Mahkamah Pulau Pinang Bebas Lelaki Terlibat Salur Dana Kepada IS

S. Adie Zul
2016.08.17
Pulau Pinang
160817-my-IS-bebas-620 Tertuduh, Lisoffuan Abdullah, 37, (seluar unggu) ketika di bawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Rabu sebelum dibebaskan oleh mahkamah tersebut, 17 Ogos 2016.
[S. Adie Zul/BeritaBenar]

Seorang pemandu pelancong yang berhadapan dengan pertuduhan mengendalikan harta milik seorang ahli kumpulan militan Abu Sayyaf, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau di Pulau Pinang.  

Majistret Nur Azzuin Moati membuat keputusan membebaskan tertuduh, Lisoffuan Abdullah, 37, susulan permohonan dari pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya Shafiq  Mahadi pada prosiding sebutan semula di mahkamah berkenaan pada Rabu.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak mendedahkan sebab permohonan tersebut dibuat ketika kes tersebut dipanggil untuk prosiding bagi menyambung perbicaraan di Mahkamah Tinggi George Town.

Pada 14 Jun lalu, Lisoffuan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengendalikan harta ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 41, dengan cara memberikan perkhidmatan kewangan dan pengeluaran wang daripada akaun Maybank miliknya bagi manfaat kumpulan pengganas tersebut.

Lisoffuan didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Bayan Lepas antara 21 Oktober 2015 hingga 29 April 2016.

Bagaimanapun tiada pengakuan di rekodkan dari tertuduh sewaktu dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan mengikut Seksyen 130q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana harta yang digunakan bagi tujuan berkenaan.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Muhammad Joraimee, yang merupakan bekas pekerja majlis perbandaran tempatan, telah melarikan diri ke selatan Filipina dan menyertai  kumpulan Militan Abu Sayyaf yang menuntut kemerdekaan wilayah itu dari kerajaan Filipina.

Muhammad Joraimee juga adalah antara empat individu yang berada dalam senarai dikehendaki Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sejak april 2014, juga adalah antara sebahagian daripada perancang utama dalam membentuk Khatibah Nusantara, iaitu cabang kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di rantau Asia Tenggara, dengan membawa semua anggota militan di Malaysia, Indonesia dan Filipina berada di bawah satu pentadbiran.

Buruh di Sabah dituduh sokong militan

Sementara itu di Sabah, seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Tertuduh, Aszroy Yohyo Achoi, 25, didakwa melakukan kesalahan berkenaan melalui dua akaun Facebook miliknya di bawah nama Yohyo Irranun Peace AlBorneozy dan Yohyo Illa’nun AlSaba Malizia di rumahnya di Kampung Kota Bungan, yang terletak di utara daerah Kota Belud antara 8 Mei hingga 19 Julai 2016.

Aszroy didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau denda, dan semua harta yang digunakan untuk tujuan berkenaan dirampas sekiranya didapati bersalah.

Tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh, yang tidak diwakili peguam apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun pada Rabu.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober depan untuk tarikh sebutan dengan Timbalan Pendakwa Raya Wan Farrah Farriza Wan Ghazali memaklumkan mahkamah yang pihak pendakwaan akan memohon kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Pertuduhan ke atas Aszroy menjadikannya individu kedua dari Sabah yang didakwa atas kesalahan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Pada Selasa, seorang pengusaha agensi pelancongan berumur 34 tahun, Mohd Firdaus Asren Saputra telah didakwa atas lima pertuduhan antaranya memberi sokongan dan membiayai pengganas serta perlakuan pengganas yang membabitkan bahan letupan.

Sebelum ini, Ketua Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas PDRM, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya seramai 230 individu  yang dipercayai menganggotai IS termasuk 200 rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Malaysia. Manakala seramai 84 individu telah didakwa dengan 18 lagi telah dibuang negeri dan 62 telah dibebaskan selepas disoal siasat

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.