Tiada Insuran Semasa Jalankan Tugas Malim Gunung
2015.06.12

Malim Gunung Kinabalu yang menarik perhatian masyarakat dunia kerana pengorbanan mereka menyelamat pendaki yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara, selepas berlakunya gempa bumi, sebenarnya tidak dilindungi insurans semasa bertugas.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu (Pemangkina), Richard Soibi memberitahu, kesemua malim gunung yang berkhidmat tidak mempunyai insurans ataupun apa-apa perlindungan daripada mana-mana pihak kecuali dari persatuan.
Gunung Kinabalu yang ketinggiannya mencecah 4,095 meter (13,435 kaki) dari aras laut itu, mempunyai seramai 250 malim gunung termasuk 10 orang wanita.
Sediakan insuran kelompok
“Ini adalah masalah utama malim gunung, dan kita berharap dengan pengorbanan serta dedikasi kumpulan ini menyelamatkan para pendaki ketika berlaku gempa bumi yang menyebabkan ramai terperangkap, pihak kerajaan akan dapat menyediakan dana kebajikan untuk mereka.
“Permohonan kami ialah, sekurang-kurangnya dapat menyediakan insuran berkelompok dan sekiranya berlaku apa-apa kejadian terhadap malim gunung, kebajikan keluarga mereka turut terbela,” katanya kepada BeritaBenar melalui telefon, pada Jumaat.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau menggegarkan negeri Sabah yang dikenali sebagai negeri dibawa bayu. Gegaran itu turut melanda Gunung Kinabalu serta beberapa kawasan lain seperti di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Rabu lepas melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Ahmad Sabery Cheek sebagai berkata, kementerian itu, akan berbincang dengan kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan insurans bagi semua malim gunung.
Katanya, sebahagian daripada dana yang dikumpulkan melalui 'Tabung Gempa Sabah' di bawah Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diperkenalkan sejak gempa bumi itu berlaku, boleh digunakan bagi tujuan itu.
Beliau bercadang untuk berbincang dengan pihak kerajaan negeri berhubung kemungkinan sebahagian daripadanya (wang tabung) dapat digunakan untuk membantu malim gunung.
Risiko keselamatan
Richard berkata, malim gunung sebenarnya terpaksa menanggung risiko yang tinggi serta mempunyai tanggungjawab yang berat dalam memastikan keselamatan pendaki dengan cuma meraih pendapatan antara RM850 ($240) dan RM1,000 ($285) sebulan.
“Perlindungan kebajikan yang ada hanya dari dana persatuan yang dipotong daripada bayaran yang dikenakan kepada pendaki,” katanya.
Richard juga merayu kepada kerajaan negeri Sabah agar dapat menyalurkan bantuan sara hidup kepada malim gunung memandangkan aktiviti pendakian ke Gunung Kinabalu terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan kerja pemulihan dapat dilakukan.
Katanya, berikutan penutupan aktiviti pendakian kebanyakan malim gunung terpaksa mencari kerja sampingan seperti bertani untuk menambah pendapatan keluarga.
Dalam pada itu, seseorang yang ingin menjadi malim gunung terdahulu perlu melalui pelbagai proses sebelum memperolehi lesen sebagai seorang malim gunung.
“Mereka perlu melalui proses kecergasan dan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu, dan selepas berjaya, barulah lesen dikeluarkan,” kata seorang malim gunung yang enggan namanya disiarkan kepada BeritaBenar pada Jumaat.
Australian Broadcasting Corporation (ABC) dalam laporannya baru-baru ini, menyifatkan malim Gunung Kinabalu sebagai wira yang perlu diberi sanjungan.
Manakala ramai pendaki yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu turut memuji kemahiran dan ketangkasan wira berkenaan dalam menyelamatkan mereka selepas gempa bumi melanda daerah Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lepas, yang turut menggegarkan gunung berkenaan.
Serangan AMS
Sementara itu, Mohd Noor Amin yang juga dikenali sebagai pendaki solo, yang telah berjaya mendaki lebih 200 kali ke puncak Gunung Kinabalu sejak tahun 2007 berkata tugas yang digalas oleh seorang malim gunung sangat berat.
