Thailand Namakan Tokoh Kontroversi Dalam Rundingan Damai Selatan
2018.10.17
Yala, Thailand

Thailand memutuskan untuk mengganti ketua perundingnya dalam perbincangan damai selatan dengan seorang lagi jeneral yang telah bersara, bekas komander Kawasan Tentera Keempat, Udomchai Thammasarorat.
Secara luarannya, Bangkok nampaknya membuat perubahan itu susulan langkah yang diambil Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beberapa minggu lalu, Perdana Menteri Mahathir Mohammed menggantikan Ahmad Zamzamin Hashim, fasilitator yang dilantik dalam rundingan damai yang diusahakan Malaysia, dengan Abdul Rahim Mohd Noor. Sebagai seorang bekas ketua polis negara, kerjaya Abdul Rahim menunjukkan beliau berpengalaman luas dalam memerangi pemberontakan komunis di sepanjang sempadan Thailand pada 1980-an.
Tetapi, sumber-sumber rasmi Thailand berkata, Bangkok mempunyai banyak sebab untuk melakukan perubahan itu. Menurut mereka, pemimpin kerajaan tentera tidak berpuas hati dengan prestasi Aksara Kerdpol sepanjang tiga tahun menjadi perunding utama Thailand, kerana beliau tidak mampu menghasilkan tarikan bermakna dalam rundingan itu, yang bertujuan mengakhiri pemberontakan puak pemisah di Selatan Thailand.
Aksara dilihat sebagai gagal membawa Barisan Revolusi Nasional (BRN) - satu kumpulan pemberontak yang menguasai hampir semua pejuang di medan - untuk menyokong rundingan damai Thailand dengan MARA Patani, pertubuhan induk yang mewakili pelbagai gerakan pemisah Melayu Patani di meja rundingan.
Mereka yang menyertai panel MARA itu tidak menerima sokongan majlis pemerintah BRN, demikian saya diberitahu oleh sumber-sumber dalam kumpulan pemberontak.
Minggu ini, jurucakap MARA memberitahu BeritaBenar bahawa panel itu telah diperluaskan dengan penyertaan tiga pertubuhan baru, tetapi akan menolak semua perbincangan dengan Thailand sehinggalah pembentukan kerajaan Thailand baru yang dipilih secara demokratik. Pilihan raya umum negara ini dijangka diadakan pada Mei tahun depan.
Selain tidak mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan, satu-satunya yang boleh mengaitkan Aksara dengan perbincangan damai itu adalah Zon Keselamatan, sebuah projek perintis untuk menetapkan kawasan gencatan senjata, dengan para perunding mengharapkannya menjadi model tadbir urus baik bersama antara pihak kerajaan dan pemberontak.
Selain itu, perbalahan yang berpanjangan antara Aksara dan komander Tentera Keempat ketika itu, Lt. Jeneral Piyawat Nakwanich, juga tidak membantu usahanya atau perjuangan Thailand. Kedua-duanya bertelagah mengenai kawasan dan mandat mereka. Ia menjadi begitu buruk sehingga Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha terpaksa campur tangan.
Walaupun para pemimpin Thailand mempunyai banyak sebab untuk mengeluarkan Jeneral Aksara daripada rundingan itu, Jeneral Udomchai pula berdepan dengan banyak perkara - sekurang-kurangnya dari sudut pandangan pemikiran pihak tentera Thailand.
Terkenal di masa lalu
Sebagai bekas ketua Kawasan Tentera Keempat, Udomchai arif tentang memburu dan membunuh pemberontak. Ia tidak penting bagi mereka yang mencalonkannya sebagai perunding utama dalam melaksanakan proses damai yang sensitif itu, selain memerlukan pemahaman yang baik.
Mungkin, sebab paling utama Udomchai memperoleh tugas baru itu, kata sumber rasmi Thailand, adalah kerana beliau juga berperanan sebagai "penasihat" bagi Kawasan Tentera Keempat. Dengan peranan itu, Udomchai ditugaskan untuk membentuk dan memperkukuh kawasan di pedalaman selatan bagi parti Phalang Pracharat yang menyokong pihak tentera. Parti itu berjanji untuk menyokong Prayuth bagi membolehkannya kembali menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang.
Sebagai ketua perunding, beliau mungkin tidak mempunyai kaitan langsung dalam memperkukuhkan kawasan bagi pilihan raya akan datang. Tetapi, sekurang-kurangnya ia akan menjadi satu lagi kelebihan bagi Udomchai dan sebab yang sahih baginya untuk berada di pedalaman Selatan selepas beliau memulakan tugasnya kelak.
Selain itu, tiada siapa pun yang menjangka Udomchai, seperti komander-komander lain di Kawasan Tentera Keempat, untuk melakukan sebarang perubahan dasar yang bermakna. Langkah-langkah sedemikian hanya diputuskan di Bangkok.
Orang ramai juga perlu sedar bahawa masa lampau Udomchai di wilayah Patani adalah penuh dengan kontroversi. Semasa beliau menjadi komander unit pasukan petugas di wilayah itu, Udomchai memainkan peranan penting dalam melaksanakan inisiatif kontroversi yang menyaksikan kira-kira 400 orang pemuda Melayu Patani dipaksa menghadiri ‘kem latihan kerja’ yang dikendalikan pihak tentera di luar pedalaman Selatan. Ini, pada dasarnya, merupakan sesi ‘pendidikan semula’.
Pada Oktober 2007, sebuah mahkamah Thailand memutuskan bahawa kem-kem tersebut telah menahan orang ramai tanpa kehendak mereka. Tentera Keempat bertindak balas dengan mengisytiharkan mereka sebagai "persona non-grata" (orang yang tidak diterima) di kampung halaman mereka sendiri di pedalaman Selatan.
Selain itu, aktivis tempatan masih mengingati kematian Sulaiman Naesa, suspek pemberontak muda yang dilaporkan telah diseksa sehingga mati di Ingkhayutthabariharn, pangkalan tentera utama di wilayah tersebut di mana Udomchai adalah komander wilayahnya pada masa itu.
Kes Sulaiman dan laporan penyeksaan lain telah menarik perhatian beberapa wartawan antarabangsa untuk mengunjungi wilayah itu. Tetapi, Udomchai tetap berkeras dengan menafikan anggota-anggota tenteranya menyeksa suspek.
Satu lagi kes berlaku pada Januari 2012 apabila tentera Thailand menembak mati empat orang, termasuk seorang lelaki tua dan seorang remaja, serta mencederakan lima orang lain yang menaiki sebuah trak yang sarat semasa menuju ke majlis pengebumian saudara mereka di daerah Nong Chik dalam wilayah Patani.
Analisis ini mendapati perubahan dalam pasukan rundingan Thailand tidak dilakukan demi keamanan di Selatan Thailand, sebaliknya adalah untuk menyokong keperluan politik pihak junta yang berkuasa di Bangkok.
Don Pathan ialah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.