Kes COVID-19 Kian Reda, Rundingan Damai Selatan Thailand Mungkin Disambung

Mariyam Ahmad & Nontarat Phaicharoen
2020.06.19
Pattani & Bangkok, Thailand
200619-TH-peace-talk-1000.jpg Polis memeriksa mayat Masaidee Wae-sulong, 31, suspek pemberontak yang ditembak mati setelah dia didakwa melepaskan tembakan ke arah seorang anggota tentera di pusat pemeriksaan di bandar Patani, Selatan Thailand, 17 Jun 2020.
[BeritaBenar]

Ketua delegasi Thailand dalam rundingan damai dengan pemberontak pemisah selatan memberitahu BeritaBenar pada Jumaat bahawa beliau berharap dapat menyambung rundingan itu, yang diusahakan Malaysia, pada Julai atau Ogos depan, jika pandemik koronavirus semakin reda di negara-negara jirannya.

Rundingan secara langsung antara kerajaan Thailand dan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) buat pertama kalinya diadakan di Kuala Lumpur pada Januari. Mereka mengadakan pertemuan kedua di ibu negara Malaysia itu pada awal Mac, sejurus sebelum wabak virus itu menjejaskan perbincangan dan menyebabkan perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19 dilaksanakan di kedua-dua negara berkenaan.

"Mungkin ada peluang untuk bertemu semula selepas COVID semakin reda. Saya merancang mengadakan pertemuan pada Julai atau Ogos depan. Sekiranya keadaan semakin reda, kemungkinan ada pertemuan baru," kata Jeneral Wanlop Rugsanaoh, yang pada tahun lalu mengambil alih peranan sebagai ketua perunding Thailand dalam usaha membincangkan usaha untuk menamatkan pemberontakan yang berpanjangan sejak puluhan tahun lalu di wilayah sempadan Selatan Thailand.

“Semasa COVID, kami tidak berunding pun. Tidak sesuai untuk melakukan sebarang perjalanan,” katanya kepada BeritaBenar dalam temu bual ringkas melalui telefon pada Jumaat.

Sejak kebelakangan ini, jangkitan COVID-19 di negara-negara berkenaan semakin berkurangan. Pada Jumaat, Malaysia dan Thailand masing-masing mencatatkan 8,535 kes dan 3,146 kes serta kurang daripada 200 kematian akibat penyakit tersebut. Sebilangan besar mereka yang dijangkiti virus itu di kedua-dua negara berkenaan telah pun pulih, menurut statistik pihak berkuasa kesihatan di Malaysia dan Thailand.

Sejak mengambil alih jawatan ketua perunding Thailand, Wanlop, yang bekerjasama dengan fasilitator proses damai Malaysia Abdul Rahim Noor, telah memujuk wakil sayap ketenteraan BRN - kumpulan pemberontak terbesar di Selatan Thailand - supaya mengadakan rundingan langsung dengan Bangkok.

Sejak beberapa tahun hinggalah Januari lalu, Malaysia mempermudahkan usaha perbincangan antara pihak Thailand dan MARA Patani, sebuah panel yang mewakili BRN serta kumpulan dan puak pemberontak selatan yang lain. Tetapi, perbincangan itu belum menghasilkan sebarang kejayaan dengan sayap ketenteraan BRN, yang menurut penganalisis, mengawal sebahagian besar pejuang pemberontak di lapangan, telah menjauhkan diri daripada rundingan tersebut.

Pada awal Mac, tidak lama selepas kerajaan baru berkuasa di Malaysia, Wanlop dan pasukannya bertemu buat kali kedua dengan delegasi BRN yang diketuai oleh Anas Abdulrahman (alias Hipni Mareh).

Pada ketika itu, Wanlop berkata bahawa fasa baru rundingan damai langsung dengan BRN akan mengambil masa dan memerlukan sokongan daripada "semua sektor."

Itulah pertemuan terakhir kedua-dua pihak.

