Malaysia Lanjut Tempoh Moratorium Bauksit Tiga Bulan Lagi
2016.04.08
Kuantan, Pahang

Malaysia bersetuju pada Jumaat untuk melanjutkan tempoh moratorium perlombongan bauksit di Pahang yang bakal tamat pada 15 April ini untuk tempoh tiga bulan lagi, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Keputusan pelanjutan yang dipersetujui oleh Kabinet Malaysia itu membolehkan stok simpanan bauksit sedia ada yang berjumlah hampir empat juta tan metrik dieksport.
"Dalam tempoh ini, semua stok simpanan perlu dikosongkan dan dieksport bagi membolehkan kawasan dibersihkan.Sekiranya dalam tempoh lanjutan tiga bulan ini tidak dapat diselesaikan (pengeksportan dan pembersihan bauksit), kita akan mohon kepada Kabinet untuk dilanjutkan," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur seperti dilaporkan oleh media tempatan.
Januari lepas, kerajaan Malaysia memutuskan untuk mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti pelombongan bauksit selama tiga bulan bermula 15 Januari setelah pelombongannya dipercayai tidak terkawal serta memberi kesan pencemaran yang buruk terhadap alam sekitar di negeri itu.
Kegiatan pelombongan bauksit di Kuantan dipercayai bermula sejak pertengahan tahun 2014 dan sekitar kawasan pelombongan, iaitu Bukit Goh, Balok, Gebeng sehingga ke Pelabuhan Kuantan, diancam dengan pelbagai pencemaran alam sekitar.
Perhalusi garis panduan
Pengerusi Pertubuhan Khazanah Alam (PEKA) Pahang Khaidir Ahmad semasa dihubungi BeritaBenar menyambut baik keputusan kerajaan itu dengan berharap garis panduan yang kemas akan dirancang sebelum aktiviti bauksit dijalankan kembali
“Saya nampak garis panduan bagi aktiviti bauksit masih tidak rapi. Jika hendak dijalankan semula, biarlah ia sifar pencemaran dan tidak menyusahkan rakyat,” katanya.
Katanya, PEKA tidak menentang pembangunan tetapi mahukan ia dilakukan secara tersusun kerana “difahamkan beberapa negara lain juga menjalankan pelombongan bauksit melakukannya mengikut standard prosedur yang betul.
Dalam pada itu Ahli Majlis Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Noor Jehan Abu Bakar pula berkata, pelanjutan itu akan memberikan peluang kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membuat usaha pemuliharaan tapak-tapak lombong bauksit yang masih merah dan terbiar.
“Tempoh lanjutan ini juga boleh digunakan untuk rundingan serta memperkemaskinikan garis panduan perlombongan dengan pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya kepada BeritaBenar.
Malaysia membekalkan lebih 40 peratus bahan mentah itu bagi menghasilkan aluminium untuk China yang menghasilkan kira-kira separuh daripada produk berasaskan aluminium di dunia seperti pesawat, rangka pintu dan bekas minuman.