Komuniti Cina Asia Tenggara Raikan Tahun Lembu Walau Dibelenggui COVID-19
2021.02.11
Kuala Lumpur, Manila & Bangkok
Komuniti Cina di seluruh Asia Tenggara meraikan Tahun Lembu pada Jumaat, namun perayaan itu kurang menggembirakan bagi para pemilik perniagaan kerana penduduk di rantau itu kini dibelenggui pandemik global.
Masyarakat Cina merujuk sambutan tahun baru lunar itu sebagai Festival Musim Bunga yang akan berakhir pada 26 Februari. Ia menandakan bermulanya tahun baru dalam kalendar tradisional komuniti Cina.
Semasa sambutan ini, masyarakat Tionghua meraikannya dengan tarian singa dan naga bersama-sama dengan amalan tradisi lain termasuk memberi wang dalam ang pau merah - warna yang melambangkan tuah - semasa majlis makan malam keluarga.
Di ibu kota Filipina, keluarga Sicat sedang menyiapkan beberapa naga untuk menyambut tahun baru lunar itu di Binondo, sebuah daerah di Manila yang menempatkan Chinatown (pekan Cina) tertua di dunia - yang dibangunkan pada 1594.
"Tahun lalu, kami bernasib baik kerana dapat memperoleh pendapatan yang mencukupi semasa perayaan Tahun Baru Cina, cukup bagi kami untuk bertahan selama beberapa bulan semasa perintah berkurung," kata Claire Sicat, ibu yang berusia 68 tahun, kepada BeritaBenar.
Lapan ahli keluarga Sicat terlibat dalam perniagaan itu dan mempunyai peranan khusus dalam mengubah hasil seni itu menjadi kepala-kepala naga dan singa yang berwarna-warni.
Tahun ini, keluarga itu tidak begitu gembira untuk meraikannya.
"Apabila perintah berkurung COVID-19 bermula, kami hilang semuanya," kata ahli keluarga Sicat yang lain.
Di Thailand, pandemik itu menyebabkan para pegawai Bangkok mengumumkan tiada sambutan besar akan diadakan di Chinatown, yang terletak di ibu kota Thailand. Ini menyebabkan ramai peniaga terpaksa menutup kedai dengan keluarga mereka hanya merancang sambutan ala kadar sahaja.
"Sejak awal Tahun Baru lagi, kami merasa kurang baik dari segi perniagaan dan pekerjaan, oleh itu, kami datang untuk berdoa dan membuat kebaikan (bagi mendapatkan pahala dan memberi sumbangan). Sekurang-kurangnya, ia membuatkan kami merasa lebih lega,” kata Kunlanan Boonsoong kepada BeritaBenar. "Tahun Baru Cina ini, kami tidak mengharapkan banyak sangat, kami berharap semuanya baik dan kami juga berada dalam keadaan baik."