Pemimpin ASEAN Tegaskan Pentingnya Ruang Udara Bebas Di Laut China Selatan

Ahmad Syamsudin & Ronna Nirmala
2020.06.26
Jakarta, Indonesia
200626-SEA-asean-620.jpg Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc (tengah dan dalam paparan) menyampaikan ucapannya kepada para pemimpin serantau semasa Sidang Kemuncak ASEAN secara maya dari Hanoi, 26 Jun 2020.
(AFP)

Pemimpin-pemimpin Asia Tenggara pada Jumaat menggesa supaya ruang udara bebas dikekalkan di Laut China Selatan, dalam reaksi mereka kepada laporan bahawa Beijing merancang mewujudkan zon pertahanan udara sebagai sebahagian daripada usaha perluasannya di wilayah maritim yang menjadi pertikaian banyak negara.

Semasa menyertai satu sidang kemuncak secara maya yang dipengerusikan oleh Vietnam, ketua-ketua kerajaan dari 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara juga membincangkan usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi serantau berikutan kesan berterusan akibat pandemik koronavirus. Para pemimpin dari Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand mengeluarkan kenyataan sebagai tambahan kepada pernyataan visi ASEAN, yang menjelaskan kesediaan mereka untuk bekerjasama dalam usaha pemulihan COVID-19.

Berhubung Laut China Selatan, pernyataan visi itu menyatakan bahawa negara-negara anggota bersetuju untuk "terus menegaskan tentang  pentingnya menjaga dan menggalakkan keamanan, keselamatan, kestabilan, jaminan keselamatan dan kebebasan navigasi dan penerbangan di Laut China Selatan."

Negara-negara ASEAN itu "seterusnya menekankan pentingnya aspek bukan ketenteraan dan kawalan kendiri dalam melakukan aktiviti yang boleh merumitkan atau meningkatkan pertikaian dan menjejaskan keamanan dan kestabilan, serta mengelakkan tindakan yang boleh merumitkan lagi keadaan," kata pernyataan bersama itu.

Selain meneruskan usaha mencari "penyelesaian secara aman bagi pertikaian” dan memperakukan Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), negara-negara anggota ASEAN bersetuju untuk bekerjasama bagi mewujudkan "Tata Laku yang efektif dan substantif di Laut China Selatan."

Pada 2002, persatuan negara-negara Asia Tenggara itu dan China bersetuju melaksanakan Deklarasi Tata Laku, iaitu pernyataan prinsip mengenai bagaimana sikap pihak-pihak berkenaan di Laut China Selatan. Namun, untuk melengkapkan Kod Tata Laku itu dengan lebih terperinci dan mengikat ternyata jauh lebih sukar.

Kebimbangan ADIZ

Pada Khamis, Menteri Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana bersuara tentang laporan mengenai rancangan China untuk mewujudkan apa yang dikatakan sebagai Zon Identifikasi Pertahanan Udara (ADIZ) di ruang udara di laluan perairan yang dipertikaikan, dengan Beijing akan memantau semua pesawat yang melalui wilayah yang dituntutnya.

Wilayah maritim itu dituntut secara keseluruhan atau sebahagiannya oleh China, Taiwan dan empat negara ASEAN - Filipina, Malaysia, Brunei, dan Vietnam.

“Negara-negara akan menganggap ADIZ sebagai haram dan melanggar undang-undang antarabangsa. Mereka akan terus menggunakan perairan dan ruang udara ini, dan dengan demikian  terus meningkatkan ketegangan yang sudah pun memuncak serta boleh mengakibatkan nahas atau kesilapan perhitungan di laut dan di udara,” kata Lorenza kepada media Filipina.

ADIZ merupakan zon di mana semua pesawat awam mesti memberi identifikasi dan mengumumkan lokasi mereka. Di zon seperti itu, pesawat awam dikesan dan dikenal pasti sebelum memasuki ruang udara sesebuah negara, walaupun ADIZ tidak menyekat perjalanan keluar dan masuk daripada hadnya atau mewajibkannya ke atas pesawat tentera.

Sementara itu pada Rabu, komander Tentera Udara Amerika Syarikat Pasifik berkata tindakan China untuk melaksanakan ADIZ di Laut China Selatan boleh memberi kesan negatif terhadap keupayaan negara-negara untuk terbang, berlayar dan beroperasi di Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka "di mana sahaja undang-undang antarabangsa membenarkannya."

"Ini benar-benar bertentangan dengan arahan antarabangsa berdasarkan peraturan, dan ia bukan hanya berkaitan dengan PACAF [Pasukan Udara Pasifik] dan Amerika Syarikat, tetapi saya boleh katakana bahawa ia melibatkan banyak negara di rantau ini," kata Jeneral Charles Q. Brown Jr. kepada wartawan.

Kesan pandemik

Pada sidang kemuncak secara maya pada Jumaat, Presiden Filipina Rodrigo Duterte menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah menambah lapisan baru dalam perseteruan antara Amerika Syarikat dan China.

"Walaupun rantau kita sedang berjuang untuk membendung penularan COVID-19, insiden yang membimbangkan di Laut China Selatan pula berlaku," katanya semasa menyampaikan ucapan pada mesyuarat ASEAN itu. "Kami menggesa pihak-pihak berkenaan untuk menahan diri daripada meningkatkan ketegangan dan mematuhi tanggungjawab yang ditetapkan undang-undang antarabangsa."

Bercakap pada penghujung pertemuan maya dengan rakan sejawatnya dari seluruh rantau itu, tuan rumah sidang kemuncak itu Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc berkata para pemimpin ASEAN telah bersetuju untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.

