Malaysia Bebaskan Nelayan Bot China Yang Menceroboh - Sumber

Nisha David
2020.10.22
Kuala Lumpur, Malaysia
MY-CH-boats-boats1000.jpg Tiga daripada enam bot nelayan China yang ditahan Malaysia awal bulan ini kerana didakwa memasuki perairannya tanpa kebenaran.
[Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia telah membebaskan semua anak kapal enam bot nelayan berbendera China yang ditahannya kerana menceroboh perairan wilayah di selatan negeri Johor awal bulan ini, kata sumber keselamatan kanan Malaysia kepada BeritaBenar pada Khamis.

Enam bot dan 60 nelayan itu ditahan di perairan wilayah di luar Tanjung Setapa yang terletak di tenggara Johor pada 9 Oktober, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada ketika itu.

Tiga hari selepas bot dan nelayan itu ditahan, China meminta Malaysia untuk menjalankan siasatan yang adil mengikut undang-undang.

"Semua nelayan China itu telah dibebaskan minggu lalu. Oleh kerana isu ini berkaitan dengan hubungan diplomatik, maka hal itu tidak dapat didedahkan kepada umum. Kami tidak akan mengeluarkan kenyataan,” kata sumber keselamatan itu kepada BeritaBenar pada  Khamis. Sumber itu enggan namanya disebut kerana beliau tidak diberi kebenaran untuk bercakap dengan media mengenai perkara itu.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa Malaysia turut melepaskan bot-bot nelayan China itu. Sumber itu enggan menjawab soalan lanjut.

Menurut APMM dalam kenyataannya selepas menahan bot berkenaan, semua nelayan itu akan disiasat mengikut Akta Perikanan Malaysia 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952. Akta itu adalah berkaitan dengan bot nelayan asing yang memasuki perairan Malaysia tanpa notis dan ordinan berkenaan pula mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman terhadap bot yang berlabuh tanpa kebenaran.

Sekiranya didapati bersalah, nelayan berkenaan masing-masing akan menghadapi hukuman penjara dua tahun. Selain itu, setiap kapten bot harus membayar denda maksimum RM6 juta (AS$1.45 juta) manakala anak kapal perlu membayar RM600,000.

Sumber itu enggan mengulas sama ada semua nelayan itu telah disiasat dan didenda.

Pegawai APMM, kedutaan China di Kuala Lumpur dan Kementerian Luar Malaysia juga enggan mengulas semasa BeritaBenar menghubungi mereka pada Khamis.

Pihak berkuasa maritim Malaysia amat serius dalam memastikan perairan negara sentiasa dilindungi, dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar undang-undang negara itu, kata pengarah wilayah APMM Mohd. Zulfadli Nayan dalam kenyataan media selepas enam bot itu ditahan.

Saling menuntut

Pencerobohan terbaru bot-bot China dalam perairan Malaysia berlaku lebih dua bulan selepas Malaysia menyatakan bahawa ia menolak "sembilan garisan putus" negara itu yang menunjukkan tuntutannya terhadap sebahagian besar Laut China Selatan.

Kenyataan itu adalah sebagai tindak balas terhadap China yang membantah tuntutan awal Malaysia pada Disember lalu, yang mengemukakan nota kepada PBB mengenai pentas benua diperluaskan di Laut China Selatan.

Pada  Julai, Ketua Audit Negara Malaysia memberitahu bahawa kapal pengawal pantai dan kapal tentera laut China menceroboh perairan Malaysia di laluan yang dipertikaikan itu sebanyak 89 kali di antara 2016 dan 2019. Kapal-kapal China ini sering berada di kawasan itu walaupun tentera laut Malaysia mengarahkannya beredar, kata kerajaan Malaysia.

Enam negara Asia yang lain turut membuat tuntutan wilayah atau sempadan maritim di Laut China Selatan yang bertindih dengan tuntutan besar China. Negara berkenaan ialah Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Walaupun Indonesia bukan pihak yang terlibat dalam pertikaian Laut China Selatan, Beijing menuntut hak bersejarah untuk bahagian-bahagian laut yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

Malaysia telah membantah aktiviti China dan AS di Laut China Selatan pada tahun ini.

Negara itu membantah "Sembilan garisan putus" China pada Julai lalu dan menyuarakan rasa tidak senangnya ketika Angkatan Laut AS mengerah kapal perang berhampiran kawasan kapal China mengganggu usaha cari gali minyak Malaysia pada April.

Pada ketika itu, Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein memberi isyarat dalam satu kenyataan bahawa langkah mengerah kapal-kapal berkenaan boleh meningkatkan lagi ketegangan dan membawa kepada ketidakstabilan "akibat salah perhitungan."

Pada Ogos, ketika China dan AS melobi negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia untuk mendapatkan sokongan, Hishammuddin menyatakan dalam akaun media sosialnya bahawa perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan mesti diselesaikan mengikut undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut atau UNCLOS.

China mengecam UNCLOS dan enggan menerima keputusan mahkamah antarabangsa 2016 yang menafikan sebahagian besar tuntutannya di Laut China Selatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.