Malaysia gesa China tingkat momentum projek-projek BRI untuk rancakkan ekonomi
2023.03.30
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Malaysia pada Selasa menggesa China untuk merancakkan semula projek-projek yang berada di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), dengan para penganalisis berpandangan Anwar Ibrahim sedang menyasarkan pelaburan dari rakan dagang terbesar negaranya.
BRI, sebuah program pembangunan infrastruktur antarabangsa yang diterajui Beijing, adalah contoh yang baik bagi kerjasama rentas negara, ujar Anwar dalam dalam sesi pleno di Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) yang berlangsung di Hainan, China.
Penyertaan beliau dalam forum tersebut adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja empat-harinya ke negara itu yang merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke republik berkenaan selepas mengetuai kerajaan.
“Menterjemah perancangan yang gah kepada realiti praktikal, penyatuan dan kerjasama adalah contoh terbaik dalam merealisasikan Inisiatif Jalur dan Jalan. Dengan pandemik telah melangkaui kita, kita perlu memulihkan semula momentumnya (BRI),” kata Anwar ketika menggulung ucapannya.
Sebelum itu, Anwar dengan nada berhemah turut menyarankan China untuk mengutamakan demokratik akauntabiliti, etika, kejujuran, integriti dan kerjasama berbanding persaingan dalam menangani hubungan dua hala dan pelbagai hala.
Ucapan Anwar itu muncul tatkala projek-projek BRI di wilayah Asia Tenggara dilihat semakin diperhatikan.
Anwar seterusnya meminta China dan negara-negara lain untuk menyedari keperitan harian yang dilalui oleh majoriti populasi dunia tatkala krisis kos sara hidup global semakin meruncing, selain populasi Asia yang semakin menua.
“Selaras dengan itu, kita perlu bekerja dengan rapat dalam semangat kerjasama dan penyatuan, berusaha ke arah mengurangkan ketidakseimbangan, mengangkat keadilan sosial dan meningkatkan standard kehidupan untuk semua,” ujarnya lagi.
Dalam konteks mengangkat urustadbir yang baik dan keadilan sosial ini, Anwar mengesa China untuk menggerakkan semula projek-projek BRI.
Anwar dijadualkan bertemu dengan Presiden Xi Jinping - pemimpin yang merencana gagasan BRI serta pengurusan kanan pemaju projek landasan berkembar Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), China Communications Constructions Co dalam siri lawatannya ke China.
Peluang pelaburan
Sejak tahun 2009, China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia. Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM487.13 bilion (A.S$110.62 bilion), peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun 2021.
Pakar hubungan Malaysia-China dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Lee Pei May, percaya Anwar cenderung untuk menarik lebih banyak pelaburan China ke negaranya dalam era pasca-pandemik.
“Saya berpandangan beliau yakin bahawa era pasca-pandemik adalah waktu yang sesuai untuk menarik pelaburan baharu oleh kerana projek-projek besar mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mengelakkan kemelesetan ekonomi global sebagaimana yang dijangkakan oleh sebahagian ahli ekonomi,” katanya kepada BenarNews.
“Saya percaya hasrat Anwar adalah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi pada pasca-pandemik. Saya fikir beliau sangat berwaspada terhadap persaingan geo-politik di antara Amerika Syarikat (A.S) dan China.
“Sedang AS cuba menyekat akses China kepada cip mikro dan peralatan membuat cip mikro, China dan Malaysia berkemungkinan cuba mencari jalan bagaimana untuk mengatasi semua sekatan tersebut. Berkemungkinan peralihan rantaian bekalan semikonduktor dari China ke Asia Tenggara, dengan itu Malaysia boleh membuka peluang kepada China,” jelasnya lagi.
Biarpun nilai import cip mikro oleh China sedikit menurun pada tahun 2022, ia masih kekal sebagai import terbesar negara itu, dengan nilai A.S$415.6 billion pada tahun 2022, menurut data pihak Kastam China.
