Tujuh Tahun Penjara Bagi Guru Sekolah Anggotai Kumpulan "The Rise of Jundullah"
2018.08.13
Kuala Lumpur, Malaysia

Seorang guru sekolah rendah di Kuching, Sarawak pada Isnin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki 16 rakaman video, dan enam keping gambar yang mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam [IS] tahun lepas.
Muhamad Naseefullah @Heawian Einie, 47, semasa pertuduhan dibacakan terhadap beliau tidak memberi sebarang reaksi emosi, semasa mengaku tidak bersalah atas semua kesalahan. Dia dituduh mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah subseksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.
Guru itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semasa beliau sedang menunggu ketibaan isterinya yang baru pulang dari Madinah, Arab Saudi pada pukul 3.22 petang, 1 Dis 2017 lalu.
Muhamad Naseefullah juga dipercayai merupakan sebahagian daripada kumpulan aplikasi WhatsApp dari sel IS tempatan yang dikenali sebagai "The Rise of Jundullah" yang dikaitkan dengan rancangan mahu mensabotaj Festival Bir tahun lepas.
Beliau diwakili peguam Zaini Bakar membuat pengakuan itu manakala pasukan pendakwaan diwakili Mohd Izahnudin Alias.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes berkenaan, menetapkan 25 Sept depan untuk sebutan semula kes.
Mengikut fakta kes itu, tertuduh yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam mempunyai tiga isteri, serta sudah lama tidak hadir dan telah melaporkan hal itu kepada pejabat pendidikan daerah.
Sementara itu, di Indonesia, Polis Anti-Keganasan Indonesia Densus 88 telah menahan 16 individu yang dipercayai terlibat dalam keganasan di beberapa daerah di seluruh negara berkenaan sejak beberapa hati lepas.
Penangkapan terbaru itu membawa jumlah suspek pengganas yang berjaya ditahan oleh pihak penguatkuasa negara itu kepada seramai 300 orang.