Pegawai Kerajaan, Warga Asing Ditahan Kes Penipuan Pengenalan Diri Malaysia
2019.09.11
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia telah menahan 22 orang termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara [JPN], empat warga China dan seorang rakyat India kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan kad pengenalan untuk mendapatkan pasport Malaysia kepada warga asing, demikian kata pegawai penguatkuasaan keselamatan negara itu pada Rabu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, dua warga China telah ditahan Jabatan Imigresen dan polis terlebih dahulu sebelum membawa kepada penahanan seorang pegawai JPN.
“Pegawai JPN yang berkhidmat di JPN Negeri Pulau Pinang ditahan selepas beliau disyaki bersekongkol dengan beberapa rakyat tempatan lain untuk menguruskan sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada lewat Rabu.
Selain memudahkan pendaftaran butiran warga asing ke dalam sistem agensi berkenaan bagi proses pengeluaran kad pengenalan diri Malaysia yang dikenali sebagai MyKad, pegawai tersebut turut mengarahkan pekerja bawahannya terlibat sama dalam kegiatan itu tanpa disedari mereka, tambah Huzir.
Katanya, kegiataan itu disedari pihak berkuasa selepas Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan seorang wanita warga China kerana memiliki kad pengenalan serta cuba memohon pasport Malaysia di pejabat Imigresen Seberang Jaya, pada 16 Mei lepas.
"Wanita warga China itu ditahan setelah gagal dalam sesi temubual yang dijalankan pegawai imigresen yang mendapati beliau tidak langsung boleh berbahasa Malaysia," kata Huzir lagi.
Menurutnya, wanita yang ditahan dibawah Akta Imigresen dan Akta Passport Malaysia itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk disiasat di bawah Peraturan 25(1)(E) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengemukakan diri sebagai seorang warganegara Malaysia untuk memperolehi pasport negara itu.
JPN buat laporan polis
Huzir berkata, wanita berkenaan kemudiannya didakwa di mahkamah dan mengaku bersalah keatas semua pertuduhan melibatkan Akta Imigresen dan JPN.
“Siasatan lanjut daripada itu telah membawa kepada satu laporan polis yag telah dibuat oleh JPN Pulau Pinang pada 31 Mei lalu berhubung aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan dengan cara penipuan yang didapati berlaku di pejabat berkenaan,” tambahnya.
Beliau berkata, Polis Kontinjen Negeri Pulau Pinang yang membuat siasatan mengenai kes tersebut mendapati wujudnya satu rangkaian sindiket terlibat dalam aktiviti memperolehi dan menjual dokumen pengenalan diri secara penipuan bagi tujuan mendapatkan pasport Malaysia.
Susulan itu juga, seorang lelaki warga China ditahan di Lapangan Terbang Bayan Lepas di Pulau Pinang dan pihak berkuasa menemui bersamanya sijil lahir, kad pengenalan, pasport Malaysia dan juga pasport asing pada 9 Ogos lepas.
“Semakan terhadap dokumen yang ditemui itu, mendapati semua dokumen - sijil lahir, kad pengenalan dan pasport Malaysia - adalah tipu [fraud]. Lelaki itu ditahan dibawah Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan) 2010," tambah Huzir lagi.
Penahanan lelaki warga China itu telah membawa kepada penahanan kira-kira 20 lagi individu dalam operasi serentak secara bersama antara Polis Pulau Pinang dan Bukit Aman sepuluh hari kemudian di negeri tersebut.
"Pada 19 Ogos 2019, satu operasi bersama telah dijalankan secara serentak oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Bahagian Jenayah Terancang Bukit Aman dan berjaya menahan seorang warga India, masing-masing seorang lelaki dan wanita warga China, sepuluh lelaki Cina dan lima lelaki Melayu tempatan, dan seorang wanita Cina serta seorang wanita Melayu tempatan bagi membantu siasatan,” tambah Huzir.
Katanya, kesemua 20 yang berusia antara 32 dan 70 tahun yang ditahan itu, didapati terlibat sebagai ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan serta sijil lahir dan pasport Malaysia yang diperolehi secara penipuan.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran kerana membuat, memperoleh, memberi, menjual atau memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri bagi maksud memudahkan sesuatu perbuatan penyeludupan migran; dan prosedur siasatan dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Kesemua suspek direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) SOSMA. Jika disabitkan kesalahan, setiap seseorang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tujuh tahun tetapi tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 tetapi tidak melebihi RM500,000, atau kedua-duanya.
Turut dirampas dalam serbuan berkenaan adalah 34 keping pasport, 11 keping kad pengenalan, lima salinan sijil kelahiran, dan 58 salinan pasport, beberapa dokumen JPN, serta 38 buah telefon bimbit, enam buah komputer riba, dua buah CPU dan wang RM38, 340(AS$9,187).
Huzir berkata, siasatan polis mendapati ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan dengan dua warga China yang terlibat akan membeli dokumen daripada pegawai berkenaan untuk dijual semula kepada warga asing.
"Sindiket itu dipercayai memperolehi bayaran daripada warganegara asing antara RM100,000 (AS$23,957) ke RM600,000 (AS$143,742), bergantung kepada permintaan pembeli, " tambah Huzir lagi.
Dalam pada itu, agensi berita nasional Malaysia, Bernama pada Rabu melaporkan bahawa seorang penolong pengarah JPN Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen negeri pada Khamis, berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing.
Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Yusaini Amer Abdul Karem mengesahkan perkara itu semasa dihubungi Bernama pada Rabu, demikian dilapurkan agensi berkenaan.
Menurut laporan agensi berita berkenaan yang memetik sumber sebagai berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan mengikut Akta SOSMA akan berdepan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah.
Penolong pengarah itu dikatakan bersekongkol dengan seorang 'runner' lelaki warga tempatan bagi mendapatkan Mykad tulen itu namun kegiatan tersebut terbongkar selepas status warga asing yang mempunyai Mykad tulen berkenaan berjaya dikesan Jabatan Imigresen negeri.
Katanya data dalam Mykad warga asing berkenaan milik seorang warganegara Malaysia yang tidak dikenalinya malah siasatan lanjut ke atas waris warganegara yang mana maklumatnya diklon itu menafikan mengenali wanita dari China berkenaan.