Agong Mahu Ahli Parlimen Malaysia Pamer Kematangan Semasa Pergolakan Politik

Hadi Azmi & Nisha David
2020.10.16
Kuala Lumpur, Malaysia
201016-MY-Anwar880.jpg Ketua pembangkang Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas disoal siasat selama dua jam di ibu pejabat polis Persekutuan di Kuala Lumpur, 16 Oktober 2020.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Jumaat meminta Ahli Parlimen supaya mempamerkan "kematangan" dalam menyelesaikan perebutan kuasa, manakala ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa bahawa beliau menjadi sasaran gangguan politik selepas polis menyoal siasatnya mengenai senarai Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong cubaannya untuk menerajui kerajaan.

Dalam satu kenyataan, seorang pegawai istana berkata Raja Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah menggesa para penggubal undang-undang supaya memahami serta menjiwai kesusahan rakyat ketika ekonomi Malaysia terus terkesan akibat pandemik koronavirus.

Yang di-Pertuan Agong mahu mengingatkan mereka tentang titah baginda sebelum ini supaya “Ahli Parlimen mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh-kesah rakyat serta tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

"Berhubung dengan perkembangan politik terkini di negara ini, Yang di-Pertuan Agong ingin menasihati rakyat khususnya ahli politik supaya bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diseret ke kancah politik tidak menentu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19,” kata Fadil dalam kenyataan itu.

“Seri Paduka menegaskan bahawa ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan sebaliknya, mereka perlu menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Kenyataan daripada Istana Negara itu adalah yang kedua  dikeluarkan setelah Anwar, yang merupakan ketua pakatan pembangkang Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), menghadap Yang di-Pertuan Agong di istana berkenaan pada Selasa bagi mengemukakan dokumen bahawa beliau mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Pada hari sama selepas pertemuan itu, pihak Istana Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar memaklumkan tentang jumlah Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya, tetapi pemimpin pembangkang itu "tidak megemukakan senarai nama Ahli Parlimen bagi membuktikan dakwaannya itu. "

Menurut kenyataan Istana Negara itu, Yang di-Pertuan Agong “ menasihati Anwar supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan."

Pada Selasa, Anwar memberitahu wartawan bahawa lebih daripada 120 daripada 222 Ahli Parlimen negara itu menyokong usahanya untuk menumbangkan kerajaan tujuh bulan Perdana Menteri Muyhiddin Yassin yang tidak dipilih menerusi pilihan raya. Namun, beliau enggan mendedahkan nama Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Pada Jumaat, polis menyoal siasat Anwar selama dua jam mengenai senarai penyokongnya yang tular setelah menerima lebih 113 aduan mengenainya.

"Saya memberitahunya (penyiasat itu) bahawa perkara itu adalah berkenaan saya dan Yang di-Pertuan Agong dan bukannya berkaitan polis atau urusan politik menteri dalam negeri yang mengarahkan polis supaya menyiasat tentangnya," kata Anwar.

"Ini jelas merupakan gangguan politik yang jahat dan, daripada pemahaman saya, ada arahan politik yang jelas kepada polis kerana cara soalan diajukan dan isu-isu yang dibangkitkan - semata-mata mengenai isu Ahli Parlimen - siapa mereka, apa nama mereka, ” kata Anwar kepada wartawan.

Pemimpin pembangkang itu juga mengesahkan bahawa polis turut menyoalnya mengenai kes liwat, jenayah yang menyebabkan beliau dipenjarakan sebanyak dua kali tetapi mendapat pengampunan diraja pada 2018 daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

"Ya (itu) biasa. Ini hanyalah rencana politik untuk menekan  saya dalam saat-saat genting ini, ”kata Anwar.

Penganalisis James Chin dari University of Tasmania berkata ada  kemungkinan pihak Muhyiddin akan berusaha mengenal pasti Ahli Parlimen yang berikrar menyokong Anwar.

"Ya, tidak ada yang tahu siapa yang menyokong siapa. Pada  Februari lalu, beberapa Ahli Parlimen menyokong kedua-dua belah pihak,” katanya kepada BeritaBenar tanpa mengulas lanjut.

Usul tidak percaya

Sementara itu, Muhyiddin mungkin menghadapi undi tidak percaya pada sidang Parlimen akan datang, yang bermula pada 2 November. Enam Ahli Parlimen termasuk lima yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah mengemukakan usul itu pada Khamis supaya ia dibentangkan pada sidang berkenaan yang akan berlangsung hingga 23 Disember.

Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik, yang mewakili parti baru pimpinan Mahathir iaitu Pejuang, berkata lima Ahli Parlimen parti itu mengemukakan usul tersebut.

"Keputusan ini diambil kerana kegagalan Perdana Menteri  untuk mentadbir negara ini semasa pandemik COVID-19 dan juga keraguan tentang majoriti yang menyokongnya," kata Maszlee.

Mahfuz Omar, Ahli Parlimen parti Amanah, mengemukakan usul itu pada lewat Jumaat.

Mahathir pula menghantar usul sama pada 8 Mei, lebih dua bulan selepas Muhyiddin menggantikannya pada 1 Mac.

Mahathir dan Anwar bergabung tenaga pada 2018 untuk menerajui Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan yang menakjubkan pada pilihan raya umum 2018 dengan menewaskan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) selepas 61 tahun memimpin Malaysia.

Mahathir menjalinkan perjanjian dengan Anwar untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya dalam masa dua tahun, tetapi kerajaan baru itu tumbang pada akhir Februari berikutan pertikaian mengenai siapa yang harus menggantikan Mahathir.

UMNO merupakan parti utama dalam kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin tetapi pada Selasa, UMNO mengumumkan bahawa ia sedang menimbangkan untuk menarik diri daripada  kerajaan gabungan itu, yang boleh membawa kepada kejatuhannya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.