Tertuduh Rakyat Vietnam, Indonesia Dibawa Melawat Lokasi Serangan Kes Pembunuhan Kim Jong Nam

Hareez Lee, Fadzil Aziz dan Hadi Azmi
2017.10.24
Sepang, Malaysia
171024-MY-KJN-620.jpg Anggota polis mengawal ketat rakyat Indonesia Siti Aisyah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada hari kesembilan perbicaraan yang menyaksikan dia dan seorang rakyat Vietnam Doan Thi Hoang didakwa membunuh Kim Jong Nam, 24 Okt 2017.
Hadi Azmi/BeritaBenar

Seorang daripada dua wanita Asia Tenggara yang didakwa membunuh Kim Jong Nam menangis pada Selasa ketika mereka dibawa ke lokasi kejadian dengan dikawal ketat oleh polis selepas prosiding perbicaraan kes itu berpindah dari kamar mahkamah ke lapangan terbang Kuala Lumpur selama lebih tiga jam.

Lebih 200 anggota polis, kebanyakannya beruniform lengkap, menyediakan kawalan keselamatan ketika hakim, pegawai pendakwa dan peguam melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 untuk mendapatkan satu perspektif yang jelas bagaimana jenayah itu berlaku.

Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, kelihatan tenang berpakaian jaket kalis peluru dengan tangan bergari pada awal lawatan itu, namun Siti Aisyah menjadi emosional dan dilihat menangis teresak-esak kira-kira sejam kemudian.

Selepas rehat yang singkat, kedua-dua wanita mengadu keletihan dan diberikan kerusi roda, kata peguam Siti Aisyah, Gooi Soon Seng kepada pemberita.

“Mereka diarah memakai jaket kalis peluru yang berat dan terpaksa berjalan hampir tiga jam. Mereka letih. Jadi, kami minta agar anak guam kami diberikan kerusi roda,” kata Gooi.

Lawatan mahkamah pada hari kesembilan perbicaraan itu bertujuan memberikan gambaran yang lebih jelas kepada Hakim Azmi Ariffin tentang apa yang berlaku pada 13 Feb, ketika kedua-dua wanita didakwa melumurkan agen saraf VX ke muka abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un.

“Tujuan sebenarnya ialah untuk membolehkan kami, terutama mahkamah, mempunyai pemahaman yang lebih jelas berhubung susun atur lokasi kejadian, tentang kes ini, terutama laluan tertuduh, mangsa dan semuanya,” kata Muhammad Iskandar Ahmad yang mengetuai pendakwaan kepada pemberita selepas lawatan itu berakhir.

Lawatan itu menjadi kecoh seketika apabila kru berita televisyen dan pemberita mengekori kedua-dua wanita di sekeliling terminal manakala anggota polis yang bersenjata menghalang mereka daripada terlalu hampir.

Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan mendakwa mereka telah ditipu untuk menyerang Kim dan menyangka mereka hanya beraksi melakukan gurauan untuk satu rancangan TV realiti.

Malaysia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah mengaitkan rejim Kim Jong Un dengan pembunuhan itu sekali gus menyebabkan hubungan diplomatik hampir empat dekad antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tegang, namun Pyongyang telah menafikan pembabitan dalam pembunuhan tersebut.

Anggota polis mengawal ketat rakyat Vietnam Doan Thi Hoang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada hari kesembilan perbicaraan yang menyaksikan dia dan seorang rakyat Indonesia Siti Aisyah didakwa membunuh Kim Jong Nam, 24 Okt 2017. [Fadzil Aziz/BeritaBenar]

Dipantau Rapi

Ketika lawatan itu, kedua-dua wanita mula-mula dibawa ke kawasan daftar masuk sendiri di balai pelepasan lapangan terbang itu di tingkat kedua di mana Kim Jong Nam diserang, kemudian ke sebuah kafe di mana visual Siti Aisyah dirakam oleh CCTV berjumpa seorang lelaki, yang dicam oleh penyiasat sebagai Encik Chang, yang didakwa menuang cecair ke ataas tangannya sebelum serangan.

Encik Chang adalah antara empat lelaki yang dicam oleh pegawai penyiasat kes Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz ketika memberi keterangan pada 12 Okt di Mahkamah Tinggi Shah Alam, berhampiran Kuala Lumpurr, pada hari kelapan perbicaraan kes itu.

Empat individu, yang masih bebas, didakwa melakukan pembunuhan itu bersama-sama kedua-dua wanita terbabit. Tiga lagi dikenali sebagai James, Encik Y dan Hanamori (alias Datuk atau  Pakcik), kata Wan Azirul kepada mahkamah.

Perbicaraan itu dipantau rapi oleh kerajaan Vietnam dan Indonesia, yang telah mengupah peguam untuk membela kedua-dua wanita. Peguam mereka mendakwa mereka hanyalah kambing hitam dan mangsa satu helah licik yang membabitkan keempat-empat lelaki.

Lawatan itu turut meninjau tandas yang digunakan suspek selepas serangan, sebuah klinik di mana mangsa dibawa untuk mendapatkan rawatan dan kawasan teksi di mana kedua-dua suspek didakwa melarikan diri selepas serangan.

Kim Jong Nam, anak lelaki sulung bekas diktator Korea Utara Kim Jong Il dan abang tiri “pemimpin agung” Korea Utara ketika ini, diserang ketika beliau sedang menunggu penerbangan pulang ke Macau. Pembunuhannya dirakam oleh kamera di lapangan terbang.

Gooi, peguam Siti Aisyah, memaklumkan pemberita bahawa antara isu yang akan beliau bangkitkan ketika pemeriksaan balas saksi kesembilan pendakwaan, Wan Azirul, ialah rakaman visual CCTV yang tidak jelas.

Perbicaraan kes itu, yang masuk hari kesembilan, dijangka disambung pada Rabu. Mahkamaah setakat ini telah mendengar keterangan 13 saksi pendakwaan, termasuk ahli patologi forensik, ahli kimia dan jurufoto polis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.