Polis: Dua Rakyat Malaysia Membantu IS Merakam Tawanan Dipenggal


2015.03.04
MY-IS-execution-620-March2015 Tebusan Islamic State (IS) yang berjaket oren berarak ke lokasi pelaksanaan penyembelihan di Tripoli, Libya, dalam satu gambar yang diambil daripada video yang dikeluarkan oleh media sayap IS, 15 Februari 2015.
AFP/HO/AL-HAYAT MEDIA CENTER

Pihak berkuasa mengesahkan dua rakyat Malaysia sebagai ahli kumpulan pengganas Islamic State (IS) yang didakwa terlibat dalam rakaman pembunuhan seorang lelaki Syria pada bulan lalu, akhbar The Star Malaysia melaporkan pada hari Rabu (4 Mac).

Kedua-dua orang tersebut ialah anggota Majmu'ah al Arkhabiliy, sebuah unit baru IS yang terdiri daripada warganegara Malaysia dan Indonesia. Unit ini menggantikan unit terdahulu yang bernama Katibah Nusantara Lid Daulah Islamiah di Syria dan Iraq, akhbar itu memetik seorang pegawai kanan polis sebgai berkata.

Sayap tersebut dipercayai mempunyai lebih daripada 100 pejuang dari seluruh Asia Tenggara, Malay Mail Online melaporkan.

Kedua-dua rakyat Malaysia dalam video selama 30 saat yang telah dimuat naik di Facebook pada 22 Februari yang lalu telah dikenal pasti sebagai Muhamad Wanndy Muhamad Jedi, 26, dari bandar Durian Tunggul, Melaka dan Mohd Faris Anuar, 20, dari Gurun, Kedah.

Ayob Khan Mydin, Timbalan Ketua Bahagian Cegah Keganasan Polis Diraja Malaysia menyiarkan gambar berbintik dalam hitam dan putih kedua-dua lelaki berkenaan dan salah seorang daripada isteri Wanndy. Dia dikenal pasti sebagai Nor Mahmudah Ahmad, 26, dari Baling, Kedah, menurut The Star, akhbar yang pertama sekali melaporkan berita ini.

Nor Mahmudah dan suaminya pergi ke Syria bersama pada bulan Januari manakala Faris berlepas ke Timur Tengah pada bulan September yang lalu.

Video itu menunjukkan Faris memberi isyarat dengan jari telunjuknya ke arah kamera yang dikendalikan oleh Wanndy dalam rakaman pemenggalan kepala lelaki Syria tersebut, polis percaya. Seorang lagi militant yang dikenal pasti sebagai seorang warga Indonesia juga dilihat memegang kepala lelaki Syria itu selepas dia disembelih dan menjerit "Allahuakbar," The Star melaporkan.

Penyiasat mendapati suara orang yang merakam video itu milik Wanndy.

Rakaman tersebut telah dimuat naik ke akaun Facebook di bawah nama Abu Hamzah al-Fateh tetapi halaman itu tidak lagi wujud, lapor The Star.

Tangkapan

Dalam usaha untuk mengekang pengaruh IS di Malaysia dan menghalang kumpulan itu daripada menjadi radikal dan merekrut orang muda atau belia, kerajaan Malaysia sejak tahun lalu telah bertindak secara agresif terhadap ahli dan penyokong IS yang disyaki.

Pada hari Selasa yang lalu, The Star melaporkan tangkapan tiga lagi orang yang disyaki terlibat dalam IS, termasuk seorang penjawat awam yang dikatakan ialah salah seorang ahli yang paling kanan di Malaysia.

Lelaki itu ditangkap di Kuala Lumpur pada hari Isnin (2 Mac) dan didakwa membuka akaun Facebook untuk rakyat Malaysia yang berjuang dengan IS di Syria, The Star melaporkan.

"Suspek ketiga ialah seorang pegawai jabatan kerajaan yang berusia 39 tahun dan dikenal pasti sebagai ahli kanan IS," Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dalam satu kenyataan apabila membuat pengumuman tentang penangkapan tersebut.

Dua orang yang lain ialah seorang wanita berusia 29 tahun yang ditahan di Muar pada hari Sabtu yang disyaki merekrut seorang gadis berusia 14 tahun untuk menyertai kumpulan pelampau itu; dan seorang lelaki berusia 22 tahun yang ditahan di Perak pada hari Isnin yang dipercayai telah membiayai rancangan perjalanan gadis itu ke Kaherah untuk berkahwin dengan seorang IS rekrut warganegara Malaysia.

Ketiga-tiga mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana terlibat dalam aktiviti keganasan, lapor The Malaysian Insider.

Gadis berusia 14 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pertengahan bulan Februari sebelum dia menaiki pesawat ke Mesir.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.