Bersih 5 Pada 19 Nov, Bertema 'Satukan Tenaga, Malaysia Baru!'

Haireez Azeem Azizi
2016.09.14
Kuala Lumpur
160914-MY-bersih-620.jpg Barisan Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 menunjukkan bendera tertera nombor ‘5’ sebagai simbol perhimpunan Bersih ke-5 pada sidang berita di Petaling Jaya, 14 September, 2016.
Haireez Azeem Azizi/BeritaBenar

Gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil terbesar Malaysia, Bersih, mengumumkan pada Rabu bahawa perhimpunan Bersih 5 bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November ini dengan tema "Satukan Tenaga, Malaysia Baru!" bagi menuntut pembaharuan institusi.

Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah berkata, gabungan itu juga akan melancarkan Konvoi Bersih bermula 1 Oktober ini bagi meningkatkan kesedaran rakyat di seluruh negara menjelang kemuncak perhimpunan pada November nanti.

"Kami akan adakan konvoi di seluruh negara meliputi  enam kawasan - Kangar (Semenanjung Utara), Johor Bahru (Semenanjung Selatan), Kota Bharu (Pantai Timur), Lumut (Pantai Barat), Sandakan (Sabah) dan Miri (Sarawak)," katanya dalam satu sidang berita di Petaling Jaya pada Rabu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah aktivis Hishamuddin Rais, Pengerusi Hak Asasi Manusia Ambiga Sreenevasan dan jurucakap #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof.

Maria berkata, gabungan itu juga akan membawa bersama obor Bersih sepanjang berkonvoi di enam negeri itu selama tujuh minggu sebelum perhimpunan 19 November.

"Kami mengadakan konvoi Bersih supaya kami dapat menyebarkan fahaman dan membuka mata orang ramai  mengenai reformasi institusi dan keparahan krisis 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

"Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu keluar dan memulakan perbualan nasional tentang isu-isu yang yang meninggalkan implikasi negatif kepada negara dari sudut ekonomi dan politik . Kita tidak boleh lagi  memeluk tubuh kerana ini melibatkan masa depan semua,"tegasnya.

Selain mendesak Perdana Menteri Najib Razak meletakkan jawatan, Bersih juga menuntut lima perkara lain - mengadakan pilihan raya yang Bersih, sebuah kerajaan yang telus dan Bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah dan memperkasakan Sabah dan Sarawak.

Menunjuk perasaan bukan pilihan tapi keperluan

Maria menjelaskan bahawa menunjuk perasaan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya suatu keperluan bagi rakyat Malaysia menyatakan pendirian terhadap rasuah dan pengkhianatan.

Bersih, yang dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil. Ia merupakan platform yang berusaha mendesak kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.

Sejak beberapa tahun lepas, Bersih telah mengadakan empat perhimpunan yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia. Perhimpunan jalanan terbaru dan terbesar  Bersih diadakan selama hampir tiga hari bermula 29 Ogos tahun lepas di beberapa bandaraya utama seluruh Malaysia termasuk di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Perhimpunan Bersih disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, dengan perhimpunan paling buruk adalah semasa Bersih 3  pada 23 April 2012. Seramai 24 orang dilaporkan cedera termasuk 12 anggota polis yang bertugas selain 512 individu ditahan.

Pada 30 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan Malaysia telah memutuskan untuk menarik semula larangan Kementerian Dalam Negeri membabitkan baju Kuning Bersih 4.0 dan risalah-risalah mengenai perhimpunan tersebut dengan memutuskan arahan yang dikeluarkan menteri berkenaan sebagai tidak munasabah.

Keputusan itu sekali gus dianggap sebagai kejayaan besar buat gabungan terbesar badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil negara itu.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dipetik media tempatan pada Julai lalu sebagai berkata, Bersih 2.0 akan diberi lampu hijau untuk menganjurkan perhimpunan kelima mereka, asalkan ia mematuhi ketetapan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).

"Saya menasihatkan mereka (penganjur Bersih 5) supaya  mematuhi prosedur dan peraturan yang ditetapkan di bawah APA, dan polis tidak mempunyai masalah untuk membantu kumpulan itu dalam hal yang melibatkan keselamatan,” kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.