Demi Muhibah, Pemberontak BRN Hentikan Keganasan di Selatan Thailand
2018.06.05
Yala, Thailand

Pada Jumaat lalu, Panglima Angkatan Bersenjata Thailand Jeneral Chalermchai Sitthisart melawat pusat pemeriksaan keselamatan di Cho I-rong, sebuah daerah di wilayah Narathiwat yang dipilih sebagai kawasan berpotensi bagi ‘Zon Keselamatan’ atau pelaksanaan gencatan senjata terhad di wilayah yang sering dilanda pemberontakan, yang dikenali sebagai Selatan Thailand.
Beliau dilaporkan mengunjungi kawasan itu bagi memberi sokongan moral kepada anggota-anggota tentera yang ditugaskan di lapangan semasa pelaksanaan Zon Keselamatan, iaitu projek perintis yang belum dilaksanakan tetapi mendapat persetujuan Panel Dialog yang merangkumi para perunding kerajaan Thailand dan MARA Patani, iaitu organisasi induk bagi pertubuhan pemisah Melayu Patani.
Pemberontakan pemisah bersenjata di kawasan pedalaman Selatan Thailand mula berlaku pada 1960-an dan ia dapat dikendurkan pada akhir 1980-an. Namun, konflik itu muncul semula pada pertengahan 2001 tetapi tidak diiktiraf secara rasminya sehinggalah pada 4 Jan 2004 apabila sejumlah besar pemberontak menyerang sebuah batalion tentera di Narathiwat dan melarikan lebih 300 senjata.
Satu-satunya pertubuhan yang menguasai lokasi kejadian di lapangan pada masa kini ialah Barisan Revolusi Nasional atau BRN, yang mengawal hampir semua pemberontak di Selatan Thailand.
BRN enggan memperakukan perbincangan berterusan yang dijalankan di antara kerajaan Thailand dan MARA Patani. Ahli-ahli mereka berkata, sebarang perundingan yang dijalankan perlulah disertai ahli komuniti antarabangsa yang berperanan sebagai perantara dan ia haruslah dijalankan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
Tetapi, sebagai isyarat muhibah kepada pihak berkepentingan dalam inisiatif damai itu, BRN berkata, ia sedia mematuhi gencatan senjata di daerah Cho I-rong. Ini dibuktikannya dengan memastikan tiada tindakan keganasan dilakukan para pemberontaknya sejak bebrapa minggu lalu.
"Kami telah diberitahu supaya tidak melakukan sebarang serangan di daerah Cho I-rong," kata sumber BRN di lapangan.
Setakat ini, ahli-ahli BRN menunaikan janji mereka. Tetapi, ini tidak bermakna mereka perlu menamatkan kempen serangan ganas di bahagian lain wilayah penuh sejarah itu. Terdapat hampir 40 daerah di Selatan Thailand di mana hampir 7,000 orang telah terbunuh akibat keganasan yang berkaitan dengan pemberontakan sejak Januari 2004.
Masih komited dengan proses damai
Lawatan Chalermchai ke Cho I-rong merupakan suatu simbolik. Menurut seorang pegawai kanan tentera yang memantau konflik dan perbincangan damai itu, ia membawa mesej kepada MARA Patani bahawa kerajaan Thailand masih komited dalam inisiatif damai itu walaupun tidak menerima perakuan dan penyertaan BRN.
Bangkok amat memahami dan menyedari sepenuhnya bahawa MARA Patani kecewa dengan tindakan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha yang melulu mengumumkan pemilihan Cho I-rong sebagai daerah yang diletakkan di bawah Zon Keselamatan.
Para pemberontak berharap pengumuman itu dibuat secara rasmi bagi menggambarkan tentang pentingnya pelaksanaan kawasan itu yang dianggap mereka sebagai suatu bentuk pencapaian yang besar.
Adalah tidak jelas sama ada Prayuth melanggar protokol itu dengan sengaja atau beliau berbuat demikian tanpa memikirkan kesannya. Walau apa pun, Bangkok tidak pernah menyukai idea memberi MARA Patani atau entiti pemisah lain dari Selatan Thailand, yang majoriti penduduknya berbahasa Melayu, apa-apa bentuk legitimasi atau pengiktirafan jika ia tidak perlu menerimanya. Tetapi, hakikatnya kerajaan telah menghantar satu pasukan perunding untuk bertemu dengan mereka dan ini merupakan suatu bentuk legitimasi yang mereka mahu dapatkan.
