Pompeo Ulangi Kecaman Tindakan ‘Pencerobohan’ China, AS Komited Kepada Asia Tenggara

Staf BeritaBenar
2020.09.11
Washington
200911-pompeo-620.jpg Menteri Luar Vietnam Pham Binh Minh (kiri) dan Setiausaha Negara A.S Mike Pompeo (tengah pada skrin video) mengambil bahagian dalam Mesyuarat Menteri ASEAN-A.S secara dalam talian. 10 September 2020.
(AFP)

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Jumaat mengulangi komitmen Washington kepada Asia Tenggara serta menuduh China melakukan “pencerobohan” di Laut China Selatan dan memanipulasi aliran Sungai Mekong semasa musim kemarau.

Sambil membangkitkan mengenai pelaburan AS di rantau itu dan sokongan terhadap tindak balas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam menangani COVID-19, Pompeo berkata Washington akan lantang bersuara dalam mendepani "ancaman China terhadap kemampuan negara-negara berdaulat untuk membuat pilihan bebas."

"Kami berdiri bersama-sama rakan-rakan ASEAN dengan kami mahukan pematuhan undang-undang dan menghormati kedaulatan di Laut China Selatan, di mana Beijing terus menerus melakukan tindakan pemaksaan dan pemusnahan alam sekitar secara agresif," kata Pompeo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada sidang kemuncak para diplomat ASEAN yang diadakan secara dalam talian minggu ini dan dipengerusikan oleh Vietnam.

Diplomat tertinggi AS itu menuduh China memburukkan lagi keadaan kemarau di negara-negara yang terletak di hiliran Sungai Mekong.

"Kami menyokong ketelusan dan rasa hormat di wilayah Mekong, di mana PKC [Parti Komunis China] bersubahat dengan penyeludupan senjata dan narkotik serta memanipulasi empangan hulu secara unilateral hingga menyebabkan paras kekeringan yang mencatatkan sejarah," kata Pompeo.

Kenyataan beliau tidak disertakan bukti bagi menyokong dakwaan bahawa PKC membantu penyeludupan senjata dan dadah.

Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam bergelut dengan aliran air yang berubah-ubah di Sungai Mekong, yang menyokong kehidupan puluhan juta orang. Dengan taburan hujan rendah menyebabkan kemarau, aktivis alam sekitar berkata empangan binaan China di hulu sungai itu telah memburukkan lagi keadaan.

Ketegangan kian meningkat


Kecaman Pompeo menunjukkan hubungan AS-China kian merosot susulan beberapa isu sejak beberapa bulan lalu termasuk perdagangan, status Hong Kong, nasib umat Islam Uyghur dan penegasan China mengenai "hak bersejarahnya" terhadap sebahagian besar Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

Pada Khamis, Pompeo menggesa negara-negara Asia Tenggara supaya mempertimbangkan semula urusan perniagaan dengan 24 syarikat China yang diletakkan dalam sekatan oleh Washington pada bulan lalu kerana peranan mereka dalam pembinaan pulau buatan Beijing di Laut China Selatan.

Sejak beberapa tahun lalu, Beijing telah melakukan penambakan besar-besaran di kawasan yang menjadi pertikaian dalam rantaian kepulauan Paracel dan Spratly.

Negara-negara ASEAN iaitu Brunei, Malaysia dan Filipina juga mempunyai tuntutan wilayah di Laut China Selatan serta berusaha untuk memanfaatkan sumber-sumber di kawasan itu yang turut dituntut oleh China.

Beijing juga menuntut bahagian laut yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia, iaitu negara anggota terbesar dalam ASEAN.

Baru-baru ini, Beijing menuduh AS campur tangan dalam urusan di rantau ini. Pada Rabu, Menteri Luar negara itu Wang Yi menggelar AS sebagai "pendorong tindakan penenteraan di Laut China Selatan," lapor media China.

"Amerika Syarikat menjadi faktor paling berbahaya yang menjejaskan keamanan di Laut China Selatan," kata Wang pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asia Timur.

Negara-negara Asia Tenggara tidak senang dengan keadaan yang menyebabkan  mereka terjebak dalam perang mulut antara AS dan China.

Dalam pernyataan bersama ASEAN yang diumumkan pada Khamis, persatuan itu, yang beroperasi secara konsensus, menyuarakan keprihatinannya terhadap peningkatan ketegangan di Laut China Selatan dan meminta supaya pertikaian itu diselesaikan mengikut Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut, atau UNCLOS.

Sehari sebelum itu, Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi memberitahu wartawan bahwa negara-negara persatuan itu tidak mahu "terjebak dalam persaingan antara kuasa besar." Vietnam pada Rabu juga menyatakan bahawa perselisihan itu mengancam kestabilan serantau dan negara-negara berkenaan perlu menyelesaikan perbalahan sengit  dengan mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982.

Walaupun kenyataan tegas AS pada Jumaat dikeluarkan oleh Pompeo, jadual umum Jabatan Negara menunjukkan bahawa timbalannya, Stephen Biegun, yang mengetuai delegasi AS semasa mesyuarat maya ASEAN pada hari berkenaan.

Pompeo berada di Timur Tengah bagi menghadiri perasmian rundingan damai Afghanistan.

Sidang kemuncak ASEAN berakhir pada Sabtu selepas Forum Serantau ASEAN mengenai keamanan dan keselamatan. Forum itu  disertai 27 negara merangkumi 10 anggota ASEAN, India, Jepun, China, AS, Rusia dan Kesatuan Eropah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.