Dua Mangsa Terakhir Gempa Bumi Di Gunung Kinabalu Ditemui
2015.06.10

Polis Malaysia menamatkan operasi menyelamat mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu, selepas menemui cebisan mayat dua mangsa terakhir dari Singapura, oleh pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (Disaster Victim Identification-DVI) pada Rabu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jalaluddin Abdul Rahman, berkata operasi menyelamat yang bermula sejak 5 Jun lepas telah ditamatkan. Namun pusat operasi akan dibuka semula sekiranya berlaku gegaran susulan.
Katanya, mangsa gempa bumi setakat Rabu, berjumlah 18 orang, dan daripada jumlah tersebut - 10 orang, termasuk seorang pelajar warga Filipina, bersama rombongan sekolah rendah Tanjong Katong, berasal dari Singapura, enam dari Malaysia, seorang dari Jepun dan seorang lagi dari China.
Kesilapan kiraan jumlah mangsa
Terdapat kesilapan dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad lalu, yang menyebut seramai 19 orang maut dalam kejadian gempa bumi terkuat itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Masidi Manjun pada Isnin berkata, bilangan mangsa gempa bumi itu disemak semula kepada 18 orang, dengan 16 orang disahkan maut manakala dua orang lagi hilang.
Beliau berkata seorang ejen syarikat pengembaraan yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Mohd Khairuladzuan Abdul Khalid, 39 yang disenaraikan maut sebenarnya adalah antara kumpulan pendaki pertama yang tiba di kaki gunung, namun namanya tidak direkodkan.
Manakala nama Navdeep Singh Jayral a/l Raj Kumar, 13, pelajar dari Singapura disenaraikan sebagai maut dan hilang.
Proses DNA sebelum dihantar pulang
Jalaluddin berkata, cebisan mayat yang ditemui di Gunung Kinabalu itu telah ditandakan satu persatu dengan kerjasama DVI Malaysia dan Singapura.
"Polis mengesahkan ia (cebisan mayat) adalah milik mangsa yang hilang iaitu Navdeep Singh Jayrol a/l Raj Kumar, dan guru Mohamad Ghazi Mohammed, 35,” katanya.
"Cebisan mayat itu dihantar untuk proses kenai pasti dan contoh darah serta lemak daripada keluarga mangsa di Singapura telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu bagi Jabatan Kimia melakukan proses DNA sebelum dihantar pulang,” katanya pada Rabu.
"Seramai 14 daripada mayat itu sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada anggota keluarga masing-masing manakala dua mayat warga Jepun dan China belum dibedah siasat.
"Kedua-dua mayat itu akan dibedah siasat apabila keluarga mangsa tiba hari ini," katanya.
Pada Ahad lepas, mayat tujuh warga Singapura terdiri daripada lima pelajar, guru dan jurupandu diterbangkan dengan pesawat C-130 Tentera Udara Singapura ke republik itu.
Lega tetapi sedih
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata beliau "rasa lega tetapi sedih" mendapat tahu mayat pelajar dan guru warga Singapura yang dilaporkan hilang dalam gempa bumi di Sabah Jumaat lepas telah dikenal pasti pihak berkuasa Malaysia.
"Ingatan dan doa kami untuk keluarga mereka ketika menghadapi saat-saat yang penuh dugaan ini," tulis Lee di laman Facebooknya.
Lee juga mengulangi ucapan terima kasihnya kepada semua yang terlibat dalam usaha mencari mangsa yang merupakan anggota keluarga yang disayangi.
"Terima kasih juga kepada kerajaan Malaysia, pegawai-pegawai Sabah, malim gunung, dan ramai lagi rakyat Sabah atas usaha luar biasa mereka yang begitu dihargai dalam membantu mangsa-mangsa bencana alam ini," kata Lee.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau menggegarkan negeri Sabah yang dikenali sebagai negeri dibawa bayu. Gegaran itu turut melanda gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, dan di beberapa kawasan lain iaitu di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Sementara itu, akhbar The Star melaporkan kehidupan di kampung-kampung dan pekan sekitar di kaki Gunung Kinabalu secara perlahan-lahan kembali normal namun penduduknya masih diselubungi perasaan bimbang dan takut.
"Saya tidak akan melupakan saat saya merasai gegaran tanah. Malah sekarang pun saya masih merasainya apabila kenderaan melalui kawasan rumah saya," kata Jacky Mait seorang penduduk kampung Bundu Tuhan, iaitu sebuah perkampungan yang terletak betul-betul di bawah Gunung Kinabalu.
Kebimbangannya turut dikongsi oleh penduduk kampung yang berniaga di gerai-gerai tepi Jalan Kundasang apabila merasai lebih daripada 50 gegaran gempa bumi sejak 5 Jun.
Guruh dan dentuman kuat
Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abd Malik Tussin pada Isnin berkata, sebanyak 54 gegaran susulan direkodkan jabatan itu berikutan gempa bumi pada Jumaat lepas.
Kesemua gegaran susulan itu berukuran antara 1.6 hingga 4.5 pada skala Ritcher.