Manfaat kepada Malaysia
Sentimen yang sama turut diutarakan oleh Chong Ja Ian, seorang pakar polisi luar China dan Asia Tenggara dari Universiti Singapura.
“Jelas sekali Anwar berhasrat untuk membina hubungan dagang dan pelaburan dengan China. Jika ia dibuat dengan cara yang betul, hubungan itu jelas sekali akan membuahkan manfaat kepada ekonomi Malaysia.
“Justeru, Beijing terpaksa menyelamatkan pelaburan-pelaburan berisiko BRI tatkala ekonominya sedang perlahan di samping berdepan dengan lonjakan hutang kerajaan tempatan. Berapa banyak lagi yang China mampu realisasikan – berbanding hanya berjanji-pelaburan di mana-mana, termasuk di Malaysia kekal menjadi persoalan,” katanya kepada BenarNews.
Wujud kebimbangan yang berterusan tentang bagaimana untuk mengekang manipulasi keuntungan dan rasuah, mengurangkan impak negatif tempatan, serta kelestarian alam sekitar yang hadir dalam mana-mana pembangunan infrastruktur besar yang biasanya dikaitkan dengan BRI, ujar beliau lagi.
Menurut beberapa laporan media sebelum ini, yang memetik sumber-sumber dalam kerajaan, pembinaan Laluan Rel Pantai Timur yang bernilai RM74.96 billion (AS$16.95 billion) di Malaysia dan Projek Landasan Elektrik Berkembar Gemas-Johor Bahru yang disokong oleh China, telah 85 peratus siap.
Selain itu, syarikat-syarikat China juga terlibat secara aktif dalam kerja-kerja eksplorasi mineral nadir bumi di negeri-negeri Kedah dan Perak.
Malaysia sebelum itu telah membatalkan projek projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai RM4.06 billion yang sepatutnya dibangunkan oleh syarikat milik kerajaan China pada tahun 2018, namun telah menggerakkan semula projek itu pada tahun 2021.
Status terkini projek-projek lain BRI yang melibatkan Malaysia, antaranya Multi¬Product Pipeline (MPP) in Semenanjung Malaysia, Melaka Gateway, pelebaran Pelabuhan Kuantan, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, the Taman Perindustrian China Malaysia Qinzhou, Pelabuhan Informasi China-ASEAN di Nanning serta Landasan Kereta api Singapura-Kunming, tidak dapat diperolehi dari sumber-sumber rasmi.
Lima organisasi masyarakat sivil di Asia Tenggara dan Pasifik yang menggerakkan projek BRI Monitor telah menyarankan kerajaan-kerajaan yang terlibat meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan standard urus tadbir berkaitan projek-projek BRI di rantau itu.
Bagaimanapun, Chong berpandangan yang Malaysia adalah salah sebuah negara yang bakal menikmati manfaat ekonomi daripada peningkatan persaingan AS-China ke atas teknologi, selain dari peningkatan ketidaktentuan berhubung persekitaran kawal selia China.
“Untuk menguruskan risiko, syarikat-syarikat dilihat akan melupuskan pelaburan di China. Ini jelas apabila melihatkan para pengeluar semikonduktor berwaspada terhadap risiko terperangkap dalam sekatan AS, kawalan China, dan kerapuhan rantaian bekalan.
“Malaysia menawarkan lokasi yang menarik untuk melupuskan pengeluaran semikonduktor (di China) kerana ia sedia memiliki infrastruktur dan kepakaran yang kukuh untuk mengendalikan pengeluaran berkaitan. Persekitaran ekonomi domestiknya juga secara relatif adalah stabil.
“Begitupun, saya meragui ini adalah perkara yang akan ditekankan oleh Anwar semasa lawatannya memandangkan ia mungkin akan mencetuskan kemarahan negara tuan rumah, susulan persaingan yang semakin sengit di antara AS-China. Beijing sama sekali tidak mahu dilihat sebagai pihak yang berada di bawah tekanan,” kata Chong kepada BenarNews.
Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang dalam laporan ini.