Menjelang Perhimpunan Bersih, Malaysia Tangkap Pemimpin Penganjur
2016.11.18
Kuala Lumpur

Satu perhimpunan bantahan besar-besaran yang mengetengahkan dakwaan penglibatan Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal rasuah, akan diteruskan pada Sabtu di Kuala Lumpur walaupun pemimpin pergerakan itu serta dua belas ahli politik dan aktivis ditahan, kata penganjur.
Pemimpin kumpulan pro-kerajaan yang merancang perhimpunan balas serentak di ibu negara Malaysia itu turut ditahan awal Sabtu (waktu tempatan).
Jamal Md Yunos, pemimpin kumpulan Baju Merah, ditahan pada pukul 1.30 pagi di Shah Alam, Selangor, dan dibawa ke balai polis kawasan itu, kata kumpulannya, yang bersekutu dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib. Sebab bagi penangkapan Jamal tidak diketahui.
Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah sedang disiasat bagi aktiviti yang didakwa "menjejaskan demokrasi berparlimen," berikutan penangkapannya pada petang Jumaat di pejabat Bersih di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur, kata wakil-wakil kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Mandeep Singh, pengurus sekretariat Bersih, juga ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan negara itu yang berkaitan dengan merusuh, selepas polis menyerbu pejabat parti itu, kata pegawai Bersih.
"BERSIH 5 akan diteruskan seperti yang dirancang dan kami berharap tindakan keras pihak berkuasa tidak akan melunturkan semangat rakyat Malaysia untuk turut mennyertai perhimpunan itu esok bukan sahaja bagi menuntut perubahan institusi malah membantah ketidakadilan yang berlaku di negara ini," kata kenyataan mereka.
Para pemimpin Bersih mengecam serbuan dan tangkapan itu "sebagai penyalahgunaan kuasa dan gangguan semata-mata," sambil menambah kata bahawa "tidak ada waran atau sebab yang sah diberi bagi serbuan dan tangkapan itu."
Chin dan Singh ditahan di penjara di kawasan Kuala Lumpur semalaman dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah pada Sabtu, di mana pihak polis akan berusaha untuk menahan reman mereka, kata Melissa Sasidran, peguam bagi kedua-dua pemimpin itu, memberitahu BeritaBenar.
"Kami sedang menunggu maklumat terkini daripada pihak polis mengenai perkara itu," katanya.
Pada lewat Jumaat, Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh Ishar Singh dan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar tidak memberi makluman balas kepada permintaan BeritaBenar yang mahu mendapatkan maklumat mengenai tangkapan itu.
Human Rights Watch (HRW) mengecam tindakan menangkap Maria, Mandeep dan mereka yang berkaitan dengan perhimpunan Bersih pada Jumaat.
"Tangkapan bagi dakwaan yang sengaja direka ini semuanya adalah tentang cubaan untuk mencantas pergerakan Bersih 5 mejelang perhimpunan tersebut dengan memastikan pemimpin utama berada dalam penjara dan bukannya di jalanan esok," kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia HRW, kepada BeritaBenar menerusi e-mel.
"Sekiranya sesuatu itu menjejaskan demokrasi berparlimen, adalah menjadi hak kerajaan Malaysia untuk menyalahgunakan tindakan bagi menghalang orang ramai daripada menjalankan hak-hak mereka untuk bersuara dan mengadakan perhimpunan awam, dan mengambil tindakan jenayah terhadap mereka yang terus menuntut perubahan dan kebertanggungjawaban daripada pemimpin kerajaan."
Editor Malaysiakini didakwa
Sekurang-kurangnya 10 orang yang lain telah ditangkap polis menjelang perhimpunan yang dirancang itu. Menurut senarai yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini, mereka termasuklah Anthony Loke, seorang Ahli Parlimen pembangkang daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Ronny Liu, seorang aktivis DAP dan bekas ahli Exco Selangor, serta S. Arutchelvan, ahli jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Malaysiakini juga melaporkan seorang daripada yang ditahan dikenali sebagai Razali Zakaria, anggota kumpulan Baju Merah. Menurut New Straits Times Online, seorang lagi aktivis Baju Merah, Ariffin Abu Bakar (alias Ayah Ipin Keramat) adalah antara mereka yang ditahan pada Jumaat.
Sebelum itu pada pagi Jumaat, Ketua Pengarang Malaysiakini didakwa bagi empat pertuduhan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyiarkan video mengenai skandal rasuah yang membelenggui Najib yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarang Steven Gan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
'Perjuangan mereka palsu'
Skandal 1MDB menjadi tumpuan perhimpunan anjuran Bersih, gabungan NGO akar umbi yang menyokong ketelusan kerajaan serta pilihan raya yang bebas dan adil.
Najib telah menafikan dakwaan yang beliau mendapat manfaat daripada hampir AS $700 juta wang berkaitan 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.
Pada Khamis, Khalid mengisytiharkan perhimpunan Bersih dan Baju Merah sebagai haram, dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada kumpulan berkenaan supaya membatalkan demonstrasi yang dirancang mereka.
Menurut agensi berita nasional Bernama, Khalid berkata, kedua-dua perhimpunan yang dirancang itu "tidak mematuhi peruntukan undang-undang, khususnya Akta Perhimpunan Aman 2012."
Pihak berkuasa merancang menempatkan 7,000 anggota polis sekitar perhimpunan pada Sabtu ini dan bersedia untuk melumpuhkan sebarang keganasan antara kumpulan Baju Merah dan aktivis Bersih berbaju kuning, lapor New Straits Times.
Di laman web peribadinya, Perdana Menteri pada Jumaat membidas Bersih, yang telah menganjurkan empat perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, dengan yang pertama diadakan pada November 2007.
"Parti-parti pembangkang menggunakan NGO, yang kononnya tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan memerangi rasuah, untuk memberi tekanan kepada kerajaan melalui perhimpunan," katanya dalam catatan blog beliau.