Selepas Tahun Yang Sukar, Rakyat Malaysia Sambut Hari Kebangsaan
2016.08.31
Kuala Lumpur
Beribu-ribu rakyat Malaysia berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Rabu untuk meraikan sambutan kemerdekaan ke-59 Malaysia, dengan mengetepikan kerisauan di tengah-tengah pelbagai berita membimbangkan yang membelenggui negara ini.
Sambutan penuh meriah itu ternyata amat berbeza dengan protes pelajar yang diadakan berhampiran dataran sama pada hujung minggu lalu bagi menggesa penangkapan Pegawai Malaysia 1 – yang ramai percaya adalah Perdana Menteri Najib Razak – individu yang dinamakan dalam saman yang difailkan oleh kerajaan Amerika Syarikat bagi merampas aset yang diperoleh dengan wang yang didakwa dicuri daripada dana negara bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kuala Lumpur dan sebahagian besar kawasan selatan Semenanjung Malaysia juga diselubungi jerebu tebal akibat kebakaran di Sumatera, Indonesia.
Sementara itu, kebimbangan terus berleluasa berhubung potensi Zika merebak, kerana kes virus bawaan nyamuk itu meningkat kepada 82 di negara jiran, Singapura. Seorang wanita Malaysia berusia 47 tahun adalah orang pertama yang disahkan dijangkiti Zika di negara itu, di mana berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia bekerja setiap hari dengan berulang-alik dari negeri jiran Johor.
Pada akhir Jun, Malaysia mengalami serangan pengganas pertama yang didakwa dilakukan kumpulan pengganas Negara Islam apabila bom tangan dilemparkan di luar sebuah kelab malam di Kuala Lumpur, yang mencederakan beberapa orang yang sedang menonton perlawanan bola sepak di televisyen.
Bagi mengimbangi berita buruk itu, prestasi paling unggul yang ditampilkan Malaysia pada Sukan Olimpik di Rio bulan ini membawa kegembiraan kepada rakyat menerusi: empat pingat perak dan satu pingat gangsa.
Dalam ucapan Hari Kebangsaan yang disiarkan malam tadi, Najib menggesa rakyat Malaysia supaya berwaspada dengan "detik-detik perpecahan" yang boleh memusnahkan keamanan di negara ini.
"Merdeka [kemerdekaan] bermaksud berdiri di atas dua kaki sendiri, mengikut acuan kita sendiri. Merdeka itu ertinya bebas daripada campur tangan asing," katanya.
Persekutuan Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1957. Sarawak dan Sabah, kedua-duanya negara kepulauan Borneo, bersama-sama dengan Singapura, mendapat kemerdekaan daripada Britain dan menyertai Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada 1963. Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965 tetapi Sabah dan Sarawak kekal bersamanya – dan kadang kala merungut bahawa kuasa mereka semakin terhakis.