Perbincangan Damai Selatan Thai: Terhalang?
2017.09.06
Yala, Thailand

Pada Jun lalu, ketika menghampiri penghujung bulan puasa Ramadan, Ahmad Zamzamin Hashim, pengantara Malaysia bagi proses damai selatan Thailand, telah mempelawa Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk menyertai perbincangan itu.
Ia bukanlah kali pertama jemputan sedemikian dihulurkan kepada BRN, kumpulan pemberontak paling berkuasa yang beroperasi di selatan Thailand. Namun, kali ini, Zamzamin mempunyai alasan untuk menjadi optimis.
Yang dipertaruhkan adalah resolusi konflik bersenjata 13 tahun yang telah mengorbankan hampir 7,000 orang di wilayah selatan Thai iaitu Patani, Yala dan Narathiwat - kawasan yang merupakan sebahagian daripada kesultanan Melayu Islam sebelum diambil alih oleh Bangkok pada 1909.
Malaysia menjadi pemudah cara bagi rundingan di antara Bangkok dan MARA Patani, organisasi induk kumpulan pemberontak selatan Thailand.
Sebagai jawapan kepada jemputan Zamzamin, pegawai kanan majlis BRN iaitu Doonloh Wae-mano (alias Abdullah Wan Mat Noor) berkata, beliau dan ahlinya "perlu memikirkan tentang perkara itu."
Zamzamin juga mendapat jaminan daripada BRN bahawa ia tidak akan mensabotaj inisiatif zon keselamatan, iaitu gencatan senjata terhad yang dirancang di kawasan yang ditetapkan di tiga wilayah majoriti penduduk Islam Thailand, yang dikenali sebagai selatan Thailand.
Perkara itu dibincangkan pada mesyuarat di antara perunding MARA Patani dan kerajaan Thailand pada 8 hingga 10 Ogos di Kuala Lumpur, kata sumber.
Tetapi pada 16 Ogos lalu, kurang seminggu selepas tamatnya pertemuan itu, tujuh suspek militan muda mencuri beberapa trak pikap dan menahan empat orang tebusan dari sebuah kedai pengedar kereta terpakai di wilayah Songkhla, di utara kawasan Selatan itu.
Rancangan mereka - untuk menukar kenderaan itu menjadi bom kereta - gagal selepas empat orang tebusan itu cuba melarikan diri. Dua tebusan itu ditembak, seorang meninggal dunia di hospital, dan mangsa yang terselamat memberitahu mengenainya kepada pihak berkuasa. Seluruh wilayah itu kemudian diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Akhirnya, hanya dua daripada tujuh trak pikap yang dijadikan sebagai bom kereta, dan seorang suspek militan mati selepas saling berbalas tembakan dengan polis Thailand.
Ketua Tentera Jeneral Chalermchai Sitthisart berkata, tujuh ahli militan itu diarahkan oleh Wae-mano - lelaki, yang dipercayai oleh ramai pegawai Thailand, sebagai penghalang terbesar bagi BRN menyertai perbincangan damai itu.
Kejadian itu mengendurkan keyakinan yang dirasai selepas BRN bersetuju untuk tidak mensabotaj inisiatif zon keselamatan - dan menjadi satu peringatan bahawa tiada apa yang mudah di selatan Thailand.
Perbincangan berikutnya dijangkakan pada bulan ini, tetapi MARA Patani meminta lebih banyak masa diberikan untuk bersiap sedia bagi mesyuarat itu, yang dijadualkan pada 11 Sept, kata pegawai kerajaan Thailand.
'Seteru'
Bagi pihak mereka, sumber-sumber BRN berkata, rantaian perintah dalam pergerakan mereka adalah seperti cecair, yang bermaksud urusan itu boleh diperoleh pihak peringkat tertinggi tetapi ia mungkin tidak boleh dilaksanakan di lapangan seperti yang dikehendaki oleh pegawai Thailand atau Malaysia.
