Thailand Persiakan Peluang Untuk Perbaiki Keadaan Di Wilayah Selatan
2019.10.08

Keganasan di wilayah Selatan Thailand yang sentiasa bergolak kini berada pada tahap yang paling rendah. Sebelum ini, Thailand terpaksa sentiasa berdepan dengan keganasan dalam usahanya mendapatkan sokongan popular untuk kerajaan, serta kesediaan kalangan penduduk Melayu Pattani untuk diasimilasikan.
Namun, kerajaan pro-tentera negara itu dilihat telah mempersia-siakan peluang yang ada untuk memperbaiki keadaan di wilayah itu dan mendapatkan sokongan pemberontak tempatan, berikutan pelaksanaan beberapa dasar yang memaksa selain berlakunya salah guna kuasa.
Berikutan kematian seorang suspek pemberontak, Abdullah Esomuso, akibat asfiksia semasa berada dalam tahanan tentera, saya menjangka keganasan akan meningkat. Dari segi sejarah, insiden sedemikian pasti bertambah kerana keganasan di Selatan Thailand sering kali berlaku akibat serangan balas.
Tetapi, kadar keganasan didapati menurun dengan mendadak. Sejak kematian Abdullah, tiga orang dilaporkan terbunuh manakala seorang cedera dalam lima insiden keganasan. Sama ada kerana hujan lebat, jerebu yang melemaskan, peningkatan kehadiran anggota pasukan keselamatan atau berikutan pengurangan dalam senarai kedudukan kepimpinan pemberontak, BRN nampaknya tidak dapat meningkatkan tindakan keganasan secara berterusan.
Dan keadaan itu sepatutnya menjadi peluang besar yang harus direbut oleh kerajaan Thailand.
Namun, daripada memanfaatkan penurunan kadar keganasan untuk menangani rungutan penduduk tempatan, kerajaan Thailand sebaliknya mencari jalan untuk memperkuatkan lagi naratif popular bahawa ia adalah anti-Islam dan boleh memerintah dengan bebas.
Berikutan kematian Abdullah pada akhir Ogos lalu, pihak tentera berjanji untuk menjalankan siasatan menyeluruh. Tetapi, sehingga hari ini, hanya siasatan awal yang telah diadakan; siasatan rasmi pula sudah dihentikan. Dan, nampaknya tiada siapa pun yang akan dibawa ke muka pengadilan untuk didakwa bagi kes itu.
Pihak tentera telah menyiarkan gambar-gambar Abdullah yang kelihatan sangat sihat semasa disoal siasat oleh pegawai tentera yang menahannya. Beberapa jam kemudian, dia ditemui mati akibat asfiksia. Pihak tentera berkata mereka tahu setiap orang yang bertemu dengan Abdullah, walaupun kamera CCTV didapati rosak.
Tetapi, kerajaan seolah-olah menantikan kekecohan tentang kematian Abdullah segera reda supaya mereka tidak perlu menghukum sesiapa pun. Ini hanya meningkatkan lagi rasa tidak puas hati yang sudah lama terbuku dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap tindakan sesuka hati kerajaan Thailand.
Biro Cawangan Khas Polis Diraja Thailand kemudian mengarahkan pihak universiti untuk memberikan maklumat terperinci mengenai aktiviti dan gabungan semua pelajar Islam dari Selatan Thailand yang belajar di Bangkok. Arahan itu mendapat bantahan ramai, dan walaupun kerajaan menarik balik tindakannya itu pada 3 Oktober namun, ia telah meninggalkan kesan buruk.
Pada 4 Oktober, seorang hakim di mahkamah rendah di Yala, Kanakorn Pianchana, telah menembak dadanya sendiri semasa berada dalam ruang mahkamah setelah memberitahu tentang seorang hakim penyelia yang mengganggu dan cuba memberi tekanan kepadanya supaya merubah keputusannya untuk membebaskan lima suspek pemberontak. Dalam video yang dimuat naik beliau dalam Facebook sebelum memasuki ruang mahkamah, hakim itu mengadu tentang campur tangan politik secara berterusan daripada pihak atasan dalam pensabitan kesemua suspek dan, pada masa yang sama, diberi tekanan supaya membebaskan sekumpulan anggota pasukan keselamatan yang menghadapi pertuduhan melakukan salah laku dan penyalahgunaan kuasa.