“Malim gunung mempunyai tugas besar dan penting. Selain pendaki memberi kepercayaan penuhnya dalam pemanduaan arah dan keselamatan; sebaik saja pendaki mengatur langkah untuk mendaki gunung itu, malim juga perlu memastikan kesihatan pendaki dalam keadaan baik.
“Malim Gunung perlu memastikan tiada pendaki mendapat serangan AMS [Altitude Mountain Sickness] akibat kekurangan oksigen semasa mendaki,” katanya kepada BeritaBenar melalui telefon dari Washington DC.
Beliau yang sepanjang pendakian itu, telah membuat ramai kawan dengan malim gunung, renjer dan rakyat tempatan di kawasan itu, turut meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menyalurkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia kepada malim gunung yang rata-rata tidak menerima wang yang setimpal dengan tugas mereka yang mempunyai risiko besar.
Difahamkan malim gunung hanya membuat antara RM150 untuk setiap kumpulan yang terdiri daripada seorang hingga lima orang dan bekerja selama dua hari, iaitu pendakian naik dan turun.
Perjalanan untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu mengambil masa antara empat dan lapan jam, dengan perlu melalui beberapa tahap berikutan keadaan muka buminya serta kawalan masa yang sangat ketat yang ditentukan oleh renjer Taman Kinabalu demi keselamatan pendaki.
Beberapa gegaran turut dilaporkan berlaku selepas kejadian pada Jumaat lepas.
Hormati adat resam penduduk tempatan
Mohd Noor yang juga jurufoto akhbar Utusan Malaysia, turut meminta pendaki gunung itu supaya mematuhi arahan renjer dan malim gunung tentang beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pendaki termasuk menghormati adat resam dan kepercayaan penduduk tempatan.
Katanya, perkara itu bukan saja di Gunung Kinabalu malah sherpa di Gunung Everest turut akan memaklumkan perkara yang sama kepada pendaki sebelum pendakian bermula.
Masyarakat tempatan percaya kejadian gempa bumi itu berlaku selepas insiden pelancong asing berbogel selepas berjaya tiba di puncak gunung itu.
Kelakuan tersebut menimbulkan kemarahan pemimpin Kadazandusun yang mengakui perbuatan itu satu penghinaan kerana tidak menghormati adat resam tempatan yang bagi mereka Gunung Kinabalu adalah tempat suci.
Kejadian gempa bumi itu dikatakan akibat kemarahan aki yang mereka anggap sebagai pelindung gunung itu.
Dalam perkembangan yang sama Bernama melaporkan seorang malim gunung Ridwan Kohinin, 25, berkata kejadian gempa bumi itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai malim Gunung Kinabalu.
Ridwan merupakan antara malim gunung yang membantu menyelamatkan pendaki yang cedera dan gambarnya ketika mengangkat seorang murid sekolah dari Singapura yang cedera, menjadi viral dalam media sosial.
Beliau yang berasal dari Kampung Lembah Permai di Kundasang berkata pekerjaan malim gunung sudah sebati dalam dirinya sejak dia berusia 18 tahun.
"Saya membesar di kawasan kaki Gunung Kinabalu dan akan terus menjadi malim gunung selagi mampu, katanya yang ketika kejadian gempa bumi itu, Ridwan adalah antara malim gunung yang berada di kawasan puncak Gunung Kinabalu dan dalam perjalanan ke kawasan Laban Rata membawa kumpulan pendaki.
"Semasa kejadian, saya dipertanggungjawabkan membawa turun seorang budak lelaki yang cedera dari Pondok Layang-Layang sebelum berjumpa dengan kumpulan penyelamat di Pondok Pelusa.
"Biarpun berhadapan cabaran dan kesukaran, saya bersyukur dapat membawa turun budak lelaki yang cedera itu," katanya.
Perdana Menteri Najib Razak pada lewat malam Jumaat berkata kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada malim gunung yang terjejas dengan kejadian gempa bumi di Sabah, sepanjang tempoh tiga bulan kerja pemulihan Taman Kinabalu dilaksanakan.
"Dalam tempoh itu malim gunung yang tidak mempunyai pendapatan akan diberi bantuan supaya dapat meneruskan hidup menyara keluarga," katanya
Hata Wahari dan Hanis Aleeya Ramly menyumbang kepada laporan ini