Agong Nasihat Ahli Parlimen Beri Sokongan Padu Kepada Belanjawaan 2021

Noah Lee
2020.10.28
Kuala Lumpur, Malaysia
201028-MY-King1000.jpg Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra-kabinet dan berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 di Istana Negara, di Kuala Lumpur, 28 Oktober, 2020.
[APF/Istana Negara]

Yang di-Pertuan Agong pada Rabu menasihati semua ahli Dewan Rakyat Malaysia supaya menyokong Belanjawan 2021, dijadual dibentangkan buat pertama kalinya oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin di Parlimen pada minggu hadapan, yang pada masa sama terdapat laporan mengatakan ramai wakil rakyat telah memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah turut menzahirkan keyakinan penuh baginda terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat sedang diuji dengan pelbagai krisis ketika ini, kata Istana Negara dalam satu kenyataan yang memetik Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin sebagai berkata.

“Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19

“Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat, adalah amat penting kepada Kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” demikian titah baginda, kata kenyataan itu.

Titah Raja itu dikeluarkan beberapa jam selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Negara, untuk mesyuarat pra-kabinet dan berkenaan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawaan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 Nov ini.

"Seri Paduka Baginda mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19," tambah Ahmad Fadil.

Pertemuan di Istana Negara antara Yang di-Pertuan Agong dengan Perdana Menteri itu berlaku hanya beberapa hari selepas kredibiliti Muhyiddin menerima tamparan hebat selepas beliau gagal mendapatkan persetujuan baginda bagi mengisytiharkan darurat di seluruh negara, cadangan yang dikatakan sebagai langkah untuk menghadapi wabak COVID-19 yang semakin buruk.

Tindakan Perdana Menteri dikritik hebat terutamanya daripada parti pembangkang yang dilihat usaha Muhyiddin itu adalah untuk menyelamatkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Al-Sultan Abdullah selepas menolak permintaan Muhyiddin pada 25 Okt telah mengatakan keyakinan baginda terhadap keupayaan kerajaan PN untuk membendung gejala COVID-19 dari terus merebak sambil mengingatkan semua ahli politik untuk "memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara".

Usul tidak percaya

Media tempatan Malaysia sejak beberapa minggu kebelakangan ini banyak melaporkan bahawa Speaker Dewan Rakyat menerima usul undi tidak percaya daripada lebih 10 Ahli Parlimen terhadap Muhyiddin untuk dibawa ke persidangan yang akan bermula pada Isnin depan.

Akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia memetik Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun sebagai berkata bahawa jumlah yang telah diterima beliau setakat ini melebihi 16 usul.

"Kita sudah menerima lebih 16 usul tidak percaya daripada Ahli Parlimen dan kita senaraikannya dalam aturan mesyuarat," kata Azhar, seperti dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

Bagaimanapun, penghantaran usul undi tidak percaya kepada Speaker tidak bermakna ia akan sempat dibawa ke dalam Dewan Rakyat kerana menurut Azhar, urusan kerajaan adalah menjadi keutamaan.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pernah menghantar usul serupa pada Mei lepas, namun ia tidak diberi keutamaan untuk dibincangkan semasa sidang Parlimen ketika sesi kedua yang diadakan bermula 13 Julai hingga 27 Ogos.

"Banyak lagi usul penting kita terima selain meletakkan fokus kepada pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov ini. Kita akan susun mengikut kepentingan kerajaan yang dibuat menteri terlebih dahulu," kata Azhar kepada akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada Rabu.

Selain itu, BeritaBenar juga difahamkan dari sumber yang dekat dengan beberapa Ahli Parlimen yang memaklumka bahawa lebih 20 usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat tetapi pengesahan mengenainya kesahihannya gagal diperolehi kerana tidak mendapat sebarang jawapan balas daripada Azhar.

Untuk rekod, Malaysia mengamalkan Sistem Westminster, iaitu satu sistem demokrasi berparlimen yang membolehkan keabsahan seorang Perdana Menteri dicabar melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Akan tetapi, usul undi tidak percaya bukan satu-satunya cara untuk membuktikan bahawa seseorang ketua kerajaan itu telah hilang kepercayaan majoriti ahli parlimen.

Menurut James Chin, seorang penganalisis politik dan profesor Kajian Asia di Universiti Tasmania, satu lagi cara yang boleh dilakukan untuk mencabar kedudukan seorang ketua kerajaan adalah dengan menggagalkan belanjawan yang dibentangkannya di Parlimen.

"Kerana di bawah sistem yang diamalkan oleh Malaysia, sekiranya Rang Undang-Undang Belanjawan dikalahkan (di Dewan Rakyat), maka kerajaan itu jatuh," kata Chin.

Kerjasama dengan pembangkang

Seorang peguam yang juga pakar mengenai isu Perlembagaan Malaysia, Lim Wei Jiet pula memberitahu BeritaBenar bahawa walaupun Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan nasihat kepada Ahli Parlimen untuk memberikan sokongan kepada bajet yang dicadangkan kerajaan, ia tidak menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang sekiranya mereka berbuat sebaliknya.

"Ia adalah tanggungjawab seorang Ahli Parlimen untuk berdebat, mengkritik dan memberikan tekanan kepada kerajaan supaya membuat Belanjawan yang mengikut aspirasi yang dikehendaki para pengundi. Ini adalah fungsi Parlimen.

"Jadi, seorang Ahli Parlimen itu mesti bertanggungjawab kepada para pengundinya, dan menjadi satu tanggungjawab kepada mereka untuk menegakkan Perlembagaan. Sehubungan itu Ahli Parlimen patut mengundi berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan ini," tambah beliau.

Sementara itu, beberapa ahli parlimen dari parti pembangkang pada minggu ini telah mengeluarkan gesaan supaya kerajaan Muhyiddin mengambil kira pandangan mereka dalam Belanjawan 2021.

"Bersabit dengan Belanjawan 2021 yang akan dibentang kelak, ia harus menggembleng usaha dan peranan kedua-dua pihak (bipartisan) yakni kerajaan dan pembangkang dalam merencana strategik yang ampuh dalam menangani dampak pandemik COVID19, pengangguran dan juga masalah kemiskinan," kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada Selasa.

Untuk rekod, Anwar baru-baru ini cuba membuktikan bahawa Muhyiddin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti di Parlimen, apabila pemimpin pembangkang itu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan dokumen yang  didakwa menunjukkan sokongan majoriti Ahli Parlimen terhadapnya.

Namun kenyataan Istana Negara selepas pertemuan itu memaklumkan bahawa Anwar tidak menyatakan identiti Ahli Parlimen yang menyokongnya sekaligus menimbulkan keraguan terhadap dakwaannya itu.

Setiausaha Organisasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke turut membuat gesaan serupa kepada Muhyiddin, dan menyatakan bahawa kabinet perlu membabitkan Ahli Parlimen dari blok pembangkang.

"Saya mengulangi panggilan supaya semua parti yang diwakili di Parlimen mesti bersedia untuk duduk bersama di meja rundingan bagi mencari formula terbaik dalam mencapai objektif-objektif, termasuk persetujuan bersama bagi mendraf dan meluluskan Belanjawan 2021 serta Rang Undang-Undang lain," kata Loke.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.