Malaysia Tahan Tujuh Anak Kapal Korek China Di Perairan Melaka

Hata Wahari
2016.08.05
Kuala Lumpur
160805-my-apmm-620 Kapal korek China yang ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia kerana melakukan pencerobohan haram di Perairan Melaka, 5 Ogos 2016.
[Ihsan APMM]

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal korek yang berdaftar di China bersama tujuh anak kapal warga negara itu kerana didapati menceroboh perairan Selat Melaka, kata pegawai agensi itu kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Ketua Penguatkuasa APMM Kuala Linggi Mazlan Mat Rejab berkata kapal tersebut ditahan semasa berada pada kira-kira lapan batu nautika dari perairan Tanjung Keling, Melaka pada Khamis.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati anak-anak kapal itu gagal mengemukakan lesen perkapalan dalam negeri (DSL) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Malaysia, yang memberi kebenaran untuk menjalankan kerja-kerja pengorekan di perairan Malaysia. Berikutan itu kesemua anak kapal yang berusia di antara 34 hingga 60 tahun ditahan untuk siasatan,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Mazlan juga memberitahu, jurumudi kapal korek berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah yang dikeluarkan pihak berkuasa Malaysia dalam memberi kebenaran kapal untuk mengeluarkan pasir laut dari perairan Tanjung Keling itu.

Katanya, kapal itu kini berlabuh di sebuah jeti di Melaka dan sedang disiasat di bawah Akta Pelantar Benua 1966 (Pindaan) 2009.

APMM akan terus membuat rondaan dan memeriksa pengorekan haram di sepanjang pantai itu, tambah beliau lagi.

Pada April lepas, Malaysia telah memanggil Duta China ke Kuala Lumpur Dr. Huang Huikang bagi mendapatkan penjelasan serta menyatakan kekhuatirannya terhadap kehadiran 100 buah bot menangkap ikan China bersama kapal pengawal pantai republik itu di perairan negara di Laut China Selatan.

Dalam kejadian itu, kira-kira 100 buah bot dan kapal menangkap ikan China kelihatan di sekitar Beting Patinggi Ali di Laut China Selatan. Beting Patinggi Ali terletak 84 batu nautika dari Miri, Sarawak.

APMM dilaporkan telah mengarahkan kesemua kapal yang didapati menceroboh perairan negara supaya keluar dari kawasan berkenaan.

Kehadiran China terutamanya di Laut China Selatan sering membangkitkan ketegangan dikalangan beberapa negara yang mempunyai tuntutan keatas Kepulauan Spratly.

Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei, Taiwan dan China mempunyai tuntutan keatas kepulauan di Laut China Selatan itu yang menjadi laluan perdagangan bernilai AS$5 trilion (RM20.41 trilion) setiap tahun selain dipercayai kaya dengan sumber asli.

Ketegangan memuncak sejak dua tahun lepas apabila China mula menjalankan pelbagai struktur binaan di sebuah pulau di Kepulauan Spratly, yang sekaligus membimbangkan negara-negara bersaing dalam tuntutan kerana percaya ia boleh menjejaskan kebebasan pelayaran dan penerbangan di kawasan transit utama bagi petroliam serta komoditi perdagangan yang lain.

Pada 12 Julai lepas,  Mahkamah Timbang Tara Kekal di The Hague menolak tuntutan China ke atas Laut China Selatan berdasarkan hak bersejarah dan mengekalkan tuntutan Filipina ke atas sebahagian perairan itu.

Tribunal The Hague juga memutuskan tuntutan China di kebanyakan wilayah laluan air strategik itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan keputusan itu telah mencetuskan kemarahan Beijing yang berjanji tidak akan menghiraukan keputusan berkenaan.

Tahan anak kapal Indonesia  

Sementara itu, APMM Daerah Tanjung Sedili, Johor menahan empat buah kapal tunda yang berdaftar di Funafuti, Tuvalu bersama 19 anak kapal kerana didapati tidak mempunyai insuran kapal serta berlabuh tanpa kebenaran dan juga gagal melaporkan ketibaan kapal di perairan Pengerang pada Khamis.

Rondaan yang dibuat oleh APMM itu mendapati kesemua kapal tunda itu sedang bersauh di kedudukan sekitar 3.3 batu nautika di sekitar perairan selatan Tanjung Setapa.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili, Amran Daud memberitahu BeritaBenar pihak penguatkuasa APMM telah menghampiri kapal tersebut untuk pemeriksaan dan mendapati kesemua kapal berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk berlabuh di perairan itu.

”Seramai 19 anak kapal warga Indonesia berusia 20 dan 50 tahun dari kapal TB Gold Ace 6, TB Harita Berlian 12, TB Harita Berlian 18 dan TB Harita Berlian 9 ditahan oleh APMM, dengan kapten dan ketua jurutera kesemua kapal berkenaan dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Amran berkata, kesemua mereka boleh didakwa mengikut Akta Perkapalan Saudagar (Pindaan Dan Perluasan) 2011 [Akta A1393] dan Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana bersauh tanpa kebenaran serta gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia.

Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.