Semasa menyatakan bahawa beliau tidak boleh menerima keterangan yang diperoleh daripada sebarang bentuk penyeksaan, Pianchana secara terbuka mengakui bahawa berlakunya penyeksaan terhadap suspek pemberontak.
Apa yang menyedihkan ialah walaupun adanya pempolitikan dalam badan kehakiman di Thailand secara keseluruhannya, mahkamah rendah di wilayah Selatan Thailand sentiasa menunjukkan kebebasan dan integriti kehakiman yang tinggi. Mereka menuntut piawaian bukti yang lebih tinggi, menolak pengakuan yang dibuat semasa berada di bawah tekanan atau pun penyeksaan, dan bertindak sebagai pemeriksa penting bagi sebarang penyalahgunaan kuasa ketenteraan. Pianchana memberitahu bahawa sabitan yang salah adalah tidak produktif bagi pihak kerajaan dalam usahanya untuk meningkatkan tahap keselamatan di Selatan Thailand.
Pihak tentera telah menafikan sebarang perbuatan mengganggu atau mengenakan tekanan politik kepada hakim, apalagi menyeksa suspek. Dan, mereka secara umum mengaitkan cubaan bunuh diri hakim itu dengan tekanan.
Dalam kes terbaru itu, Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri bagi Wilayah 4 (ISOC-4) memfailkan pertuduhan berkaitan perbuatan menghasut terhadap 12 ahli politik pembangkang dan ahli akademik yang mengadakan seminar di Pattani pada 28 September lalu untuk membincangkan usaha alternatif bagi menamatkan pemberontakan, yang telah berlaku sejak hampir 16 tahun lalu. Bahasa yang dikatakan menyinggung perasaan itu adalah berkaitan dengan Seksyen 1 Perlembagaan yang digubal oleh kerajaan tentera yang menetapkan bahawa Thailand adalah sebuah negara kesatuan. Malah, perbincangan mengenai autonomi juga dianggap sebagai perbuatan menghasut.
Para pemimpin ISOC-4 menafikan keputusan mereka adalah bermotifkan politik atau ia dilakukan atas perintah kerajaan. Ini sebenarnya nampak menggelikan hati kerana pertuduhan menghasut itu difailkan terhadap pemimpin Parti Maju Masa Depan, Parti Prachachart, Parti Pheu Thai, Parti Carta Pheu dan Parti Kuasa Rakyat Thailand.
Pemimpin berkarisma Parti Maju Masa Depan, Thanathorn Juangroongruangkit, memberikan cabaran tunggal terbesar kepada politik yang dikuasai pihak tentera. Berikutan itu, beliau telah menjadi sasaran pelbagai undang-undang untuk menutup mulutnya atau mengetepikan kelayakannya untuk berpolitik. Selain itu, Parti Maju Masa Depan telah mencetuskan kemarahan pihak tentera dengan mengetuai penyiasatan parlimen terhadap kes kematian Esomuso serta keputusan kerajaan untuk menyiasat para pelajar Muslim.
Parti Maju Masa Depan juga melakukan jauh lebih banyak berbanding mana-mana pihak lain dalam menangani rungutan dan keluh kesaha masyarakat Melayu. Oleh itu, pertuduhan menghasut yang difailkan terhadap Thanathorn telah menjejaskan potensi penyelesaian politik.
Walaupun, kerajaan baru-baru ini melantik ketua perunding baru Thailand untuk berbincang dengan delegasi pemberontak MARA Patani, tidak ada proses damai sebenar yang dijalankan. Matlamat pihak tentera adalah untuk mengurangkan keganasan pada tahap serendah yang mungkin supaya mereka boleh mengaitkannya dengan jenayah dan oleh itu, tidak perlu membuat sebarang perjanjian politik atau menangani rungutan masyarakat Melayu. Namun, tindakan kerajaan dalam beberapa kes berlainan nyata telah menjejaskan usaha trsebut.
Daripada menggunakan penurunan kadar keganasan untuk mendekati masyarakat Melayu dan mencari penyelesaian politik yang dapat bertahan lebih lama, kerajaan sebaliknya meneruskan dasar-dasar yang hanya melebarkan lagi jurang sedia ada.
Zachary Abuza adalah seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan merupakan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.” Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangannya sendiri dan bukannya pendapat atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.