Penangkapan Pekerja Tanpa Izin Dapat Reaksi Positif Dari Negara Asal
2016.11.29

Langkah kerajaan Malaysia untuk menangkap pekerja asing tanpa izin terutama dari Bangladesh mendapat maklum balas positif daripada kerajaan negara itu, yang kini sedang berusaha untuk menghantar tenaga buruhnya secara sah mulai bulan depan.
Setiausaha tambahan, Kementerian Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Jabel Ahmed berkata, tindakan Malaysia itu dibuat selepas membuka peluang kepada pekerja tanpa izin untuk mendaftar secara sah di sisi undang-undang negara itu.
“Tetapi sesetengah daripada mereka [pendatang/pekerja tanpa izin] tidak membuat pilihan yang dibuat oleh negara itu, jadi jika Malaysia mengambil tindakan tegas dengan menahan, ia tidak salah kerana mereka berhak untuk berbuat demikian," kata Jabel kepada BeritaBenar di Dhaka selepas diminta mengulas mengenai lebih 700 warga Bangladesh ditangkap di tapak pembinaan di Negeri Sembilan.
Pada Ahad lepas, kira-kira 936 pekerja asing tanpa izin termasuk 767 daripadanya warga Bangladesh, telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam Ops Ikrar Bersepadu yang diadakan sekitar Port Dickson.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Hapdzan Husaini memberitahu BeritaBenar operasi operasi yang bermula sejak pukul 8 pagi itu melibatkan 275 anggota dan pegawai dari Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka dengan bantuan beberapa jabatan lain termasuk Polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Jumlah yang ditahan dalam operasi yang berjalan selama lebih sembilan jam itu, melibatkan seramai 767 warga Bangladesh, Pakistan (80), India (50), Indonesia (22), Sri Lanka (13), Myanmar (3) dan Nepal (1) yang kesemuanya lelaki berusia antara 20 dan 50 tahun.
Hapdzan berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, kerana didapati bersalah melakukan pelbagai kesalahan Imigresen, termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih tempoh, memalsukan dokumen dan melanggar syarat pas.
Mereka kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, Lenggeng, Negeri Sembilan, katanya.
Baru-baru ini, Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Nurul Islam dan Menteri Sumber Manusia Malaysia Richard Riot telah mengadakan pertemuaan di Dhaka dalam usaha untuk membincangkan mengenai cadangan meneruskan pengambilan pekerja dari Bangladesh ke negara itu, yang berkuatkuasa pada awal minggu depan.
Berita mengenai perbincangan dua hala terkini di Dhaka itu telah menarik ramai penganggur ke Biro Tenaga Manusia, Pekerjaan dan Latihan Bangladesh di ibu negara tersebut dengan agensi-agensi merekrut mula berjanji untuk mencari pekerjaan bagi pelanggan mereka dengan kos 40,000 taka (AS$507) seorang.
Kira-kira 300,000 warga Bangladesh bekerja di Malaysia, menghantar kira-kira 110 bilion taka ($1.4 bilion) pulang ke tanah air setiap tahun, menurut perangkaan kerajaan.
Dalam pada itu, bekas Ketua Setiausaha Persatuan Agensi Perekrutan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) Ali Haider Chowdhury berkata, tindakan Malaysia itu bakal menjadi langkah penghantaran pekerja sah dari negara itu akan menjadi lebih mudah.
“Kami tidak menyokong kemasukan secara haram ke Malaysia sama sekali… Dan mereka yang telah pergi ke Malaysia secara haram, bukan saja memberi masalah kepada negara sendiri, tetapi juga masalah kepada keluarga.
Ali Hader juga berkata, penghantaran pulang pekerja tanpa izin dari Malaysia balik ke negara masing-masing tidak mempunyai apa-apa kesan keatas Bangladesh, kerana Malaysia telah bersetuju untuk mengambil lebih ramai tenaga pekerja asing yang mengikuti undang-undang.
Islam, bagaimanapun, tidak memaklumkan jumlah bilangan warga Bangladesh yang akan mencari pekerjaan secara sah di Malaysia, dengan Riot kembali ke Malaysia selepas lawatan dua hari beliau tanpa memberi kenyataan kepada media.
Sharifuzzaman Pintu turut menyumbang kepada laporan ini.