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan kira-kira 750 penduduk Kampung Kiau Nuluh di daerah Kota Belud, melahirkan rasa terkejut dan panik apabila tiba-tiba terdengar dentuman kuat seperti guruh yang tidak berhenti-henti dari arah lereng Gunung Kinabalu hampir sejam menyebabkan mereka meninggalkan rumah masing-masing pada Rabu.
Menurut penduduk kampung itu, Lucy Suin, 32, pada sebelah tengah hari, satu dentuman kuat berserta bunyi seperti helikopter berlegar itu menyebabkan beliau, yang masih trauma dengan kejadian gempa bumi pada Jumaat lalu, segera ke kawasan lapang.
"Ingatkan helikopter sedang berpusing, rupa-rupanya batu-batu sedang jatuh dari atas gunung dan kami dapat melihat banyak perubahan di kaki gunung yang dahulunya penuh dengan hutan kini sudah berubah (gondol).
"Pada 5 Jun tidak ada macam ini. Sekarang memang kita boleh lihat dengan jelas (botak)," katanya.
Kampung Kiau Nuluh, 10 kilometer dari Taman Kinabalu, terletak berhampiran dengan bahagian selatan gunung itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kiau Nuluh, Sadib Miki berkata beliau yang baru sahaja balik dari tugasan luar terkejut apabila penduduk kampung sudah berkumpul di rumahnya.
Katanya, penduduk kampung memberitahu terdapat gegaran kecil yang dirasai serta kedengaran bunyi dentuman kuat yang menakutkan.
"Saya pun terkejut...mereka kata mereka terlalu takut dengar bunyi runtuhan dan sedikit gegaran," tambah beliau.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin, menggesa kerajaan negara itu mengkaji semula protokol keselamatan untuk mereka yang mahu mendaki Gunung Kinabalu.
Beliau berkata insiden gempa bumi itu merupakan satu "kejutan besar" buat Malaysia.
"Ini merubah segala-galanya, kerana sebelum ini kami tidak pernah mengalami gempa bumi sebegitu yang pusat gempanya amat dekat dengan gunung. Saya percaya kami akan memastikan keselamatan pendaki-pendaki apabila protokol baru dilaksanakan," kata beliau seperti yang dilaporkan Channel NewsAsia yang berpusat di Singapura.
Khairy pada Selasa melawat Sekolah Rendah Tanjong Katong dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi itu bagi pihak rakyat dan kerajaan Malaysia.
“Ini adalah masa yang amat, amat sukar buat kita semua, terutamanya kerana ramai mangsa dari Singapura adalah kanak-kanak – murid sekolah yang menyertai ekspedisi ke Gunung Kinabalu. Malangnya mereka tidak dapat kembali, " kata Khairy.
Ahli kaji cuaca dan ahli geologi juga perlu menilai kesan pergerakan seismik di Sabah sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengkaji semula aspek keselamatan, kata menteri itu.
Ketika ditanya tentang saranan mengehadkan usia pendaki Gunung Kinabalu pada 15 tahun ke atas, Khairy berkata: "Sebelum kami membuat kesimpulan tentang umur pendaki, kami perlu memahami apa yang telah berlaku dan ancaman seismik yang dihadapi.
"Apabila kami mempunyai kajian semula yang komprehensif mengenai keadaan ini, barulah kami dapat melaksanakan protokol keselamatan baru yang mungkin atau tidak (menangani isu) had umur pendaki."
Dalam pada itu, empat warga asing termasuk dua wanita ditahan reman pada Rabu selepas tiga daripada mereka menyerah diri ekoran laporan menyatakan mereka berbogel di kawasan South Peak Gunung Kinabalu, pada 30 Mei lepas.
Jalaluddin berkata seorang daripada wanita itu adalah warga British yang ditahan di Lapangan Terbang Tawau pada Selasa semasa hendak berlepas ke Kuala Lumpur.
"Wanita itu mengaku melakukan perbuatan itu dan polis membawanya ke Kota Kinabalu (untuk ditahan reman)," katanya.
Jalaluddin berkata tiga individu lagi telah menyerah diri di Balai Polis daerah Karamunsing dan mereka terdiri daripada dua orang beradik lelaki dari Kanada dan seorang wanita Belanda.
Tahanan reman mereka dari 10 hingga 13 Jun dipohon daripada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi ini, katanya.
Jalaluddin menasihatkan malim gunung supaya melaporkan segera sekiranya ada perbuatan yang tidak senonoh dilakukan di kalangan pendaki supaya tindakan dapat diambil.
Insiden pelancong berbogel selepas berjaya tiba di puncak gunung itu telah membangkitkan kemarahan di kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan di Kundasang kerana kelakuan biadap mereka itu yang tidak menghormati adat resam tempatan.
Kelakuan tersebut menimbulkan kemarahan pemimpin Kadazandusun yang mengakui perbuatan itu * satu penghinaan kerana bagi mereka Gunung Kinabalu adalah tempat suci dan mereka percaya kejadian gempa bumi itu berlaku akibat kemarahan aki yang mereka anggap sebagai pelindung gunung.