Warga Bangladesh Dihantar Pulang
2015.06.18

Kumpulan pertama rakyat Bangladesh, seramai 61 daripada 716 orang mangsa pemerdagangan manusia yang tiba dengan bot bersama pelarian Rohingya di Langkawi bulan lepas, telah dihantar pulang ke negara mereka pada Khamis.
Penolong Pengarah Imigresen Kedah Mohd Shahrir Khalil berkata, dua buah bas yang membawa kumpulan itu bertolak dari Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah pada kira-kira pukul 3.30 pagi.
Katanya, kumpulan pertama itu, merupakan sebahagian daripada pendatang asing yang ditahan dari sebuah bot di perairan Pulau Langkawi pada 11 Mei lepas.
Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat petang Khamis.
Beliau berkata, penghantaran pulang kumpulan itu juga telah dimaklumkan kepada Jabatan Imigresen KLIA dan 61 orang lelaki itu akan menaiki penerbangan terus ke ibunegara Bangladesh, Dhaka, sebaik saja sampai di lapangan terbang berkenaan.
"Jabatan Imigresen juga sedang dalam proses meghantar pulang kumpulan kedua tetapi masih menunggu kerja-kerja untuk menguruskan dokumen pasport mereka selesai,” katanya.
“Proses penghantaran pulang kumpulan pertama pada hari ini berjalan lancar hasil kerjasama Kedutaan Bangladesh di Malaysia," tambah beliau.
Pada Mei lepas, kira-kira 1,018 orang pendatang asing tanpa izin warga Islam Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh ditahan pihak berkuasa Malaysia selepas bot yang mereka naiki tersangkut di beting penahan ombak berhampiran pantai Pasir Berdengung, Pulau Langkawi.
Kesemua mereka yang ditahan itu adalah mangsa sindiket pemerdagangan manusia. Peningkatan bilangan kemasukan mangsa sindiket melalui jalan air itu berlaku apabila kerajaan Thailand mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan manusia, iaitu beberapa hari selepas penemuan mengerikan di mana puluhan kubur dan kem transit haram dijumpai di selatan Thailand.
Kesemua mangsa pemerdagangan manusia itu dipercayai masuk ke Malaysia secara haram untuk mencari pekerjaan akibat kehidupan sengsara di tanah air mereka.
Sejak ditahan, mereka ditempatkan di depoh tahanan imigresen Belantik di daerah Sik.
Hantar pulang sebelum Aidilfitri
Sementara itu, Konsul Bangladesh di Pulau Pinang, Shaik Ismail Allaudin berkata, penghantaran rakyat Bangladesh itu dibuat selepas proses dokumentasi berakhir dan identiti mereka dikenalpasti.
“Penghantaran itu juga dibuat kerana terdapat kekosongan dalam penerbangan ke Dhaka oleh syarikat penerbangan Bangladesh Airlines, selain menerima peruntukan daripada kerajaan Bangladesh,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Khamis.
“Kerajaan Malaysia turut membantu dari segi penghantaran rakyat Bangladesh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,
“Proses penghantaran kesemua rakyat Bangladesh yang ditahan di depoh tahanan imigresen itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan atau sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Kerajaan Bangladesh berharap kesemua pendatang itu dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman mereka di Bangladesh kerana telah berbulan-bulan berhadapan dengan kesukaran serta menjadi mangsa pemerdagangan manusia, ” tambah Shaik Ismail.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, Md Shahidul Islam yang menyaksikan penghantaran pulang kumpulan pertama warga negara itu di KLIA berkata, mereka yang berlepas pulang diberi pas menaiki pesawat dan dokumen sah oleh pegawai pejabat pesuruhjaya tinggi itu.
“Warga Bangladesh harus menggunakan saluran yang sah untuk datang bekerja di Malaysia," tegas beliau.
Dalam pada itu, seorang daripada kumpulan rakyat Bangladesh yang dihantar pulang Muhamad Shamsul Alam, 38, semasa ditemui sebelum berlepas ke KLIA berkata, beliau sangat gembira dan bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa bersama isteri and tiga orang anaknya selepas lebih empat bulan meninggalkan mereka.
Muhamad Shamsul berkata, dia gembira kerana dapat pulang ke kampung halamanya, walaupun sukar untuk mencari duit di negara sendiri berbanding di Malaysia.
"Sini senang mahu cari kerja berbanding negara saya, tetapi buat masa ini saya tidak mahu masuk ke Malaysia lagi. Sekiranya boleh, saya ingin masuk secara sah dengan menggunakan permit dan bukannya dengan menaiki bot," katanya.
Beliau yang ditahan di depoh tahanan imigresen lebih sebulan itu memberitahu pengalamannya yang terpaksa berada di atas bot selama tiga bulan sebelum dapat masuk semula ke Malaysia secara haram.
"Pada tahun 2004, saya pernah datang ke Malaysia dan bekerja sebagai pengangkut barang kontena di Klang sebelum ditahan dan dihantar pulang ke negara asal pada tahun 2010," katanya.
"Saya tiada permit untuk masuk ke sini secara sah jadi saya terpaksa membayar RM12,000 ($3,500) untuk masuk ke Malaysia. Saya masuk Malaysia kerana ingin mencari rezeki kerana di negara saya susah untuk cari makan," katanya yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
Adie Suri Zulkifli, Hata Wahari dan H. Aleeya menyumbang untuk laporan ini.