Lebih-lebih lagi, kata sumber itu, adanya perseteruan di antara BRN dan MARA Patani, dan ia mengambil masa untuk diatasi.
"Pohsu Loh [Wae-mano] bersikap sopan dan diplomatik ketika beliau berkata BRN tidak akan menyerang daerah yang ditetapkan sebagai Zon Keselamatan. BRN mempunyai sel-sel di setiap tambon [daerah kecil] dan ia masih mahu melihat bagaimana kesepakatan atau persefahaman dengan Ahmad Zamzamin akan dilaksanakan," kata seorang sumber BRN, yang memberitahu bahawa unitnya tidak dimaklumkan mengenai urusan berkenaan.
Pegawai-pegawai BRN memberitahu bahawa desakan Bangkok supaya perbincangan itu dilakukan sejajar dengan perlembagaan negara, yang jelas menyatakan bahawa negara itu tidak boleh dipisahkan, sering menjadi penghalang.
Mereka menyatakan bahawa secara hipotetiknya mereka bersedia berbincang dengan kerajaan jika ketetapan itu tidak dibangkitkan, dan sebaliknya, mereka juga tidak akan menyebut tentang isu kemerdekaan.
Pemimpin-pemimpin BRN juga menyatakan bahawa mereka hanya sedia tampil jika perunding berkenaan dilatih dengan sewajarnya, dan perbincangan itu dikendalikan dengan adanya campur tangan masyarakat antarabangsa - sejajar dengan proses damai di selatan Filipina dan di Aceh, Indonesia.
Seorang pegawai risikan tentera Thailand yang memantau konflik selatan negara itu berkata, pengibatan BRN dalam perbincangan itu membuka peluang untuk berbincang dengan rakyat yang mempunyai kuasa perintah dan kawal terhadap militan.
Pada Jun lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Udomdej Sitabutr membayangkan bahawa MARA Patani mungkin bukan rakan dialog yang tepat bagi perbincangan itu. Dalam erti kata lain, beliau tidak percaya yang MARA Patani mempunyai kuasa perintah dan kawal terhadap pemberontak yang terlibat dalam pertempuran.
Tetapi, kenyataan Udomdej dikatakan telah memberi kesan kepada Jen Aksara Kerdpol, perunding utama Thailand, dalam cara yang salah.
Aksara dan ramai pemimpin kerajaan Thailand termasuk Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha percaya jika BRN "sebenar" mahu menyertai perbincangan itu, mereka perlulah berada di bawah MARA Patani, dan bukannya memulakan suatu langkah baru.
Balas Balik
Walaupun tentera Thailand membenarkan peserta antarabangsa menghadirinya, namun tidak ada petanda yang menunjukkkan bahawa ia bersedia memberi izin untuk menyentuh tentang sejarah punca dan ketidakpercayaan yang mendalam di antara kerajaan Thailand dan orang Melayu di selatan Thailand.
BRN juga memberitahu bahawa keengganan kerajaan Thailand memberikan imuniti undang-undang kepada dua wakilnya dalam MARA Patani, menunjukkan Bangkok tidak bersedia melakukan sebarang persetujuan.
Sukree Hari dan Ahmad Chuwol, yang melarikan diri dari Thailand pada 2007 selepas membayar ikat jamin di bawah pemerintahan ketika itu, muncul semula sebagai ahli MARA Patani apabila panel itu dilancarkan pada Ogos 2015.
Kedua-dua lelaki itu meminta imuniti yang membolehkan mereka kembali ke Thailand dan memantau projek perintis zon keselamatan itu, kata satu sumber. Tetapi Kementerian Keadilan Thailand dengan tegas menentangnya kerana bimbang ia akan mewujudkan duluan yang tidak diingini.
Malah, tuduhan pembunuhan oleh kedua-dua pihak terus mengendurkan suasana di peringkat politik selain membawa kepada tindakan membalas balik pembunuhan berkenaan.
Don Pathan adalah penganalisis dan perunding keselamatan yang berpejabat berasaskan Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat pengarang dan bukannya BeritaBenar.