Anwar Ibrahim Fail Saman Dari Penjara Halang Akta MKN
2016.08.02
Kuala Lumpur

Pemimpin pembangkang yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, pada Selasa memfailkan saman bagi mencabar undang-undang keselamatan, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang boleh menggugat sistem demokrasi Malaysia dengan memberikan lebih banyak kuasa kepada Perdana Menteri Najib Razak, menurutnya sehari selepas akta tersebut dikuatkuasakan.
Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Selasa menerusi peguamnya N. Surendran, R. Sivarasa dan Latheefa Koya yang menamakan kerajaan Malaysia dan MKN sebagai defendan pertama dan kedua.
Peguam Anwar, N. Surendran semasa dihubungi BeritaBenar mengesahkan mengenai pemfailan saman itu kepada BeritaBenar dengan berkata, 1 haribulan Ogos adalah hari yang gelap dalam sejarah Malaysia apabila MKN dikuatkuasakan.
“Anwar memfailkan saman ini untuk mewujudkan semula demokrasi di negara ini, " kata Surendran semasa dihubungi.
Peguam itu memberitahu, dalam permohonan berkenaan, Anwar mendakwa Akta MKN melanggar nilai-nilai yang wujud di dalam perlembagaan, dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.
Saman Anwar itu juga memohon untuk dibatalkan akta berkenaan dengan alasan ia memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk meluluskan undang-undang keselamatan negara itu, kata Surendran.
Anwar, 68 turut mendakwa, melalui pindaan tersebut Fasal 66(4) telah diubah sedangkan parlimen tidak mempunyai kuasa meminda perlembagaan persekutuan khususnya Fasal 66 untuk menukar struktur asasnya.
"Kuasa Parlimen untuk menggubal undang-undang keselamatan adalah terhad kepada Fasal 149 Perlembagaan Persekutuan. Akta MKN tidak digubal mengikut Fasal 149 maka ia tidak selari dengan perlembagaan dan tidak sah," kata Anwar dalam samannya itu.
Anwar turut memohon deklarasi bahawa Seksyen 12 Akta Perlembagaan (pindaan) 1983 (A566); Seksyen 2 Akta Perlembagaan (pindaan) 1984 (A584) dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan (pindaan) 1994 (A885) tidak mengikut perlembagaan, batal, tidak sah dan tiada kesan.
Beliau yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menuntut deklarasi berbangkit bahawa Fasal 66(4) dan Fasal 66(4A) Perlembagaan Persekutuan yang diperkenalkan oleh Akta Perlembagaan (Pindaan) (A885) tidak mengikut perlembagaan, tidak sah dan terbatal.
Turut dituntut olehnya ialah satu deklarasi bahawa akta MKN tidak mengikut perlembagaan dan terbatal, serta perintah injunksi yang menghalang MKN, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, bertindak melalui akta MKN.
Najib memperkuatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri pada Isnin apabila undang-undang baru, yang memperluaskan jangkauan kuasa MKN, mula berkuatkuasa.
Di bawah Akta MKN, pemimpin Malaysia yang dilanda masalah itu, diberi kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan selama enam bulan, tertakluk kepada pembaharuan. MKN kemudian boleh memerintahkan penempatan mana-mana pasukan keselamatan atau kakitangan kerajaan di kawasan berkenaan.
Undang-undang itu juga memberi kuasa kepada MKN untuk menahan, mencari maklumat dan menangkap individu, dan juga untuk masuk serta menggeledah mana-mana premis dan merampas harta tanpa waran, kata pakar undang-undang.
Parlimen Malaysia telah meluluskan rang undang-undang MKN tanpa pindaan pada Disember, dan Majlis Raja-Raja - sebuah badan yang dianggotai sultan, raja dan yang dipertua negeri yang kebiasaannya memberikan perkenan diraja kepada sesuatu rang undang-undang 30 hari selepas ia dipersembahkan kepada raja - tidak pernah memberi perkenan kepada rang undang-undang itu.
Pada Februari lepas, Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa beberapa peruntukan di dalam undang-undang itu perlu diperincikan
Anwar semasa menjadi pemimpin pelajar pernah dipenjarakan selama 20 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA] pada 1974, yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan, turut berkempen agar akta berkenaan dimansuhkan kerajaan.
Bagaimanapun, selepas menyertai parti pemerintah dan kepimpinan kerajaan pada tahun 1982, beliau tidak pernah berusaha untuk memansuhkan akta tersebut.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara yang kedua di Penjara Sungai Buloh untuk tempoh lima tahun atas kesalahan meliwat. Hukuman penjara terdahulu adalah selama enam tahun dari tahun 1999 sehingga 2007.
Senjata bagi mencabuli hak
Timbalan Pengarah Human Rights Watch Asia, Phil Robertson, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat bimbang terhadap akta baru itu yang kerajaan Malaysia mendakwa bertujuan untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman keganasan, dan sebaliknya mungkin akan digunakan sebagai senjata untuk mencabuli hak asasi rakyat.
Berdasarkan rekod kerajaan Malaysia yang mengganggu, mengancam dan menahan para pengkritik kerajaan, kemungkinan berlakunya penyalahgunaan undang-undang baru ini benar-benar menakutkan, katanya.