Malaysia Minta Kaji Semula Projek Binaan Disokong China Berikutan COVID-19

Ray Sherman
2020.06.19
Kuala Lumpur, Malaysia
200619-MY-belt-620.JPG Seorang pekerja berjalan melepasi pembinaan terowong di projek Laluan Rel Pantai Timur di Dungun, Terengganu, Malaysia, 25 Julai 2019.
(Reuters)

Malaysia mahu projek-projek pembinaan yang dijalankan dengan China di bawah inisiatif Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) dikaji semula kerana rantau itu dan dunia sedang memerangi pandemik koronavirus.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein membangkitkan kebimbangan mengenai projek-projek itu semasa sidang video peringkat tinggi bersama-sama dengan lebih 24 negara pada Khamis. China menjadi tuan rumah mesyuarat itu, yang memberi tumpuan kepada kerjasama antarabangsa bagi pelaksanaan OBOR dan mengekalkan solidariti semasa memerangi COVID-19, yang telah menjangkiti lebih daripada 8.5 juta orang dan membunuh lebih 450,000 orang di seluruh dunia.

"Untuk perbincangan kita hari ini, adalah bermanfaat bagi kita untuk diberi nasihat tentang bagaimana inisiatif yang diumumkan sebelum ini di bawah Satu Jalur, Satu Laluan akan berkembang, terutamanya jika pandemik ini telah menyebabkan perancangan kita tergendala," kata Hishammuddin, berdasarkan transkrip kenyataannya yang dikeluarkan pada Jumaat.

"Sepertimana yang kita tahu, landskap global kini sudah berubah, dan perniagaan tidak dapat dijalankan seperti biasa. Adalah penting bagi kita untuk mendapat beberapa garis panduan tentang bagaimana perancangan masa depan akan disesuaikan dan diperincikan untuk membolehkan kita menghadapi situasi itu dengan lebih baik," katanya.

Dengan merujuk kepada kejayaan menangani penularan COVID-19, beliau berkata kerajaan Malaysia melonggarkan perintah kawalan pergerakan  bagi membolehkan sektor ekonomi kembali beroperasi.

Pelonggaran perintah kawalan pergerakan itu membolehkan kerja-kerja binaan disambung semula di Laluan Rel Pantai Timur yang dibiayai oleh China. Diluluskan pada 2016, projek OBOR telah dihentikan lebih setahun sebelum disambung semula pada  Julai 2019 setelah kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad ketika itu melakukan rundingan semula bagi menurunkan harganya sebanyak satu pertiga.

Satu Jalur, Satu Laluan adalah strategi geopolitik Beijing untuk membangunkan Laluan Sutera masa kini melalui rangkaian pelabuhan, landasan kereta api, jalan raya dan laluan perdagangan yang akan menghubungkan China ke pasaran di Asia Tenggara, Asia Selatan dan kawasan jangkauan lain.

Pada Jumaat, seorang pegawai Kementerian Luar China memberitahu bahawa kira-kira 20 peratus projek OBOR telah terjejas dengan serius akibat pandemik itu tetapi beliau tidak memberikan butiran terperinci mengenainya, menurut laporan agensi berita Reuters.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Ekonomi Antarabangsa kementerian itu, Wang Xiaolong, memberitahu wartawan di Beijing bahawa sebanyak 30 hingga 40 peratus lagi projek telah terjejas, sambil menambah kata bahawa hasilnya adalah jauh lebih baik daripada yang dijangkakan. China mempunyai kontrak dengan lebih 100 negara bagi projek keretapi, pelabuhan, lebuh raya dan infrastruktur lain.

"Dengan situasi yang semakin baik, kami yakin projek-projek ini akan kembali dilaksanakan secepat mungkin," katanya, menurut laporan Reuters.

Pernyataan strategi

Sususlan persidangan video itu, para hadirin mengeluarkan pernyataan bersama 19 perkara mengenai usaha mereka untuk menjalinkan kerjasama.

"Pandemik COVID-19 menimbulkan ancaman serius terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan manusia serta pembangunan sosioekonomi negara-negara kita dan seluruh dunia. Keutamaan pertama kita adalah untuk membasmi penularan virus ini, menyelamatkan nyawa dan menjaga kesihatan awam global,” menurut pernyataan itu.

Mereka yang menyertai mesyuarat itu meminta pelaburan dibuat bagi pembinaan infrastruktur berkaitan kesihatan yang berdaya tahan: "Kami akan memberikan sokongan penjagaan kesihatan yang diperlukan untuk warganegara masing-masing yang terjejas akibat COVID-19 di negara kami termasuk petugas kesihatan barisan hadapan."

Mereka juga mengulangi komitmen untuk melaksanakan Agenda Pembangunan Lestari 2030 dan Perjanjian Perubahan Iklim Paris.

“Berdasarkan kemajuan yang telah dicapai, kami akan meningkatkan lagi kerjasama kami dalam koridor ekonomi dan pengangkutan, zon kerjasama ekonomi dan perdagangan serta kerjasama praktikal Satu Jalur, Satu Laluan yang lain, bersesuaian dengan agenda pembangunan nasional masing-masing bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat,” menurut pernyataan itu.

Malaysia: Perlunya respons bersepadu

Dalam ucapannya pada persidangan itu, Hishammuddin berkata pandemik itu perlu dibendung dengan berkesan untuk membolehkan ekonomi kembali pulih sepenuhnya.

"Usaha Malaysia sahaja tidak mencukupi untuk memulihkan perdagangan global dan aliran barangan dan perkhidmatan dalam era pascapandemik. Ini memerlukan respons bersepadu kerana ekonomi kita saling berkaitan dan saling bergantung,” katanya. "Inilah yang dimaksudkan dengan [OBOR] - memastikan kesalinghubungan rantaian bekalan bersama-sama dengan kelancaran aliran perubatan, makanan dan bekalan penting merentasi sempadan."

Beliau berkata infrastruktur penting bagi laluan perdagangan dan perniagaan menerusi udara, darat dan laut perlu dipelihara dan kekal dibuka sebagai langkah perlu untuk secara beransur-ansur mewujudkan semula kestabilan dan keselamatan ekonomi di seluruh dunia.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2008. Perdagangan antara kedua-dua negara menyumbang sebanyak 17.2 peratus daripada keseluruhan perdagangan Malaysia pada 2019 dan bernilai RM315.9 bilion (AS$74 bilion), menurut Statistik Perdagangan Luar Malaysia.

Tahun ini, perdagangan dua hala merosot dengan ketara kerana pandemik COVID-19, menurut para pegawai, yang menyenaraikan perintah kawalan pergerakan di seluruh Malaysia dan penutupan sempadannya bagi membendung pandemik itu sebagai antara tindakan yang menghakis ekonomi.

Selain tuan rumah China dan Malaysia, negara lain yang turut serta dalam persidangan itu pada Khamis ialah Indonesia dan Thailand.

Pada Jumaat, kerajaan Thailand menandatangani kontrak bernilai berbilion dolar dengan U-Tapao International Aviation Co bagi membina sebuah lapangan terbang di Koridor Ekonomi Timur (EEC) yang akan dihubungkan dengan projek kereta api OBOR, kata para pegawai.

"Majlis menandatangani perjanjian ini mengesahkan komitmen kerjasama kerajaan-swasta yang melibatkan projek-projek yang diusahakan oleh kerajaan," kata Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha. "Thailand akan menjadi hab serantau dalam penerbangan, memacu pelaburan, menghasilkan pekerjaan, membangunkan bandar baru dan industri dalam EEC."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.