"Perselisihan tidak dapat dielakkan, namun kami menggesa pihak-pihak berkenaan supaya menahan diri dan menghindari tindakan yang boleh merumitkan keadaan dan mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa," katanya.

Phuc mengatakan bahawa China dan Amerika Syarikat adalah rakan penting bagi ASEAN dan negara-negara lain di dunia.

"Kami tidak mahu memilih satu pihak berbanding pihak yang lain," katanya. "Dan kerjasama untuk kepentingan bersama, bagi keamanan dan masa depan serantau, kami bersedia melakukan itu dengan semua negara termasuk China dan AS."

Era pascapandemik

Semasa menyampaikan ucapan kepada rakan sejawatnya, Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo berkata kerjasama antara negara-negara ASEAN dapat menjadi pendorong kepada kestabilan di seluruh Asia Tenggara dalam era pascapandemik.

"ASEAN mesti bertindak sebagai penjaga untuk mengelak rantau kita menjadi arena unjuran kuasa oleh negara-negara besar," kata Jokowi.

Phuc berkata pandemik COVID-19 sedang "meniup api cabaran terpendam" secara politik, ekonomi dan sosial.

Jumlah kes koronavirus di Asia Tenggara, yang dihuni kira-kira 650 juta orang, mencecah hampir 140,000 dengan hampir 4,000 kematian, kata para pegawai. Di peringkat global, COVID-19 telah menjangkiti lebih 9.6 juta orang dan membunuh lebih 490,000 orang, menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpejabat di Amerika Syarikat.

"Konflik sosial yang berpunca daripada perbezaan sosial, diskriminasi dan stigma menjadi semakin buruk berikutan pandemik itu, yang memperluaskan lagi jurang antara negara," kata Phuc.

“Dalam konteks sedemikian, negara-negara perlu mendukung semangat perpaduan, kerjasama dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat antarabangsa. Peranan dan misi negara-negara besar, serta organisasi multilateral dan serantau menjadi lebih besar berbanding sebelum ini, ”katanya.

Dalam kenyataan mereka, para pemimpin ASEAN berkata mereka komited untuk melaksanakan pelan pemulihan ekonomi yang komprehensif bagi mengatasi kesan buruk pandemik itu terhadap kehidupan masyarakat "dengan meningkatkan lagi kestabilan dan ketahanan ekonomi serantau, memulihara hubungan rantaian bekalan sambil terus berwaspada dengan gelombang jangkitan kedua. "

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menggesa rakan-rakannya untuk bertindak pantas dengan merangka pelan pemulihan COVID-19.

"Masa tidak menyebelahi kita dan rantau ini, kita perlu memperjuangkan kelangsungan ekonomi kita," katanya.

"Sekiranya kita tidak melindungi ekonomi serantau kita, perbezaan pertumbuhan yang lebih meluas antara negara-negara ASEAN boleh menjejaskan objektif kita untuk melaksanakan integrasi ekonomi yang lebih besar," katanya.

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha pula mengusulkan tiga laluan agar ASEAN maju dalam era pasca-COVID-19, menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.

Langkah pertamanya ialah dengan meminta pelaksanaan pelan induk kesalinghubungan antara 10 negara itu. Beliau juga menggesa supaya dilakukan pelaburan dalam ekonomi digital dan melaksanakan usaha bagi mewujudkan kekebalan daripada potensi pandemik masa depan.

"ASEAN juga harus membangunkan kekuatan biodiversiti dengan menggunakan teknologi dan inovasi bagi menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai tinggi yang mesra alam," kata Prayuth.

Isu Rohingya: ‘Malaysia terus menanggung beban’

Muhyiddin Malaysia juga menggesa ASEAN supaya mencari jalan bagi menyelesaikan penderitaan pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di negeri Rakhine di Myanmar.

Malaysia, Thailand dan negara-negara lain di rantau ini telah dikritik sejak beberapa bulan lalu kerana menolak kemasukan bot-bot yang sarat membawa etnik Rohingya ke negara mereka.

Pada Khamis, seramai 94 etnik Rohingya tiba di wilayah Aceh selepas sekumpulan nelayan menemui bot kayu yang dinaiki mereka rosak di luar pesisir dan membawa mereka ke pantai. Negara jiran, Malaysia, pada awal bulan ini telah menunda masuk sebuah bot rosak yang membawa 269 etnik Rohingya.

Ketua pertahanan negara itu telah memberi peringatan bahawa pihaknya tidak akan menerima pelarian yang sedang ditahan di depot imigresen di Pulau Langkawi, dan kerajaan merancang untuk mengusir mereka.

“Malaysia terus menanggung beban krisis yang berpanjangan ini, yang nampaknya masih belum berakhir. Kami tidak lagi dapat menampung kerana sumber dan kapasiti kami sudahpun mencapai hadnya, ditambah pula dengan pandemik COVID-19,” kata Muhyiddin dalam ucapannya kepada anggota ASEAN. "Namun, Malaysia secara tidak adilnya diharapkan melakukan lebih banyak usaha untuk menampung para pelarian yang masuk."

Bot-bot yang sarat dengan etnik Rohingya itu telah berlayar dari Myanmar atau tenggara Bangladesh di mana lebih daripada 1 juta pelarian dari negeri Rakhine, Myanmar mendapatkan perlindungan di kem-kem di situ. Walaupun Bangladesh dan Malaysia menandatangani perjanjian penghantaran pulang pada November 2017, usaha untuk menghantar etnik Rohingya kembali ke negara asal mereka telah gagal dilakukan.

Jason Gutierrez di Manila, Hadi Azmi di Kuala Lumpur dan Pimuk Rakkanam di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.