Aktivis rayu Perdana Menteri Malaysia sokong perjuangan Uyghur

Anwar menyuarakan simpati terhadap etnik Uyghur namun, beliau menyatakan bahawa ia adalah 'masalah dalaman' China.
Oleh Ekrem untuk Radio Free Asia
2023.04.26
Aktivis rayu Perdana Menteri Malaysia sokong perjuangan Uyghur Abdulhakim Idris (tengah), pengarah Pusat Pengajian Uyghur di Washington, D.C., bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) pada majlis iftar di Kuala Lumpur, Malaysia, 19 April 2023.
[Ihsan Ekrem bagi RFA]

Seorang aktivis terkemuka Uyghur telah mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim supaya menyokong kumpulan etnik Muslim yang teraniaya itu di wilayah Xinjiang, yang terletak di barat laut China.

Abdulhakim Idris, pengarah Pusat Pengajian Uyghur di Washington DC, telah bertemu dengan Anwar pada Rabu lalu semasa satu majlis iftar diadakan di sebuah pusat Islam di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Iftar merujuk kepada amalan berbuka puasa dengan memakan juadah selepas matahari terbenam pada bulan mulia, Ramadan, yang berakhir di kebanyakan negara pada 20 April.

“Kami dimaklumkan lebih awal bahawa Anwar Ibrahim, perdana menteri Malaysia, akan menghadiri majlis iftar ini, jadi saya telah menyediakan sepucuk surat untuk diberi kepadanya dengan kandungan surat ini menggambarkan keadaan semasa penduduk Uyghur,” kata Abdulhakim kepada Radio Free Asia (RFA) yang bersekutu dengan BenarNews.

Pada majlis itu, Anwar telah menyampaikan ucapan di mana beliau menzahirkan bahawa beliau akan melindungi semua umat Islam yang ditindas di seluruh dunia, dan menyuarakan simpati kepada etnik Uyghur, kata Abdulhakim. Pada 2018, Anwar telah menuntut kerajaan China supaya membenarkan kebebasan beragama dan kebebasan pergerakan untuk etnik Uyghur.

Bagaimanapun, semasa lawatannya ke China kira-kira tiga minggu lalu, Anwar mengambil pendekatan lepas tangan dengan menyatakan bahawa isu Uyghur adalah "masalah dalaman kerajaan China."

Beberapa panggilan telah dibuat ke pejabat perdana menteri Malaysia itu pada Selasa namun ia tidak dibalas.

Kerajaan di kebanyakan negara majoriti penduduk Islam tidak lantang memperkatakan tentang Uyghur kerana bimbang ia boleh membangkitkan kemarahan China, dengan banyak daripada negara berkenaan mempunyai projek perdagangan dan infrastruktur yang penting di bawah Inisiatif Lingkaran dan Laluan China.

Abdulhakim telah menekankan tentang keadaan tidak menentu etnik Uyghur di Turkistan Timur, nama pilihan etnik Uyghur untuk Xinjiang, dan meminta bantuan perdana menteri berkenaan.

Di akhir pertemuan itu, beliau telah menghadiahkan Anwar sebuah doppa iaitu topi tradisional Uyghur berserta surat dan salinan buku tulisannya bertajuk “Menace: China’s Colonization of the Islamic World & Uyghur Genocide”.

Layani kedua-dua pihak?

Erkin Ekrem, naib presiden Kongres Uyghur Sedunia dan profesor madya bidang sejarah di Universiti Hacettepe di Turkiye berkata bahawa Anwar, sebagai ahli politik berpengalaman, berkemungkinan sekadar melayani kedua-dua pihak China dan Uyghur.

"Beliau tidak menyebut mengenai isu Uyghur semasa lawatannya ke China tiga minggu lalu," kata Erkin kepada RFA. "Beliau kembali ke Malaysia selepas menyuarakan hasratnya untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara tersebut."

“Kata-kata yang diungkapkan beliau kepada delegasi Uyghur tiada maknanya kecuali sekadar taktik politik,” katanya. "Jika mereka tidak melakukan apa-apa, oleh itu mereka boleh berkata 'kami tidak mampu melakukan lebih banyak lagi.’

China telah berkata bahawa kem-kem yang terdapat di Xinjiang adalah pusat-pusat latihan kerjaya yang bertujuan untuk mencegah ekstremisme agama dan keganasan di wilayah bergolak itu, dan sermuanya telah pun ditutup.

Tetapi, etnik Uyghur yang ditahan di kem-kem itu telah mengemukakan bukti yang boleh dipercayai mengenai penyeksaan, serangan seksual dan perlakuan buruh paksa, yang mendorong kerajaan Amerika Syarikat dan beberapa Parlimen Barat untuk mengisytiharkan penderaan itu menyamai pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.