Malaysia Batal Arahan Penawaran Kontrak Internet 5G
2020.06.03
Kuala Lumpur, Malaysia

Para pegawai Malaysia pada Rabu membatalkan arahan penawaran kontrak bagi spektrum rangkaian telekomunikasi 5G kepada lima syarikat termasuk dua yang dikaitkan dengan gergasi teknologi China sehari selepas pendedahan bahawa penawaran itu telah dibuat pada pertengahan bulan Mei menerusi satu arahan yang dimuat naik di laman sesawang sebuah kementerian tanpa pengumuman awam.
Dalam satu kenyataan akhbar mengenai pembatalan arahan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata terdapat keperluan agar proses tersebut lebih telus meskipun beliau adalah individu yang menandatangani dokumen bertarikh 15 Mei menamakan syarikat-syarikat yang dibenarkan melaksanakan teknologi yang ditunggu-tunggu itu, yang dijangka menjadikan hubungan rangkaian telekomunikasi lebih pantas.
“Berdasarkan beberapa isu teknikal tertentu, peruntukan undang-undang dan keperluan bagi satu proses yang telus, saya telah mengarahkan pengerusi SKMM untuk membatalkan Arahan dan Penentuan Menteri serta mengkaji semula instrumen itu secepat mungkin,” menurut Saifuddin dalam kenyataan itu merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Pada Mei, kementerian itu telah menawarkan kontrak tersebut kepada Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunication Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, dan Telekom Malaysia Berhad. Pembekal peralatan asing telah memohon untuk menjadi rakan kongsi syarikat telekom Malaysia yang terbabit untuk turut serta dalam pelaksanaan teknologi itu.
Maxis telah memeterai satu perjanjian dengan Huawei, syarikat China yang didakwa oleh para pegawai Barat sebagai melakukan pengintipan bagi kerajaan negara itu di Beijing. Tahun lepas, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo telah memberi amaran kepada Filipina, antara negara lain, agar tidak menggunakan teknologi Huawei, terutama ddalam isu membabitkan maklumat sensitif.
Pada Februari 2019, Maxis dan Huawei telah memeterai satu memorandum persefahaman bagi menjalin kerjasama dalam percubaan 5G di Malaysia, lapor perkhidmatan berita Reuters pada Oktober tahun lepas. Ketika itu, gergasi China tersebut turut memeterai perjanjian awal 5G dengan Celcom, menurut Reuters.
5G adalah rangkaian komunikasi tanpa wayar generasi masa depan yang direka uuntuk membberikan hubungan maya lebih baik berbanding generasi sebelumnya, termasuk kelajuan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi.
Kementerian komunikasi itu tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan Berita Benar untuk mendapatkan komen.
Proses dipertikai
Gobind Singh Deo, yang menyandang jawatan sebagai menteri komunikasi di bawah kerajaan terdahulu pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad, telah menggesa kerajaan agar menjelaskan bagaimana penawaran kontrak 5G itu dilakukan pada Mei.
“Kami telah memilih satu pendekatan yang menyaksikan lebih banyak ketelusan dan akauntabiliti selaras dengan agenda kami untuk pembaharuan dan tadbir urus yang lebih telus,” menurutnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Beliau berkata satu tender bagi 5G sepatutnya dikeluarkan oleh SKMM dalam suku tahun pertama 2020.
“Proses tender terbuka inni adalah penting kerana ia akan mengenal pasti pemegang lesen yang mempunyai pelan perniagaan dan rekod prestasi terbaik untuk pelaksanaan,” katanya. “Oleh itu alasan mesti diberikan untuk penawaran terus, kriteria yang digunakan untuk memilih penyedia perkhidmatan, hasil kepada kerajaan dan faedah yang dijangka dinikmati rakyat Malaysia.”
Semasa berucap di Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia pada bulan Januari, Gobind berkataa industri teknologi 5G mampu menghasilkan tambahan pendapatan sebanyak 12.7 bilion ringgit (AS$2.98 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar antara 2021 dan 2025 serta mewujudkan lebih 39,000 peluang pekerjaan, dengan merujuk kepada kajian oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia.
Pada Februari, Gobind memaklumkan wartawan bahawa kerajaan akan menentukan syarikat yang boleh mengambil bahagian dalam pelaksanaan 5G selepas para pegawai AS menggesa agar Huawei dikecualikan daripada menyediakan perkhidmatan itu.
Saifuddin menggantikan Gobind sebagai menteri komunikasi pada Mac selepas Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri selepas kerajaan pimpinan Mahathir tumbang.
Malaysia Corruption Watch (MCW), sebuah NGO, memuji pengumuman untuk membatalkan arahan itu.
“Projek-Projek besar, yang membabitkan isu keselamatan seperti telekomunikasi, hendaklah hanya diberikan kepada syarikat yang memiliki kepakaran. MCW tidak jelas mengenai alasan pembatalan ini, tetapi ia adalah keputusan yang tepat,” kata Presiden MCW Jais Abdul Karim kepada BeritaBenar.
Sementara itu, penganalisis politik Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, berkata orang awam mahukan proses itu dilakukan secara terbuka.
“Satu tender membolehkan mereka yang membida bersaing antara satu sama lain dan tawaran terbaik akan berjaya mendapatkan kontrak itu,” katanya kepada BeritaBenar. “Orang awam memilih ketelusan dengan akauntabiliti dan kompetensi penuh bagi mencerminkan dasar tadbir urus yang baik.
“Tindakan segera menteri itu membatalkan arahan tersebut menyediakan ruang untuk menangani isu terbabit dengan cara yang lebih tepat,” katanya.
Hadi Azmi dan Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.