Pengarah Filem Bangladesh dan 18 Lagi Ditahan Mengikut Undang-undang Keselamatan Malaysia

Hadi Azmi & Prapti Rahman
2017.12.27
Kuala Lumpur & Dhaka
171227-MALAYSIA-TRAFFICKING-620.jpg Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi (kiri) berbual dengan Luis CdeBaca, duta khas bagi pemerdagangan manusia Amerika Syarikat, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Malaysia, 10 Julai 2014.
[AP]

Seorang pengarah filem Bangladesh dan 18 individu lagi, yang ditahan di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu, akan berdepan pertuduhan melanggar undang-undang keselamatan Malaysia yang ketat, yang membenarkan pihak berkuasa menahan mereka sehingga 28 hari tanpa perbicaraan, kata pegawai pada Rabu.

Pengarah filem, Anonno Mamun, dan 18 rakyat Bangladesh yang lain ditahan di sebuah kondominium di pusat bandar Kuala Lumpur pada Ahad selepas pihak berkuasa menerima maklumat bahawa mereka terlibat memperdagangkan manusia menerusi penganjuran satu acara kebudayaan di negara ini, kata polis.

Kesemua 19 suspek itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), undang-undang yang digubal untuk menangani isu keselamatan dalam negara termasuk keganasan, kata Shaharuddin Abdullah, Ketua Polis daerah Dang Wangi yang meliputi Kuala Lumpur, kepada BeritaBenar.

"Ia (kes ini) sedang disiasat oleh Bukit Aman," kata Shaharuddin, merujuk kepada ibu pejabat polis Malaysia. "Mereka ditahan di bawah SOSMA."

SOSMA, yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kontroversi, membenarkan penahanan suspek sehingga dua tahun tanpa memerlukan pihak berkuasa menghadapkan mereka di mahkamah.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, kata pihak berkuasa.

Pengarah filem itu mengunjungi ibu negara Malaysia dari Dhaka pada 13 Dis bersama-sama 57 orang, termasuk penyanyi dan pelakon, bagi satu acara hiburan “Cinematic Bangladeshi Nights”. Ia diadakan di sebuah premis di pusat bandar Kuala Lumpur pada 23 Dis.

Pengendali majlis itu, Debashish Biswas, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau merasa "amat curiga" melihat Anonno tiba dengan sebegitu ramai orang di lapangan terbang di Kuala Lumpur.

"Semuanya nampak meragukan," katanya. "Tetapi pihak penganjur meminta kami supaya tidak merasa bimbang."

Selebriti Bangladesh berkenaan menghiburkan kira-kira 2,600 hadirin pada acara itu, kata Biswas, sambil memberitahu beliau dimaklumkan oleh beberapa pekerja Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen bahawa mereka telah membayar sejumlah wang taka, iaitu matawang Bangladesh, yang nilainya bersamaan dengan US$3,100 kepada ‘pengendali’ mereka.

Muhammad Shahidul Islam, pesuruhjaya tinggi Bangladesh ke Malaysia, pula berkata, beliau mendapati situasi itu sangat memalukan.

"Pihak penganjur tidak memaklumkan kepada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh sebelum program itu berlangsung," katanya sambil menjelaskan bahawa misi diplomatik di Kuala Lumpur itu hanya mengetahui tentang kejadian tersebut selepas polis menahan Mamun.

Acara ‘Cinematic Bangladeshi Nights’ menampilkan penyanyi Bangladesh seperti Asif Akbar, Ankhi Alamgir dan HM Rana, band rock Chirkutt, serta pelakon Anika Kabir Shokh, Mamnun Hasan Emon, Sakhawat Hossain Nirob dan Misty Zannat, dan beberapa model.

Malaysia, yang mempunyai 32 juta penduduk dengan majoritinya beragama Islam, mempunyai kira-kira 2 juta pekerja asing yang didaftarkan secara sah serta bilangan yang sama bagi pendatang asing tanpa dokumen, menurut organisasi bukan kerajaan.

Pada Julai tahun ini, Malaysia menahan lebih 5,000 orang asing dalam tindakan keras pihak Imigresen terhadap pendatang haram. Bangladesh dan Indonesia menduduki senarai pekerja asing tanpa izin yang ditahan, kata pegawai.

Sebagai ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Thailand, Malaysia menjadi destinasi popular bagi pekerja asing selepas ia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang teguh dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ogos, Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia berkata, akibat tindakan keras yang dilakukan pihak berkuasa di Malaysia, ramai pendatang asing hidup dalam ketakutan.

"Layanan buruk oleh anggota penguatkuasaan undang-undang, termasuk penahanan tanpa syarat dalam keadaan yang tidak menentu, juga merupakan suatu kebimbangan," kata Emmi De Jesus, seorang penggubal undang-undang Filipina, kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas mengadakan lawatan bagi mengumpul fakta selama empat hari.


Hareez Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.