Mahkamah Malaysia Dakwa Ratusan Warga China Langgar Akta Imigresen

Ali Nufael & Nisha David
2019.12.16
Putrajaya, Malaysia
191216-MY-CH-Charges900.jpg Unit Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia mengiringi suspek warga China selepas mereka didakwa melanggar Akta Imigresen Malaysia di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor, 16 Disember, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Kumpulan kedua seramai 152 daripada 680 warga China yang ditahan kerana dakwaan terlibat dalam penipuan atas talian pada bulan lepas, mengaku bersalah terhadap kesalahan melanggar Akta Imigresen dengan sebuah mahkamah memerintahkan mereka di hukum penjara manakala selebihnya akan diusir  pulang ke negara asal, demikian menurut pegawai Malaysia.

Lebih 150 suspek dari kumpulan kedua telah dibawa ke Mahkamah Seysen Sepang, di Selangor pada Isnin, yang dibahagikan kepada enam kumpulan kecil untuk didakwa dihadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah dengan sesi itu mengambil masa lebih 90 minit.

Pada Jumaat lepas, kira-kira 371 warga China itu dibawa ke mahkamah yang sama untuk didakwa selepas Jabatan Imigresen Malaysia menahan 680 warga China dalam satu serbuan di Cyberjaya, berhampiran ibunegara Kuala Lumpur, 20 Nov lepas.

Prosiding pendakwaan bagi Jumaat dan Isnin sekaligus menjadikan kesemuanya yang didakwa adalah seramai 523 kerana melanggar Akta Imigresen Malaysia dengan memasuki dan berada di negara itu tanpa pas yang sah dan tinggal lebih masa.

Jumaat lepas, seramai 290 warga China itu dihukum penjara empat bulan dengan 31 lagi didenda RM5,00 setiap seorang selepas mengaku bersalah manakala 52 lagi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

"Kesemua mereka membayar denda selepas prosiding mahkamah dan akan dihantar pulang ke negara asal," kata pendakwa raya V. Kasthuri Bai, kepada BeritaBenar, merujuk kepada prosiding di mahkamah di Sepang pada Isnin.

Sementara itu, disebabkan kekurangan bukti, baki ratusan lagi warga China yang ditahan dalam serbuan di Cyberjaya tidak akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan sebaliknya akan dihantar pulang, demikian menurut dua sumber yang mempunyai pengetahuan secara langsung berhubung kes itu tetapi nama mereka tidak boleh disiarkan.

Kedua-dua sumber itu tidak mengulas lanjut berdasarkan undang-undang dan alasan mengapa baki ratusan lagi tidak dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan sebaliknya terus diusir keluar.

Pada Nov 20 lalu, BeritaBenar melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 1,000 orang berada di dalam bangunan tersebut pada waktu serbuan namun ada yang berjaya melarikan diri selepas merempuh kepungan pegawai operasi.

Operasi jam 11 pagi itu dijalankan susulan dari maklumat orang awam mengenai kebanjiran warga China di bandar teknologi Cyberjaya, yang terletak 19.2 batu (31 kilometer) dari Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata bahawa tugas ahli sindiket itu adalah untuk menarik minat rakyat di China untuk membuat pelaburan di mana mereka menawarkan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat.

Beliau menambah walaupun operasi dijalankan di Malaysia, semua urus niaga dan pembayaran wang dimasukkan ke bank di China.

Pada Isnin, seorang sumber di Jabatan Imigresen Malaysia berkata, warga China yang ditahan di Cyberjaya itu menerima gaji sekitar AS$600 sebulan dan jika memperolehi pelaburan dari mana-mana warga China dari negara tersebut yang disasarkan dalam penipuan pelaburan, masing-masing boleh memperolehi komisyen sekitar AS$1,670 lagi.

"Hampir kesmua mereka ditahan atas dakwaan kerana melakukan aktiviti jenayah seperti itu dan juga  pelanggaran pas lawatan sosial," kata sumber itu sambil merujuk pas jangka pendek sosial, jenis visa yang dikeluarkan kepada warga China yang tiba di pintu-pintu masuk Malaysia.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia pada Isnin memberitahu satu sidang media di Selangor bahawa jabatan itu telah menahan lebih 2,600 warga China sejak Disember lalu kerana didakwa terlibat dalam perjudian atas talian dan perjudian haram yang dilarang di China.

"Mereka ditahan semasa serbuan yang dijalankan di seluruh negara. Ada di antaranya dihantar pulang, dan ada juga sedang ditahan di pusat tahanan imigresen sambil menunggu untuk dihantar pulang," kata Pengarah itu, Huzir Mohamed kepada pemberita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.