Bagi BRN pula, adanya Zon Keselamatan atau tidak, keadaan berjalan seperti biasa. Sehari sebelum bermulanya bulan puasa Ramadan, para militan pemisah menyerang empat pos tentera dan satu balai polis di daerah Krong Pinang dan Yaha di wilayah Yala.
Kurang seminggu kemudian, pada 20 Mei lalu, ahli militan BRN melancarkan serentak serangan bom di lebih daripada 20 mesin ATM di wilayah itu. Bom berkenaan kecil dan serpihan bom tidak digunakan. Ia nyata tidak cukup kuat untuk meletupkan penutup keluli ATM itu. Namun, wang tunai atau mangsa nampaknya bukanlah matlamat mereka.
Semua pengeboman itu dilakukan di kawasan pusat bandar dan, dalam kebanyakan kes, ia berlaku hanya beberapa meter dari pusat pemeriksaan keselamatan kerajaan. Letupan itu diledakkan serentak, kira-kira setengah jam selepas matahari terbenam ketika umat Islam berbuka puasa dengan jalan-jalan kebanyakannya lengang.
Banyak pemerhati pantas membuat kesimpulan bahawa serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap perselisihan antara guru dan sekumpulan ibu bapa Muslim di Sekolah (Menengah) Anuban Pattani berhubung larangan memakai tudung bagi pelajar perempuan Muslim.
Tetapi sumber pemberontak berkata, serangan itu merupakan peringatan kepada kerajaan Thailand bahawa mereka tidak lupa tentang pembunuhan beramai-ramai Tak Bai pada 2004 apabila seramai 78 orang penunjuk perasaan tanpa senjata Muslim Melayu meninggal dunia akibat lemas setelah mereka dihempap antara satu sama lain di belakang trak pengangkut tentera . Tujuh lagi ditembak mati di kawasan tunjuk perasaan itu.
Kejadian itu berlaku pada Oktober tahun itu dan ia adalah semasa Ramadan, iaitu bulan suci Islam mengikuti kalendar lunar. Nyata sekali, insiden itu mencetuskan radikalisasi generasi baru militan pemisah dan menjadi sebahagian daripada naratif pemberontak.
Apa lagi buat Zamzamin?
Sementara itu di Malaysia, Thailand dan di mana-mana jua menyaksikan pihak berkepentingan dalam inisiatif damai itu menanti penuh cemas untuk melihat langkah Kuala Lumpur yang seterusnya.
Ramai yang percaya bahawa Ahmad Zamzamin Hashim, yang menjadi fasilitator proses damai semasa, akan digantikan berikutan perubahan kerajaan di Malaysia pada bulan lalu. Zamzamin dilihat sebagai amat rapat dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Sumber-sumber BRN menyatakan bahawa ia tidak akan menjadi masalah jika Zamzamin kekal atau diketepikan kerana asas inisiatif damai itu tidak pernah berlaku pun. Selain hakikatnya, pemain yang paling penting tidak berada di meja perbincangan, ini menunjukkan Thailand sebenarnya tidak pernah berminat untuk menangani punca konflik tersebut.
Sumber-sumber BRN menyatakan bahawa pemimpin mereka tidak akan mempertimbangkan langsung perbincangan dengan kerajaan Thailand selagi perunding dan sayap politik mereka tidak dilatih dan dipersiapkan dengan betul.
Ada kalangan polis Thailand percaya bahawa langkah "mengantarabangsakan" proses itu harus dipertimbangkan jika ia mahu BRN menyertainya. Tetapi, sekiranya Jeneral Aksara Kerdpol tetap menjadi ketua perunding untuk Thailand, dan Zamzamin masih menjadi fasilitator pilihan, ramai yang yakin bahawa BRN akan terus menentang daripada melibatkan diri dalam perbincangan damai itu.
Don Pathan ialah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.