Langgar Akta Imigresen Malaysia, 321 Rakyat China Dipenjara, Didenda

Nisha David & Ali Nufael
2019.12.13
Kuala Lumpur, Malaysia
191213-MY-CH-Court1000.jpg Kumpulan pertama warga China menunggu untuk memasuki ruang mahkamah sebelum pendakwaan dibuat keatas mereka di hadapan Hakim, atas kesalahan mengikut Akta Imigresen Malaysia telah dikawal rapi oleh pegawai di bangunan Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor, 13 Disember 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman empat bulan penjara terhadap 290 orang warga China manakala 31 lagi didenda RM5,000 (AS$1,209) setiap seorang selepas mengaku bersalah melanggar Akta Imigresen Malaysia dengan memasuki dan berada di negara itu tanpa pas yang sah.

Kesemua 321 warga China itu bersama 52 lagi yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan adalah kumpulan pertama seramai 371 daripada 680 warga itu yang ditahan dalam satu operasi Jabatan Imigresen Malaysia di Cyberjaya, pada 20 November lepas, menurut pegawai.

Kesemua 680 mereka didakwa terlibat dalam sindiket penipuan atas talian yang telah beroperasi sejak Jun lagi, dengan baki 307 lagi akan dihadapkan ke mahkamah yang sama Isnin depan, kata pihak pendakwaan.

Pada Jumaat Jabatan Imigresen membawa seramai 371 daripadanya yang dibahagikan kepada sepuluh kumpulan ke Mahkamah Syesen Sepang untuk dibicarakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah yang kemudiannya menjatuhi hukuman penjara kepada 290 warga itu bermula daripada tarikh mereka ditahan pihak berkuasa.

“Hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh kamu ditahan dan bagi mereka yang tidak dapat membayar denda pula, kamu akan dipenjarakan selama empat bulan.

“Kesemua akan dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman penjara atau membayar denda,” kata Hakim Tengku Shahrizam yang menjatuhi hukuman tersebut dalam Bahasa Malaysia yang kemudiannya dialih bahasa oleh empat jurubahasa kepada tertuduh dalam bahasa Mandarin.

Dalam pada itu, Ketua Pendakwaraya V Kasthuri Bai memberitahu bahawa mereka yang masih belum didakwa akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa di bawah kesalahan berkaitan Imigresen minggu hadapan.

“Jumlah selebihnya iaitu seramai 307 akan dibawa ke mahkamah pada Isnin untuk berdepan dengan pertuduhan,” kata beliau kepada BeritaBernar.

Ekoran jumlah tertuduh yang besar, dan dibawa masuk ke ruang mahkamah melalui sepuluh kumpulan,  prosiding mahkamah berlangsung hampir tiga jam, bermula dari 8 pagi lagi.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didapati memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan didakwa melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 (AS$2,418) atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah bertanggungan tidak lebih daripada enam sebatan.

Sebelum hakim menjatuhkan hukuman tersebut, pihak pendakwaan terlebih dahulu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran supaya menjadi iktibar kepada pendatang asing yang lain.

"Kami juga memohon mahkamah mengambil kira keseriusan kesalahan yang mana tertuduh ditangkap di dalam satu premis Internet. Keberadaan mereka di dalam premis itu adalah meragukan dengan mahu mencari wang di negara ini melalui penipuan," kata Kasthuri.

Hakim Tengku Shahrizam turut menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi 52 warga China yang mengaku tidak bersalah untuk pengesahan passport.

Kesemua 373 warga China itu diwakili oleh lapan barisan peguam yang meminta mahkamah mengenakan hukuman yang lebih ringan atas alasan mereka mempunyai pasport yang sah tetapi tiada pihak yang berani untuk tampil mengemukakan dokumen tersebut.

Pihak pendakwaan membalas hujuhan barisan peguam bela dengan mengatakan bahawa sehingga hari ini tiada seorang daripada tertuduh mengemukakan pasport mereka.

Pada Nov 20 lalu, Berita Benar melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 1,000 orang berada di dalam bangunan tersebut pada waktu serbuan namun ada yang berjaya melarikan diri selepas merempuh kepungan pegawai operasi.

Operasi jam 11 pagi itu dijalankan susulan dari maklumat orang awam mengenai kebanjiran warga China di bandar teknologi Cyberjaya, yang terletak 19.2 batu (31 kilometer) dari Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata bahawa tugas ahli sindiket itu adalah untuk menarik minat rakyat di China untuk membuat pelaburan di mana mereka menawarkan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat.

Beliau menambah walaupun operasi dijalankan di Malaysia, semua urus niaga dan pembayaran wang dimasukkan ke bank di China.

Hampir 1,000 rakyat China ditahan dalam tempoh sebulan

Sejak November, sebanyak 941 warga China telah ditangkap atas kesalahan penipuan atas talian di seluruh Malaysia.

Bermula daripada 20 November, seramai 680 ditangkap di Cyberjaya, diikuti enam hari selepas itu dengan seramai 104 warga China ditahan di Sabah, Sarawak [52] pada 29 November dan terakhir di Ipoh seramai 105 orang pada 9 dan 11 Disember.

Pada Rabu lalu, Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penipuan dalam talian yang melibatkan warga China dengan penahanan seramai 65 orang, termasuk empat wanita, di Ipoh, Perak.

Tiga hari sebelum itu, seramai 40 warganegara itu ditahan di Jalan Tun Dr Ismail, juga di bandaraya Ipoh.

"Semasa serbuan dibuat ke atas kedua-dua premis ini, Jabatan Imigresen telah merampas sebanyak 232 unit telefon bimbit, 45 komputer riba, 26 monitor komputer, 4 unit pemprosesan pusat (CPU), 1 mesin terminal kad kredit, 24 buah modem internet, 193 kad SIM baharu, 140 keping kad ATM dari pelbagai bank dari negara China, 7 keping kad kredit bank-bank dari negara China dan 47 kad pengenalan warga negara China," kata Khairul Dzaimee didalam satu sidang media pada Khamis.

Tambah Khairul Dzaimee, pihaknya menemui resit pembelian barangan dapur dari dua pasar raya di Kuala Lumpur dan tidak menolak kemungkinan mereka adalah saki baki yang berjaya meloloskan diri dari operasi di Cyberjaya pada 20 November lalu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.