"Rundingan damai antara kerajaan Thailand dan BRN, dengan Malaysia sebagai fasilitator, akan berlanjutan sehingga kesepakatan dapat dicapai untuk mewujudkan keamanan sepenuhnya di Selatan Thailand," kata Abdul Rahim kepada BeritaBenar melalui pesanan teks pada Jumaat, selepas ditanya sama ada rundingan itu akan disambung pada bulan depan atau Ogos seperti yang dinyatakan Wanlop.

Kurangnya aktiviti BRN adalah ‘tanda positif’

Kira-kira sebulan selepas perwakilan Thailand dan BRN bertemu, dan ketika pandemik itu semakin menular di kedua-dua negara berkenaan, kumpulan pemberontak mengumumkan gencatan senjata unilateral. BRN memberitahu bahawa pihaknya menangguhkan "semua kegiatan" atas dasar kemanusiaan di seluruh wilayah Selatan Thailand bagi membolehkan petugas dan agensi kesihatan  membantu melindungi penduduk daripada koronavirus.

BRN, bagaimanapun, menetapkan syarat: Ia berhak meneruskan kegiatannya jika kumpulannya diserang.

Keganasan terhenti di wilayah itu hanya sebulan selepas pemberontak mengisytiharkan gencatan senjata. Ia kembali aktif pada akhir April apabila tentera Thailand membunuh tiga orang yang disyaki pemberontak dalam satu serangan di wilayah Patani, dengan pegawai Thailand menuduh mereka merancang melakukan serangan pada Ramadan.

Jurucakap BRN Abdul Karim Khalid kemudian memuat naik video di YouTube, di mana beliau menyalahkan kerajaan Thailand kerana mengambil kesempatan daripada pandemik itu untuk melakukan serangan maut tersebut.

Beberapa hari kemudian, dua anggota tentera yang bertugas di pusat pemeriksaan COVID telah ditembak mati di Nong Chik, sebuah daerah di Patani. Pegawai percaya ia tindakan membalas dendam  BRN.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh akibat tembakan atau serangan di pinggir jalan di Selatan Thaland sejak gencatan senjata BRN gagal dilaksanakan pada akhir April, menurut laporan polis yang dikumpul oleh BeritaBenar.

Kejadian terbaru berlaku pada Rabu. Seorang lelaki bersenjata, yang mempunyai rekod jenayah yang berkaitan dengan kegiatan pemberontak, menunggang motosikal ke pusat pemeriksaan di bandar Patani dan menembak seorang anggota tentera di pipi sebelum dia pula mati ditembak, menurut pegawai.

Namun, seperti yang diperjelaskan oleh Wanlop, dalam dua bulan lalu BRN kurang melakukan serangan.

"Berikutan gencatan senjata BRN, kami tidak dapat mengesahkan perkara ini dengan jelas. Tetapi, keadaan menjadi lebih baik kerana pelbagai sebab,” katanya. "Kurangnya kegiatan BRN adalah tanda positif."

"Saya rasa penurunan kes keganasan adalah kerana banyak faktor - penularan COVID dan [perkara] lain," kata Wanlop.

Dolneeya Molo, seorang penduduk Yala iaitu wilayah lain di kawasan yang dilanda pemberontakan itu, melahirkan penghargaan atas usaha mengadakan rundingan bagi menyelesaikan konflik yang berlanjutan itu.

"Saya pasti gembira jika mereka dapat membawa keamanan ke Selatan Thailand dengan secepat mungkin, sekurang-kurangnya seperti tiga bulan lalu," kata Dolneeya kepada BeritaBenar. "Saya berharap kerajaan dan BRN serta semua pihak lain ikhlas dalam mencapai matlamat ini demi manfaat penduduk."

Lebih daripada 7,000 orang terkorban dalam keganasan di wilayah dan daerah sempadan Selatan Thailand yang penduduknya beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu, sejak pemberontakan pemisah kembali tercetus pada 2004.

Noah Lee di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.