertelingkahan mengenai isu sensitif dalam hak asasi. Saya percaya kita berjaya menyelesaikan isu yang berbangkit, bagaimanapun, harus diakui banyak ruang untuk peningkatan dalam isu hak asasi manusia di negara ini,” katanya ketika berucap di Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suhakam pada Selasa.
Liew menekankan bahawa kerajaan akan terus melibatkan pihak berkepentingan dalam proses membentuk dasar hak asasi manusia.
Beliau juga membawa perhatian kepada beberapa inisiatif yang diambil oleh kerajaan iaitu undang-undang berkaitan hak kepada maklumat, kajian pemansuhan hukuman mandatori, agenda pembaharuan undang-undang termasuk pembangunan Pelan Tindakan Kebangsaan Hak Asasi Manusia dan Perniagaan.
Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia dan Singapura, Stefan Priesner, berkata pihaknya gembira dengan komitmen Malaysia dalam memajukan hak asasi namun perjalanannya masih jauh.
“Dalam mencapai tujuan ini, penting untuk menimbangkan bahawa pembangunan dan hak asasi manusia adalah dua hal yang tidak dapat dipisahkan. Kerana itu, pembangunan harus dilakukan bersama dengan hak asasi manusia. Dengan cara ini, kita dapat mengukuhkan hala tuju pembangunan, menjadikan tadbir urus yang bermakna dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan,” katanya.
Bagaimanapun pada Khamis, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendakwa terdapat bahagian yang tidak relevan telah dimasukkan ke dalam Laporan Suhakam yang dibentangkan.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahagian yang dimaksudkan ialah bab kedua yang menjelaskan tentang LGBT.
Tuan Ibrahim menyoal Suhakam mengenai kandungan laporan itu yang menyebut bahawa pematuhan kepada pengkelasan dua jantina secara tradisi telah menyebabkan diskriminasi terhadap komuniti LGBT dan pelanggaran hak asasi mereka.
Isu hak asasi kumpulan minoriti itu turut menjadi antara topik yang dikongsi bersama dalam forum anjuran Suhakam sempena ulang tahunnya.
Forum Hak Asasi Manusia itu terdiri daripada dua sesi iaitu perbincangan interaktif berkaitan pandangan terhadap Hak Asasi Manusia di Malaysia yang memfokus kepada belia diikuti perbincangan tentang jangkaan masa hadapan mengenai kesedaran progresif hak asasi manusia.
Dalam ucapan penutup sambutan ulang tahun Suhakam, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Nadzirah Othman, menekankan komitmen kerajaan terhadap hak asasi manusia di negara ini serta di seluruh dunia.
“Sebagai ahli yang aktif dalam komuniti antarabangsa, Malaysia akan terus melibatkan PBB dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia dalam agenda penting ini,” kata beliau.